Opinion
Tingkatkan kualiti perkhidmatan teksi, lakukan anjakan paradigma
Thursday, 02 Oct 2014 8:14 AM MYT By Bartholomew Chan

OKTOBER 2 — Semua sedia maklum isu perkhidmatan teksi di negara bukanlah isu baharu yang dibangkitkan semalaman. Sebaliknya, isu tersebut sebenarnya sudah berbangkit sejak sekian lama tanpa sebarang jalan penyelesaian konkrit. Sebut sahaja perkhidmatan teksi di Malaysia, perkara pertama yang terlintas dalam fikiran rakyat jelata adalah kualiti perkhidmatan teksi yang diberikan oleh para pemandu. Dalam kalangan penumpang, mereka merungut dan marah dengan sikap segelintir pemandu teksi yang tidak bertanggungjawab. Daripada sikap kurang peramah pemandu teksi kepada kecenderungan untuk tidak menggunakan metre apabila mengambil penumpang sehinggalah kepada harga yang keterlaluan dan keadaan teksi yang sempit dan berbau, semuanya memberikan tanggapan negatif di mata penumpang dan pelancong asing. Pelbagai alasan seperti jalan sesak dan laluan perjalanan yang dipilih tidak menguntungkan cuba diberikan oleh pemandu teksi untuk menjustifikasikan tindakan mereka. Namun, cubaan mereka itu bukanlah sesuatu yang asing tetapi sekadar escapisme untuk meneruskan tabiat lama mereka itu. Bagi mereka, itulah satu-satunya cara terbaik untuk meneruskan kelangsungan hidup tatkala persaingan untuk mendapatkan penumpang semakin sengit dengan kemunculan lebih banyak perkhidmatan teksi seperti Uber dan kereta-kereta mewah yang jelas menawarkan harga serta kualiti perkhidmatan yang jauh lebih baik. Apapun, penulis percaya bukan semua pemandu teksi di negara ini yang bersikap sedemikian. Jika ada sekalipun, ia hanya sebahagian kecil sahaja. Amat malang buat industri teksi di Malaysia kerana angkara segelintir pemandu teksi yang tidak bertanggungjawab, seluruh industri terbabit terpaksa menerima tempiasnya. Pengenalan perkhidmatan teksi Uber yang semakin mendapat tempat dalam kalangan penumpang sejak kebelakangan ini adalah reaksi langsung daripada ketidakpuasan hati penumpang terhadap kualiti perkhidmatan teksi. Apa yang cukup membingungkan di sebalik kontroversi yang tercetus, timbul pula suara-suara sumbang daripada para pemandu yang mendakwa perkhidmatan teksi Über telah menjejaskan sumber pendapatan mereka. Pemandu-pemandu teksi biasa ini mengadu perkhidmatan teksi Über tidak berlaku adil dengan memberikan harga yang lebih murah kepada penumpang-penumpang yang menggunakan perkhidmatan mereka. Jika diamati dengan lebih teliti, tidak salah untuk perkhidmatan teksi Uber mengenakan harga yang lebih rendah kepada penumpang kerana itu adalah hak serta strategi pemasaran mereka. Namun, itu tidak bermakna para pemandu teksi sedia ada tidak boleh melakukan sesuatu sebagai tindakbalas kepada perkhidmatan teksi Uber. Ternyata, mereka boleh bertindakbalas dengan meningkatkan kualiti perkhidmatan teksi mereka ke tahap yang lebih baik. Masa ini juga wajar dimanfaatkan untuk mengikiskan segala kelemahan serta lompong yang timbul.


