Opinion
Jangan biar budaya keganasan bertapak di Malaysia
Friday, 27 Feb 2015 7:49 AM MYT By Bartholomew Chan

FEBRUARI 27 —Sebuah kumpulan belia yang menggelarkan diri mereka sebagai Anak Muda Anti-Demokrasi atau AMAD beberapa hari lalu mengugut untuk membunuh Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dengan meletupkan keretanya.

Hampir dua minggu yang lalu, kita juga dikejutkan dengan ancaman serupa apabila sekumpulan individu menggelarkan dirinya sebagai Isis69 Malaysia yang mahu meletupkan mahkamah-mahkamah di negara ini.

Persamaan yang terdapat dalam kedua-dua ancaman tersebut ialah kedua-dua kumpulan ini jelas tidak berpuas hati dengan hala tuju dan masa depan sistem demokrasi yang disifatkan mereka sebagai tidak adil dan berat sebelah.

Apa yang diluahkan oleh kedua-dua kumpulan berkenaan bukan sesuatu yang asing di dalam negara. Kebiasaannya, apabila sesebuah kumpulan masyarakat yang merasakan diri mereka terpinggir, mereka akan cuba melakukan apa sahaja untuk menarik perhatian awam.

Akan tetapi, sifat ancaman yang dilontarkan oleh kedua-dua kumpulan ini benar-benar mencetuskan kegelisahan. Ia memberikan satu gambaran yang cukup membimbangkan mengenai tahap kerasionalan kalangan rakyat Malaysia ketika ini. Sejak sekian lama, rakyat Malaysia terkenal dengan sikap yang sederhana dan rasional. Selama ini juga, majoriti rakyat Malaysia menolak budaya keganasan yang melampau.

Sesungguhnya, adalah sesuatu yang cukup asing untuk rakyat Malaysia mendengar ancaman esktrem sebegini. Justeru, jika ada dalam kalangan rakyat marhaen seperti penulis yang merasa bimbang mengenai situasi semasa, ia mempunyai asasnya. Apa yang cukup dibimbangi mutakhir ini ialah sejauhmanakah sikap ekstremisme akan diperhebat ke tahap yang lebih radikal.


Berita mengenai pembabitan lebih 60 rakyat Malaysia dalam gerakan militan IS di Syria harus membuka mata semua pihak bahawa ancaman militan dan keganasan terhadap Malaysia bukan lagi satu ilusi tetapi sedang berlaku di hadapan mata kita. — AFP pic

Persoalan yang lebih mendesak sekarang ialah berapa ramaikah daripada rakyat Malaysia yang mempunyai kecenderungan sedemikian? Berita mengenai pembabitan lebih 60 rakyat Malaysia dalam gerakan militan IS di Syria harus membuka mata semua pihak bahawa ancaman militan dan keganasan terhadap Malaysia bukan lagi satu ilusi tetapi sedang berlaku di hadapan mata kita.

Maka kerana itu, pendekatan yang digunapakai oleh pihak berkuasa seperti polis dalam menangani ancaman-ancaman sedemikian perlu disokong oleh rakyat. Tidak bermakna dengan menyokong usaha pihak berkuasa seperti polis, kita bersetuju sepenuhnya dengan pendekatan yang digunakan mereka. Ada ketikanya, mereka perlu ditegur dan mereka juga harus menerima teguran yang diberikan dengan hati terbuka.

Tidak salah untuk kita berbeza pendapat atau pendirian. Tidak salah juga untuk kita tidak sehaluan dengan apa yang dinyatakan oleh pihak berkuasa. Bagaimanapun, adalah salah untuk mereka ini menyalahgunakan kebebasan yang diberikan untuk mencederakan mana-mana individu yang tidak berdosa. Tiada agama di dunia ini yang menghalalkan para penganutnya untuk membunuh atau mencederakan orang lain atas premis agama.

Hakikatnya, kita hidup dalam dunia yang penuh dengan konflik. Ada konflik yang berbentuk keagamaan dan kaum. Dalam kesemua konflik yang dinyatakan, kesudahannya mungkin berakhir dengan tragis. Tragedi atau malapetaka pasti akan menimpa jika seseorang itu bertindak mengikut emosi dan kemarahan.

Tetapi apakah itu yang kita mahukan dalam negara kita? Bukankah Malaysia mempunyai sistem perundangan dan kehakiman tersendiri? Bukankah sebagai sebuah negara berdaulat dan merdeka, kita mempunyai ‘rule of law’ yang wajar dipatuhi?

Apakah dengan meletupkan kereta milik Ketua Polis Negara ataupun meletupkan mahkamah-mahkamah dalam negara akan dapat membaiki keadaan demokrasi negara? Pendekatan keganasan dalam menyelesaikan sesuatu isu bukan budaya masyarakat Malaysia. Sebaliknya, ia adalah satu budaya asing yang dibawa dari luar yang hanya merosakkan fabrik sosial masyarakat negara ini.

Tidak dinafikan undang-undang negara tidaklah sempurna sepenuhnya. Ia ada juga cacat-celanya. Boleh dikatakan undang-undang di negara-negara maju seperti Amerika Syarikat hatta di Britain sekalipun tidak terlepas daripada kritikan orang ramai kerana dikatakan gagal membela nasib golongan terpinggir.

Rakyat Malaysia perlu sedar bahawa segala bentuk keganasan atau ‘rule by mob’ seperti yang cuba dibawakan oleh kumpulan-kumpulan tadi akan memberi kesan yang cukup tragis kepada keharmonian dan keselamatan negara untuk jangka panjang.

Lihat sahajalah kepada situasi semasa di Iraq, Pakistan, Syria, dan Libya. Pertumpahan darah berlaku hampir setiap hari. Ketiadaan autoriti dan wujudnya vakum kuasa di negara-negara berkenaan memberikan platform kepada kumpulan-kumpulan militan seperti IS untuk mengukuhkan cengkaman dan menyebarkan dakyah mereka.

Episod hitam yang menimpa negara-negara Islam tersebut wajar membuka mata semua rakyat Malaysia bahawa usaha mempertahankan keamanan dan keharmonian negara tidak selalunya indah dan berakhir dengan kemenangan. Akan tetapi, usaha tersebut menuntut sesuatu yang lebih daripada itu

* Pandangan di atas hanya pandangan peribadi penulis dan tidak mencerminkan pandangan Malay Mail Online.

Related Articles

 

You May Also Like