Opinion
Tidak perlu kod etika, gunakan telefon pintar dengan bijak
Monday, 08 Dec 2014 8:09 AM MYT By Bartholomew Chan

DISEMBER 8 —Laporan muka depan akhbar Kosmo bertarikh 6 Disember lalu bertajuk Rakyat Malaysia jadi hamba telefon pintar mencerminkan realiti sebenar yang sedang melanda kebanyakan rakyat di negara ini. Apa yang didedahkan dalam laporan tersebut cukup menggerunkan dan membayangkan betapa kuatnya pengaruh teknologi dalam mengambil alih kehidupan manusia di zaman moden ini. Namun, apa yang lebih menggerunkan ialah bagaimana teknologi dan gajet-gajet baharu ini meresap masuk ke dalam jiwa pengguna sehinggakan mereka tidak dapat keluar daripada ketagihan terhadap gajet-gajet tersebut. Kebimbangan tersebut turut disuarakan oleh Tokoh Wartawan Negara 2011, Datuk A. Kadir Jasin yang berpendapat, ketagihan itu boleh memberi kesan mendalam terhadap seseorang individu khasnya dari aspek gangguan psikologi diri, perhubungan dan keintelektualan. Situasi semasa sememangnya tidak begitu memberangsangkan. Saban hari, ke mana sahaja anda pergi baik di pusat membeli-belah, restoran, mahupun ketika beratur di panggung wayang membeli tiket, kebarangkalian anda untuk melihat pengguna sibuk menggunakan telefon pintar adalah cukup tinggi. Malah, ada yang tidak menghiraukan keadaan persekitaran, taksub untuk melayari media sosial hinggakan sanggup untuk tidak makan ataupun keluar bersiar-siar dengan ahli keluarga mereka. Bagi kumpulan manusia sebegini, hidup mereka ibarat “tidur telefon dan makan telefon.” Sememangnya, kehadiran gajet-gajet dan teknologi baharu adalah baik untuk kemajuan umat manusia di seluruh dunia. Tiada siapa yang dapat menafikan hakikat tersebut. Ia bukan sahaja memudahkan sesuatu urusan yang ingin dilaksanakan bahkan juga memudahkan urusan komunikasi antara satu sama lain. Namun demikian, penggunaan teknologi-teknologi baharu sedemikian haruslah berpada-pada dan tidak mencapai ke satu tahap yang keterlaluan. Dalam apa jua aktiviti yang ingin dilaksanakan sekalipun, ia wajar dilakukan secara sederhana selain memastikan penggunaannya tidak bercanggah dengan peraturan serta norma-norma yang dibenarkan. Dalam konteks ini, rakyat mempunyai pilihan untuk menggunakan gajet-gajet berkenaan secara berpada-pada. Tidak ada paksaan mahupun tekanan kepada mereka untuk menggunakan gajet-gajet itu secara keterlaluan melainkan mereka mempunyai sindrom ketagihan yang akut. Selain itu, ia juga banyak bergantung kepada tahap disiplin seseorang pengguna. Jika mereka adalah dari kalangan mereka yang berdisiplin, tidak akan timbul soal mereka menyalahgunakan gajet-gajet yang dimaksudkan. Sebagai seorang pengguna yang bertanggungjawab, pastinya mereka sudah memahami etika-etika yang perlu dipatuhi ketika menggunakan telefon.


Sememangnya, kehadiran gajet-gajet dan teknologi baharu adalah baik untuk kemajuan umat manusia di seluruh dunia. — AFP pic

Hakikatnya, telefon pintar hanyalah satu medium perhubungan atau perantaraan. Ia tidak wajar dijadikan sebagai kambing hitam dalam permasalahan ini. Masalah sebenarnya dalam konteks ini adalah manusia itu sendiri. Ada segelintir manusia yang degil dan memilih untuk menyalahgunakan gajet pintar semata-mata untuk mencuri tumpuan ataupun mendapat publisiti murahan. Justeru, apabila Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) Datuk Shamsuddin Bardan mencadangkan agar satu kod etika penggunaan telefon bimbit diperkenalkan bagi mengelakkan sindrom ketagihan rakyat Malaysia terhadap gajet pintar seperti telefon pintar, ide yang dilontarkan itu sebenarnya tidak menyelesaikan masalah pokok yang berbangkit. Ide itu antara lain mencadangkan supaya pekerja dilarang melayari internet pada waktu bekerja dan elakkan penggunaan telefon pintar semasa berlangsungnya sesuatu mesyuarat di pejabat. Bagi penulis, ide tersebut tidak lebih daripada jalan penyelesaian pendek yang bersifat sementara, kurang efektif dan hanya sebagai satu “knee-jerk reaction” kepada permasalahan yang dihadapi. Isu pokoknya di sini bukan telefon pintar yang digunakan tetapi sikap, disiplin dan tabiat pengguna yang dimaksudkan. Cadangan MEF itu jelas hanya memberikan penekanan kepada aspek produktiviti tetapi terlepas pandang kepada golongan dan sektor yang kritikal. Bagaimana dengan golongan pekerja seperti wartawan dan pegawai perhubungan awam yang sememangnya memerlukan telefon pintar untuk berkomunikasi dengan majikan mereka? Apakah yang akan terjadi kepada mutu kerja jika peraturan sedemikian dilaksanakan? Ini bukanlah masanya untuk memperkenalkan kod etika menggunakan telefon bimbit kepada para pekerja seperti yang dicadangkan oleh MEF. Hakikatnya, mereka bukan pelajar sekolah atau budak kecil yang perlu diajar atau dikongkong dengan kod-kod etika sedemikian. Bukankah sebelum seseorang pekerja menandatangani kontrak dengan syarikat, mereka sudah berjanji untuk mematuhi segala terma dan syarat yang ditetapkan? Penulis amat tertarik dengan hujah yang diberikan oleh Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Dato’ Mohamed Sharil Tarmizi dalam isu ini yang mengatakan, ketagihan terhadap telefon pintar boleh diatasi jika seseorang pengguna itu bijak menggunakannya. Pada hemat penulis, jawapan tersebut cukup mudah dan amat praktikal. Logiknya jika seseorang pengguna bijak menggunakan telefon pintar mereka, tidak akan berbangkit soal ketagihan. Masalah ketagihan berlaku kerana ketidakupayaan dan kegagalan seseorang pengguna untuk mendisiplinkan diri. Kuasa dan pilihan terletak di tangan pengguna. Sekiranya pengguna memilih untuk menyalahgunakan telefon pintar mereka, maka bersedialah untuk menerima kesan dan tempiasnya. Kesedaran untuk membetulkan keadaan harus bermula dari diri kita sendiri. Pelaksanaan kod etika untuk mengawal sesuatu tabiat pengguna tidak semestinya berakhir dengan kesudahan yang positif. Ada kalanya, semakin hebat sesuatu kod etika dikuatkuasakan, ia boleh memberi impak yang berlawanan. Ada kalanya, masalah sedemikian boleh diselesaikan jika kita kembali kepada perkara-perkara yang asas (back to basics). * Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malay Mail Online.

Related Articles

 

You May Also Like