Opinion
Ada apa dengan muzik folk

OGOS 3 — 14 tahun lepas saya pernah berbual bual dan bertukar tukar pandangan dengan seorang rakan seperjuangan dalam bidang muzik, Jaie vokalis utama kumpulan yang berkonsepkan death metal tempatan yang bertaraf ‘otai’.

Jaie bersama band metalnya Sil Khannaz berjaya menempa nama di persada muzik underground tempatan sehingga berjaya menempatkan nama mereka dalam kelompok majoriti peminat muzik underground tempatan terutamanya untuk genre metal.

Isu yang kami bincangkan adalah tentang tahap penerimaan masyarakat kita terhadap genre muzik ‘folk’. Ianya memang sukar kerana siapa penyanyi folk kita yang paling menonjol? Sejak bila muzik folk wujud di Malaysia?

Waktu itu tahun 2000, beliau mengambil risiko dengan menerbitkan album pertama saya, Pesta Jiwa yang berkonsepkan folk. Album yang mendapat kerjasama dari segi susunan muzik dan mixing oleh multi instrumentalis, saudara Jadam itu telah dijalankan di studio milik Jaie yang terletak di Jalan Loke Yew waktu itu.

Kita punya kumpulan Kembara, Raushanfikir dan Art Fadhil, Kopratasa, Sani Sudin, Sohaimi Mior Hassan, Harmoni, Aimen yang lagu-lagu mereka punya mood folk pop dan rock yang kuat di awal tahun 80an dulu. Lagu-lagu mereka juga bertemakan kehidupan, alam dan kemanusiaan.

Paling hebat kita boleh katakan kumpulan Kembara yang diketuai M.Nasir di tahun 80an dulu, itupun masih terlalu pop dan formal jika hendak dibandingkan dengan produk yang dimiliki Indonesia seperti Gombloh, Ebiet, Leo Kristi, Franky Sahilatua mahupun Iwan Fals.

Mereka ini hadir di pasaran dalam keadaan solid, sebagaimana mereka seadanya yang bebas dan lepas dalam berkarya dan menariknya produk mereka yang jujur itu diterima malah berjaya mengangkat nama mereka sehingga menjadi legenda.

Gombloh di awal tahun 70an sudah terkenal dengan konsep muzik psychedelic dan rock progresifnya bersama kumpulan Lemon Trees dengan lagu dan mesej yang merakyat. Apatah apabila karya karya awalnya sewaktu berkarier secara solo dengan konsep muzik yang lebih merakyat.

Tidak hairanlah tukang sapu pun boleh layan lagu-lagu Fals dan Gombloh, walau mungkin tidak menyeluruh.

Maknanya Indonesia lebih dahulu maju dari kita dari segi kefahaman mereka tentang muzik folk. Mungkin sebab populariti penduduknya yang ramai berkali kali ganda dari kita. Juga pendedahan terhadap karya seni yang tidak konvensional sejak di zaman Chairil Anwar, di penyajak lagenda mereka sejak di tahun 40 an lagi.

Apabila Fals muncul dengan album pertamanya, walau masih bergelar pengamen di penghujung tahun 70an dulu, masyarakat sudahpun memahami konsep yang mahu disampaikan kerana ianya sekual dari penyanyi folk yang terdahulu seperti Gombloh yang mula dikenali bersama band Lemon Trees pada tahun 1978 dulu dengan album pertama mereka ‘Nadia dan Atmospheer’ ( 1978 )

Saya dulu pernah ditanya oleh seorang wartawan, “ muzik folk itu apa? Adakah seperti lagu Dondang Sayang?”

Untuk kita menjawab soalan bodoh seperti itu memang leceh. Macamana nak bercerita tentang album dan konsep kalau kefahaman tentang muzik pun tak sampai dan tak minat ?

Jadi di negara kita ini, perkembangan muzik folk memang tidak akan berkembang luas seperti muzik rock, metal mahupun trash di negara ini.

Nak harapkan sokongan dari kelompok minoriti, itu memanglah ada tapi kalau album paling banyakpun hanya terjual dalam 300 - 500 unit, macamana nak hidup dan berkarya?

Folk adalah tentang isi dan cerita. Folk bukan tentang imej yang garang. Ianya tentang kejiwaan, kemanusiaan, kehidupan, ketuhanan yang tidak ada unsur glamour yang berlebihan yang terzahir pada luarannya.

Muzik trash berkembang dengan cepat di Malaysia pada pertengahan tahun 80an dulu, sekual dari pengaruh band-band trash yang hebat seperti Metallica, Megadeth, Sepultura mahupun Slayer antaranya.

Benda paling mudah, jika diletakkan lagu folk yang kunci utamanya adalah gitar tong dan lagu heavy metal yang bingit. Hanya dengan sekali strumming tenggelam bunyi gitar tong.

Folk atau gitar tong menjadi popular di sini bila Kurt Cobain muncul dalam program MTV Nirvana Unplugged pada tahun 1993 yang langsung menjadi fenomena di merata dunia waktu itu.

di mana mana anak anak muda mula mengusung gitar tong ke sana ke mari dengan muka dan rambut berserabai konon nak jadi seperti Kurt Cobain. Baju juga jenis petak petak seperti yang dipakai Kurt Cobain sewaktu persembahan unplugged.

Sejak itu segala macam band termasuklah band-band rock kapak kita berebut-rebut muncul dengan konsep unplugged. Begitulah betapa berpengaruhnya Kurt Cobain dan Nirvana sehingga berjaya merubah iklim muzik se dunia waktu itu.

Apapun saya berterimakasih kepada Jaie kerana sanggup menerbitkan album pertama saya yang berkonsep ‘folk’. Beliau berminat untuk menerbitkan album saya kerana beliau juga merupakan peminat lagu lagu Iwan Fals, penyanyi lagenda Indonesia.

Ramai rakan seperjuangan saya yang kita kata dalam jenerasi baru yang turut menerbitkan album yang berkonsepkan folk dan mereka juga merupakan singer song writer berbakat seperti Azmyl Yunor, Nik Jidan dan Black @ Amin Iskandar antaranya.

Dugaan dan kekangannya adalah sokongan. Mereka hanya bergantung pada golongan minoriti yang berminat dengan konsep dan muzik yang mereka perkenalkan. Radio? Itu memang payah sikitlah sebab namapun indipenden. Televisyen ? adalah keluar dalam rancangan pukul 7 pagi di hari biasa, siapa yang perasan?

Di sini segalanya baru nak bermula. Baguslah sekurang kurangnya ada sedikit peningkatan dari segi penerimaan, terutamanya dari kalangan anak anak muda yang suka berfikir.

* Pandangan di atas adalah pandangan peribadi penulis.

Related Articles

 

You May Also Like