3 NOVEMBER ― Setengah abad yang lalu ketika zaman kedua ibu bapa kita, masyarakat berbilang kaum dan agama dari pelbagai latarbelakang di Malaysia (Tanah Melayu ketika itu), bebas bergaul antara satu sama lain.
Hubungan antara ketiga-tiga kaum ini begitu harmoni dan mesra, bebas daripada segala bentuk syak-wasangka. Lebih signifikan, hubungan mereka ibaratkan abang dan adik yang sentiasa menghulurkan bantuan apabila keadaan memerlukan.
Baik dari segi makan dan minum bahkan juga jalinan persahabatan yang berpaksikan kepada keikhlasan dan semangat muhibah sejati. Malah tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa semangat 1Malaysia sebenarnya sudah wujud pada masa itu.
Pada masa itu juga, tidak kedengaran mana-mana individu yang mengidentifikasikan dirinya dengan kaum atau agama dahulu tetapi sebagai seorang rakyat yang bersatu. Mereka terbabit dalam aktiviti komuniti yang sama malah membeli di kedai runcit sama.
Ramai daripada kita yang tidak sedar dan alpa bahawa semangat muhibah dan kekitaan yang pernah terjalin selama ini merupakan benteng utama kepada kestabilan Malaysia sejak sekian lama. Hakikatnya, ketegasan serta keengganan pihak pemerintah untuk mengabaikan elemen perpaduan sebagai agenda utama dalam pembangunan negara adalah langkah yang tepat.
Malaysia sudah pun berusia 57 tahun dan boleh dikatakan cabaran yang menanti negara tercinta ini semakin hari semakin mencabar. Kepesatan pembangunan negara yang tidak mengenal masa ini ada kalanya menjadikan rakyat di negara ini alpa dan lupa akan asas sebenar pembentukan Malaysia.
Malangnya mutakhir ini, perpaduan dan kesepaduan yang kita laung-laungkan sebelum ini kian luntur dan digantikan dengan sikap pentingkan diri sendiri dan pengasingan antara kaum. Semangat perkauman semakin menebal dan perasaan hormat-menghormati juga semakin terhakis.
Lihat sahajalah situasinya di institusi pengajian tinggi atau IPTA, tempat kerja, tempat makan malah dalam pergaulan kita seharian. Ada antara rakyat kita yang nampaknya lebih selesa untuk bergaul dengan rakan mereka dari kaum yang sama.
Menurut pengarah dan pengasas bersama sebuah badan pemikir iaitu Centre For Strategic Engagement (CENSE) Rita Sim dalam artikel yang diterbitkan dalam akhbar New Straits Times pada 2012 lalu mendedahkan, senario berkenaan cukup ketara di kawasan bandar besar khasnya di kawasan yang didiami golongan pertengahan.
Apa yang didedahkan oleh Rita itu tidaklah mengejutkan. Sebaliknya, pola tersebut cukup sinonim di kawasan bandar. Bagaimana dengan anda sendiri? Pernahkah anda bertegur sapa dengan jiran tetangga yang menetap di sebelah anda? Berapa kalikah anda bertegur sapa dengan mereka? Sejauhmanakah kita sebenarnya bersedia untuk memulakan perbualan dengan jiran?
Umum sedia maklum, kaum dan agama merupakan dua isu yang paling sensitif untuk dibahaskan di Malaysia. Apa tidaknya, acapkali kedua-dua isu berkenaan dibangkitkan, ia akan mengundang kemarahan. Emosi akan membuak dan semangat rasional memberi laluan kepada sikap agresif dan kemarahan keterlaluan.
Oleh itu, isu-isu sebegini wajar dibincang secara tertutup dan rasional menyedari bukan semua rakyat memiliki kematangan untuk berdebat dengan fikiran terbuka. Namun, rakyat tidak harus dipersalahkan. Jika anda cuba lontarkan pertanyaan mengenai hubungan antara kaum kepada mereka, majoriti rakyat akan menjawab keseluruhannya memuaskan dan rakyat dapat mencari sesuap nasi.
Jika anda berkesempatan pula untuk melawat atau bertegur-sapa dengan masyarakat pelbagai bangsa di kawasan kampung dan pinggir bandar, semangat perpaduan dan muhibah dalam kalangan penduduk terus utuh. Tiada masalah malah mereka menjalani kehidupan seperti biasa.
Jadi, apakah masalah sebenarnya?
Jika diamati dengan teliti, isu-isu sebegini biasanya dipolitikkan oleh pemimpin dan parti-parti politik tidak kira dari parti pemerintah mahupun pembangkang bagi meraih sokongan. Pendekatan populis sebegini adalah normal kerana mereka sedar dengan mempolitikkan isu perkauman dan agama, ia dapat memberikan impak yang maksimum.
Itu sebabnya, apabila terdapat segelintir pemerhati politik yang menyifatkan politik perkauman sudah berkubur di negara ini, nyata pandangan itu meleset. Pastinya, politik perkauman belum berakhir dan akan terus mewarnai dunia politik negara.
Apapun, rakyat di negara ini mempunyai hak dan kebebasan untuk menerima atau menolak politik begini. Bak kata pepatah: Yang baik jadikan teladan, Yang buruk jadi sempadan. Sekarang, terpulanglah kepada rakyat di negara ini untuk menentukan hala tuju negara. Mereka boleh menggunakan kebijaksanaan dan kematangannya untuk menolak bentuk politik tidak sihat yang dibawa oleh parti-parti politik dan pemimpin mereka.
Paling mustahak, elakkan daripada terlalu emosi apabila berbicara mengenai isu-isu sensitif ini. Jangan marahkan nyamuk, kelambu pula dibakar.
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan Malay Mail Online.
You May Also Like