Opinion
Usah buka pekung di khalayak
Friday, 31 Oct 2014 8:43 AM MYT By Bartholomew Chan

31 OKTOBER ― Salah satu daripada perkembangan yang cukup merunsingkan kita di Malaysia mutakhir ini adalah kecenderungan pihak tertentu untuk membuka pekung kesalahan orang lain di khalayak.

Mahu tidak mahu, pola berkenaan semakin menjadi-jadi di Malaysia sejak kebelakangan ini dan tidak ada petanda baru bahawa ia akan menemui tanda noktahnya.

Daripada kalangan pemimpin parti-parti politik baik dari pemerintah mahupun pembangkang kepada pemimpin-pemimpin NGO hinggalah kepada orang-perseorangan, semuanya nampak telah terikut-ikut dengan amalan yang kurang sihat ini.

Maksud penulis membuka pekung di khalayak di sini merujuk kepada penggunaan media massa untuk menuding jari terhadap kelembapan pihak tertentu menangani sesuatu isu berbangkit.

Budaya membuka pekung kesalahan di khalayak sebenarnya bukanlah perkara baharu di negara ini malah ia hadir dalam pelbagai bentuk. Antaranya, menuding jari terhadap kelemahan orang lain dengan harapan untuk meraih pujian pihak berkepentingan. Selain itu, ia juga merupakan satu bentuk escapisme oleh pihak tertentu yang menghadapi tekanan gara-gara isu yang dibangkitkan di media massa.

Justeru, apabila isu-isu panas seperti judi haram, masalah demonstrasi jalanan pelajar-pelajar universiti dan masalah rasuah dalam kalangan agensi kerajaan dibongkar di media massa, semua pihak cacing kepanasan dan tersentak.

Mereka seolah-olah tidak nampak dan sedar akan kesalahan mereka dan jalan terbaik untuk “melarikan diri” daripada tekanan itu ialah dengan memindahkan beban kesalahan kepada pihak lain.

Barangkali bagi sesetengah pihak, tindakan ini mungkin jalan terbaik untuk menyelamatkan diri. Namun untuk prospek jangka panjang, ia tidak begitu baik dan hanya memberi gambaran bahawa mentaliti masyarakat kita hanyalah untuk mengelak dan tidak berani berhadapan dengan sesuatu isu secara terbuka.

Sebagai pemimpin, ketua atau tokoh yang mengetuai sesebuah organisasi, adalah lebih baik jika segala masalah dalaman organisasi ditangani menggunakan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang betul. Jangan sesekali menggunakan media untuk melondehkan kelemahan atau kesalahan pihak lain.

Maka kerana itu, sebarang usaha untuk menuding jari atau menyalahkan pihak satu lagi dalam media kerana kegagalan mereka melaksanakan tugas dengan baik tidak seharusnya berlaku. Pada hemat penulis, kelemahan atau keburukan sesuatu pihak tidak sepatutnya dijajakan kepada khalayak kerana ia hanya menggambarkan kelemahan agensi kerajaan di mata rakyat.

Hakikatnya, rakyat sedang melihat segala gerak-geri dan tutur kata oleh pemimpin-pemimpin yang dimaksudkan dengan penuh antisipasi. Bagi mereka, agensi-agensi kerajaan sebegini menjadi penghubung antara rakyat dan kerajaan.  Mereka mengharapkan agar agensi-agensi kerajaan sebegini untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik, bukannya membuka pekung di khalayak.

Kepada pihak yang berkenaan, amat penting bagi mereka untuk memfokuskan kepada isu pokok yang sebenarnya. Gunakan segala ruang yang sedia ada untuk meneliti kembali kelemahan dan melangkah ke hadapan. Usah membazir masa untuk memberikan tumpuan kepada isu-isu kecil yang sebenarnya boleh ditangani dengan cara yang lebih diplomatik.

Dalam isu-isu yang membabitkan pembabitan pelbagai agensi pula, mereka perlulah bijak menyelaraskan segala pergerakan, strategi bahkan juga tindak-tanduk terhadap isu yang ingin ditangani.

Penyelarasan adalah getir agar tidak mengundang perasaan malu di kemudian hari. Penyelarasan yang rapi juga akan memberi gambaran bahawa semua agensi kerajaan adalah “hands-on” terhadap isu yang dihadapinya.

Kemampuan agensi-agensi kerajaan untuk menangani sesuatu isu nasional dengan baik pastinya akan memberi penyuntik semangat kepada pihak pengurusan dan staf mereka untuk memberikan yang lebih baik selepas ini.

Jadi, semua pihak wajar mengambil iktibar di sebalik insiden-insiden sedemikian. Usah panik ataupun berasa tertekan dengan teguran-teguran yang diberikan dalam media massa. Sebaliknya, manfaatkan teguran-teguran yang dilontarkan untuk memperbaiki kesilapan masa lalu.

Banyak ketikanya, seseorang akan menjadi lebih matang dan kuat apabila mereka belajar daripada kesilapan masa lalu. Oleh itu, kepada pihak polis dan agensi-agensi seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Jabatan Kastam dan banyak lagi yang sentiasa berada di barisan hadapan, teruskan usaha dalam melaksanakan tugasan anda dengan baik. Usah membiarkan kritikan atau teguran oleh segelintir pihak untuk mematahkan semangat anda.

Apa yang lebih penting, perkukuh lagi kerjasama antara agensi-agensi kerajaan bukan sahaja dari aspek perisikan, infrastruktur bahkan juga perkongsian pintar agar semua agensi kerajaan dapat bergerak seiring sebagai sebuah pasukan yang mantap. Melalui pendekatan sebegini, barulah mereka boleh meningkatkan keyakinan rakyat terhadap kredibiliti dan integriti agensi-agensi kerajaan.

* Pandangan di atas hanyalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pandangan Malay Mail Online.

Related Articles

 

You May Also Like