5 OKTOBER ― Minggu ini, arena sukan negara diselubungi dengan beberapa berita buruk yang pastinya membuatkan Menteri Belia dan Sukan negara, YB Khairy Jamaluddin tidak senang duduk dan terpinga-pinga mencari penyelesaian.
Antaranya, insiden peserta wushu negara, Tai Cheau Xuen didapati positif dadah, kekalahan mengaibkan regu sepak takraw negara kepada pasukan belasahan, Korea Selatan dan prestasi hambar skuad badminton negara yang sekali lagi menempa kegagalan.
Prestasi keseluruhan kontinjen negara pada Sukan Asia Incheon baru-baru ini di tempat ke-14 dengan 5 pingat emas, 14 pingat perak dan 14 pingat gangsa sebenarnya jauh tersasar daripada lapan pingat emas yang disasarkan.
Seperti yang dijangka, badminton ― satu-satunya sukan Olimpik yang sentiasa memberikan pingat dalam sebarang temasya kini semakin jauh dari genggaman. Ini kerana, prestasi semasa pemain-pemain muda kebangsaan negara yang tidak menentu dan ketidakmampuan mereka untuk bersaing di peringkat antarabangsa amat menggusarkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).
Kebergantungan yang keterlaluan kepada Datuk Lee Chong Wei untuk meraih pingat nampaknya akan memakan diri tidak lama lagi. Biarpun Chong Wei sebelum ini menyatakan keazamannya untuk terus menggalas cabaran negara pada Sukan Olimpik Rio 2016, realitinya berapa lama lagi BAM perlu bergantung harap kepada Chong Wei?
Sewajarnya, BAM perlu mempersiapkan pemain pelapis negara untuk mengambil alih daripada Chong Wei. Malangnya, standard serta prestasi barisan pemain muda sedia ada sekarang masih belum setanding dengan Chong Wei.
Badi kemenangan untuk skuad regu sepak takraw negara sejak kemenangan pingat emas mereka di Sukan Asia 1994, berterusan. Malah, prestasi regu sepak takraw sejak akhir-akhir ini semakin buruk sehingga negara yang bukan kuasa besar sukan tersebut berupaya memalukan regu negara. Masalah dalaman persatuan dan isu disiplin doping pemain sebelum ini, sedikit sebanyak memberi impak dan kesan kepada semangat dan moral para pemain.
Sementara isu positif dadah peserta wushu negara Cheau Xuen sesungguhnya adalah satu kejutan besar kerana sebelum ini, sukan wushu negara belum pernah dilanda masalah sedemikian. Isu positif dadah oleh Cheau Xuen nyata membuka mata ramai pihak bahawa arena sukan negara kini di persimpangan.
Jadi, ke manakah hala tuju arena sukan negara? Apakah kita akan terus mendabik dada dan memberi alasan yang sama tahun demi tahun bagi menjustifikasikan kegagalan berkenaan?
Ketegasan Khairy untuk melakukan sesuatu drastik dengan mengenalpasti punca utama kepada kegagalan kontinjen sukan negara dalam beberapa temasya sukan dunia wajar dipuji. Ketegasan beliau itu sekurang-kurangnya memberi harapan kepada peminat sukan negara bahawa arena sukan negara akan dapat kembali ke zaman kegemilangan jika ia diuruskan dan dirancang dengan betul.
Oleh itu, apabila beliau mengumumkan baru-baru ini bahawa akan berlakunya rombakan besar-besaran dalam Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN), ramai yang tidak terkejut. Sebaliknya, reaksi semerta yang ditunjukkan Khairy sememangnya sudah dijangka kerana sebagai seorang Menteri yang dipertanggungjawabkan untuk isu belia dan sukan, beliau perlu dilihat sebagai seorang pemimpin yang “hands-on” dan proaktif.
Mengubah kepimpinan dalam MSN dan ISN hanyalah sebahagian daripada langkah untuk membetulkan masalah yang timbul. Selain itu, pelbagai aspek lain juga wajar diberikan perhatian. Antaranya, memastikan agar politik tidak dicampuradukkan dalam persatuan-persatuan sukan.
Hakikatnya, kebanyakan persatuan sukan yang bermasalah berlaku kerana berlakunya politiking yang keterlaluan. Kecenderungan politiking keterlaluan oleh mereka yang mempunyai kepentingan dalam persatuan-persatuan sukan inilah yang menyebabkan agenda-agenda utama dikesampingkan.
Pada masa sama juga, pastikan hanya golongan profesional khususnya daripada mereka yang benar-benar berpengalaman dalam bidang sukan yang dimaksudkan, untuk menerajui persatuan-persatuan sukan. Agak janggal dan ironi untuk melihat mereka yang tidak ada kena-mengena dengan sukan berkenaan, mengendalikan persatuan-persatuan sukan.
Apa yang disebutkan di sini bukanlah bertujuan untuk menidakkan peranan pemimpin politik dalam persatuan-persatuan sukan. Penulis yakin, pemimpin-pemimpin politik boleh memainkan peranannya dalam kapasiti yang lebih bermakna seperti memberikan suntikan kewangan dan nasihat, bukannya dalam urusan operasi seharian persatuan.
Tidak dinafikan semua pihak mahu melihat impak daripada perubahan pucuk kepimpinan dalam persatuan-persatuan sukan. Namun, mereka juga harus bersikap realistik dalam isu ini kerana impak dan perubahan tidak berlaku semalaman. Proses tersebut memerlukan masa dan impak itu hanya akan dapat dirasai dalam beberapa tahun akan datang.
Maka kerana itu, penulis ingin mengajak semua rakyat Malaysia agar tidak berputus asa terhadap prospek sukan negara biarpun dilanda dengan beberapa berita yang kurang baik sejak kebelakangan ini. Masa depan sukan negara akan bertambah malap jika rakyat mengambil sikap acuh tak acuh.
Sesungguhnya, perjalanan untuk mengembalikan zaman kegemilangan sukan negara adalah satu perjalanan yang cukup panjang dan menuntut kesabaran semua. Berbekalkan strategi serta perancangan yang teliti, nescaya masalah-masalah yang timbul ketika ini, akan berakhir. Pendek kata, “there will be light at the end of the tunnel.”
*Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan Malay Mail Online.
You May Also Like