APRIL 15 —Dua minggu selepas sistem percukaian baharu negara, GST diperkenalkan di Malaysia, nampaknya segala kekeliruan dan kekalutan daripada pelaksanaannya masih menjadi tanda-tanya. Buktinya, masih ramai daripada rakyat, pengusaha restoran, syarikat-syarikat telco malah pihak berkuasa sendiri yang ‘keliru’ dan tertanya-tanya apakah barangan dan perkhidmatan yang mereka gunakan akan dikenakan GST biarpun kerajaan sudah mengeluarkan senarai barangan dan perkhidmatan yang tidak dikenakan GST. Terbaru, kontroversi caj perkhidmatan sebanyak 10per cent di kedai-kedai makan dan kad tambah nilai prabayar mengundang kemarahan orang ramai. Ekoran reaksi dan respons kerajaan yang bercampur-campur, ramai rakyat yang kecewa, sedih dan marah dengan kekalutan yang berlaku. Respons kerajaan dalam menangani isu kad tambah nilai prabayar baru-baru ini amat mendukacitakan. Sekejap kata ada GST dan tidak lama selepas itu, Timbalan Menteri Kewangan 2, Datuk Ahmad Maslan pula menegaskan, harga kad tambah nilai prabayar tidak akan berubah dan kekal pada harga asal. Begitu juga dengan kontroversi caj perkhidmatan sebanyak 10per cent di kedai-kedai makan yang tidak seragam. Tatkala pihak kerajaan telah menegaskan bahawa pengusaha-pengusaha restoran tidak boleh mengenakan caj perkhidmatan 10per cent kepada pelanggan jika GST sudah dikenakan, akan tetapi masih ramai pengusaha restoran yang ingkar dengan arahan berkenaan. Seperti biasa, bermacam-macam alasan diberikan. Persoalannya, mengapa tidak adanya keselarasan dari segi bagaimana pihak berkuasa memberikan respons terhadap isu-isu sebegini? Mengapakah terdapat begitu banyak kenyataan bercanggah dengan apa yang telah disebutkan sebelum ini? Ketidakselarasan dari respons yang diberikan dikhuatiri hanya akan memberikan persepsi tidak baik kepada kerajaan bahawa kerajaan sebenarnya tergesa-gesa dengan pelaksanaan GST. Mengapakah pihak berkuasa melahirkan keyakinan bahawa mereka sudah bersedia untuk melaksanakan GST tetapi pada hakikatnya keadaan di bawah tidak mencerminkan sedemikian.
A notice announcing the GST is displayed on the shelves of a supermarket in Kuala Lumpur April 1, 2015. — AFP pic
Bagaimanakah Pak Menteri boleh mendakwa bahawa rakyat sudah boleh menerima GST hanya berlandaskan kepada hujah bahawa jumlah aduan yang diterima sudah berkurangan? Barangkali Pak Menteri mungkin sudah terlupa bahawa pengurangan jumlah aduan bukanlah kayu pengukur yang tepat untuk menggambarkan penerimaan rakyat terhadap GST. Pak Menteri yang dimaksudkan itu tidak memahami sentimen dan kesusahan hidup yang terpaksa dilalui oleh rakyat ibarat kais pagi makan pagi, kais petang, makan petang. Diam tidak bermakna rakyat menerima GST secara total dan diam tidak bermakna masalah berkenaan sudah berakhir. Mereka diam kerana mengenangkan nasib untuk hari-hari seterusnya yang penuh dengan ranjau. Mengapakah GST dilaksanakan jika anda sudah tahu bahawa akan timbul pelbagai masalah daripada pelaksanaan sistem percukaian baharu ini? Lebih membingungkan apabila seorang Menteri Kabinet mengatakan bahawa kekalutan dan kekeliruan daripada pelaksanaan GST akan memakan masa antara 6 hingga 8 bulan untuk diselesaikan. Sebagai seorang marhaen yang cukup terkesan dengan GST ini, alasan tersebut tidak boleh diterima. Pihak berkuasa seharusnya menutup segala kelemahan atau lompong menerusi GST sebelum pelaksanannya lagi, dan bukannya cuba melakukan ‘fire-fighting’ seperti apa yang kita lihat sekarang. Kita tidak nafikan GST merupakan satu sistem percukaian yang baik untuk negara. Jika tidak, mengapakah lebih 160 buah negara di seluruh dunia sudah melaksanakannya. Cumanya dalam konteks melibatkan negara kita, nampaknya ia tidak dilakukan secara teratur dan terlalu banyak kekeliruan yang timbul. Kita hanya boleh mengharapkan pihak kerajaan memperbaiki segala kelemahan yang timbul khususnya bagaimana mereka menjelaskan GST ini kepada rakyat. Rakyat perlukan satu penjelasan yang lebih konkrit daripada pihak berkuasa mengenai GST. Penjelasan yang diberikan haruslah mudah difahami dan tidak mengelirukan rakyat. * Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malay Mail Online.
You May Also Like