Pemandu-pemandu teksi biasa ini mengadu perkhidmatan teksi Über tidak berlaku adil dengan memberikan harga yang lebih murah kepada penumpang-penumpang yang menggunakan perkhidmatan mereka. ― AFP pic

Apabila Jabatan Pengangkutan Jalan atau JPJ baru-baru ini mengumumkan akan mengambil tindakan ke atas perkhidmatan teksi Uber bermula semalam (1 Oktober), masyarakat pada umumnya menyifatkan tindakan tersebut tidak kena pada tempatnya. Bagi mereka, tindakan ke atas Uber bukan sahaja tidak masuk akal bahkan tidak menangani masalah pokok utama yang berbangkit. Sebaliknya, ramai yang menggesa pihak berkuasa seperti Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat atau SPAD dan JPJ untuk meneliti secara rapi masalah-masalah yang dihadapi pemandu teksi dan tidak bertindak secara melulu seperti mengambil tindakan ke atas pemandu teksi Über. Apa salahnya mereka menawarkan kualiti perkhidmatan yang baik kepada penumpang? Bukankah itu yang dimahukan oleh setiap penumpang? Mengapa pula pihak yang berupaya menawarkan kualiti perkhidmatan yang baik pula dikenakan tindakan? Pastinya, pihak berkuasa tidak perlu untuk menghalang pihak yang dapat memberikan perkhidmatan bagus dan diterima baik oleh penumpang. Sebarang tindakan yang keras hanya akan mengundang kemarahan serta ketidakpuasan hati umum. Mereka seharusnya memberikan keutamaan yang lebih mustahak dan menyelesaikan isu yang sebenarnya. Pada masa yang sama, para penumpang tidak wajar diheret ke dalam kemelut antara Uber dan pihak berkuasa. Pihak berkuasa wajar memikirkan satu jalan penyelesaian yang lebih pragmatik untuk meleraikan kontroversi berkenaan. Dalam konteks ini, masalahnya tidak terletak pada perkhidmatan teksi Uber tetapi lebih menjurus kepada bagaimana caranya pihak berkuasa di Malaysia menangani masalah kualiti perkhidmatan teksi yang dilaporkan berada pada tahap kurang memuaskan sejak sekian lama. Kepada pemandu-pemandu teksi di negara ini, mereka patut melihat kemunculan perkhidmatan teksi Uber sebagai satu penyuntik semangat kepada mereka untuk meningkatkan mutu kerja dan perkhidmatan mereka. Daripada sentiasa mengeluh mengenai kelangsungan mereka, adalah lebih baik jika pemandu-pemandu teksi yang dimaksudkan itu melakukan sesuatu yang proaktif bagi menyaingi perkhidmatan teksi Uber. Kecenderungan mereka untuk merungut bukan satu strategi yang bijak kerana ini hanya memperlihatkan ketidakmatangan serta kemampuan pemandu-pemandu teksi tempatan untuk bersaing di peringkat antarabangsa. Pemandu-pemandu teksi kita perlulah keluar daripada zon selesa dan melakukan anjakan paradigma untuk meneruskan kelangsungan mereka. Mereka juga tidak wajar gentar untuk bersaing dengan pesaing-pesaingnya yang lain. Persaingan sihat sebenarnya baik untuk industri teksi negara. Sekurang-kurangnya persaingan ini akan meletakkan para pemandu teksi biasa untuk sentiasa bersedia  untuk menghadapi sebarang kemungkinan dengan penuh yakin. Rahsia untuk berjaya tidaklah sukar. Segalanya terletak pada keupayaan pemandu-pemandu teksi untuk memberikan kualiti perkhidmatan yang dimahukan oleh para penumpang. Dalam industri perkhidmatan, segalanya berkisar kepada aspek perkhidmatan. Jika kualiti perkhidmatan yang diberikan adalah baik, maka tidak ada sebab mengapa para penumpang akan menjauhi pemandu-pemandu teksi negara. Malah, mereka sebenarnya boleh meraih kepercayaan daripada para penumpang yang diambilnya selain membentuk satu bentuk hubungan yang lebih intim dengan penumpang. Soalnya, apakah pemandu-pemandu teksi negara bersedia untuk menyahut cabaran tersebut? Ataupun mereka gentar untuk berhadapan dengan cabaran yang mendatang? Imej pemandu-pemandu teksi negara kini berada di persimpangan. Seluruh dunia tahu bahawa imej pemandu teksi mendapat kecaman hebat.  Namun begitu, inilah masa terbaik untuk mereka menunjukkan kepada dunia bahawa kualiti perkhidmatan teksi negara sebenarnya setanding malah lebih baik daripada teksi-teksi di negara-negara maju. Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih! * Pandangan di atas hanyalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pandangan Malay Mail Online

Related Articles

 

You May Also Like