Opinion
Isu harga kad prabayar: Selaraskan pendirian, elak AIB
Saturday, 02 May 2015 7:50 AM MYT By Bartholomew Chan

2 MEI ― Nampaknya isu harga kad prabayar yang dibangkitkan sejak satu bulan lalu, terus menjadi bahan bualan umum. Jika sebelum 1 Mei, isu berkenaan masih dalam keadaan terkawal, senarionya sekarang amat memalukan khasnya dari aspek imej kerajaan di mata rakyat.

Puncanya ialah  kenyataan bercanggah yang dikeluarkan oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM). Pihak Kastam menegaskan kad prabayar akan kembali ke harga asal sebelum GST manakala SKMM pula mengumumkan, harga kad prabayar akan dikenakan GST.

Apabila mendapat berita mengenai pengumuman tersebut, ramai bukan sahaja keliru tetapi juga menggelengkan kepala tanda kehairanan dan kebingungan bagaimana perkara sedemikian boleh berlaku di hadapan mata kita.

 Jadi, dalam episod hitam ini, siapa yang sebenarnya bercakap benar dan siapakah sebenarnya yang tidak? Jika diamati dengan lebih mendalam mengenai isu ini, tuntutan agar siapa yang bercakap benar atau tidak, tidak akan menyelesaikan permasalahan malah ia mungkin akan merumitkan keadaan.  Namun, reaksi tipikal inilah yang sentiasa timbul acapkali berlakunya masalah sebegini.

Gelagat sesetengah pemimpin bertikam lidah di media sosial berhubung isu terbabit hanya mencerminkan ketidakmatangan dan kecetekan mereka yang bergelar wakil rakyat. Jika ingin mempertahankan sesuatu dasar kerajaan sekalipun, pertahankan dengan cara yang bijak.

Seseorang pemimpin itu haruslah dilihat sebagai seorang pemimpin yang berwibawa kerana persepsi adalah segala-galanya untuk pemimpin politik. Bagaimanapun, jika persepsi yang diberikan adalah kurang baik, maka bagaimanakah anda boleh mengharapkan rakyat untuk mempercayai mereka? Silap cakap, buruk padahnya!

Oleh yang demikian,  episod harga kad prabayar yang berlaku baru-baru ini mengajar pembuat-pembuat dasar kita untuk lebih peka ketika melaksanakan sesuatu dasar penting khasnya dasar yang akan memberikan impak secara langsung terhadap kelangsungan rakyat.

Ini bermakna, segala lompong-lompong dan kekurangan yang mungkin berbangkit daripada pelaksanaan dasar itu haruslah ditangani terlebih dahulu sebelum ia benar-benar dilaksanakan.  Langkah itu perlu bagi mengelakkan berlakunya ketidakpuasan hati dalam kalangan rakyat yang kita lihat ketika ini.

Pokok pangkalnya, isu yang membabitkan pelaksanaan dasar seharusnya diselaraskan secara teliti terlebih dahulu oleh agensi-agensi kerajaan yang terbabit. Justeru apabila keselarasan telah diuruskan, maka tidak akan timbul soal siapa betul, siapa salah dan siapa yang berkuasa dan siapa yang tidak.

Masalah pasti akan timbul apabila wujudnya ketidakselarasan, persefahaman dan keghairahan pihak-pihak tertentu untuk mempertahankan sesuatu dasar itu sendiri. Mereka yang berkenaan perlu faham dasar-dasar yang cuba dipertahankan itu melibatkan kebajikan dan kelangsungan rakyat ― sesuatu yang perlu dilaksanakan secara berhati-hati dan bukannya main hentam semberono sahaja.

Maka kerana itu, cukuplah bertikam lidah di media sosial berhubung isu ini.  Sebaliknya, inilah masanya untuk “clean up the mess” dan perjelaskan kepada rakyat mengenai perkara sebenarnya.

Jangan sesekali membiarkan rakyat tertanya-tanya mengenai sesuatu dasar kerajaan. Adalah menjadi tanggungjawab agensi-agensi kerajaan menjelaskan dasar-dasar kerajaan dengan jelas kepada rakyat agar ia tidak lagi dipertikaikan oleh mana-mana pihak.

Rakyat tidak mungkin akan marah atau mempertikaikan sesuatu dasar jika ia dijelaskan dengan baik dan dasar berkenaan bersifat adil. Bukankah begitu?

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan Malay Mail Online

Related Articles

 

You May Also Like