31 JULAI — Akhir-akhir ini, begitu banyak kes penyalahgunaan media sosial kedengaran di sana sini.
Daripada perbuatan tidak bertanggungjawab segelintir individu yang memuatnaik komen, gambar, video atau paparan yang mengaibkan kepada isu-isu menghina institusi diraja, agama dan sesebuah kaum, semuanya memperlihatkan ketidakmatangan pengguna media sosial di Malaysia.
Saban hari, ada sahaja laporan dalam media yang mengetengahkan kemarahan dan aduan pihak-pihak tertentu terhadap pengguna media sosial yang tidak bertanggungjawab itu. Bagi mereka, perbuatan tidak bertanggungjawab dan kurang ajar itu dilihat mampu mencetuskan perbalahan antara kaum di negara ini.
Lebih merimaskan, terdapat kecenderungan dalam kalangan pengguna media sosial yang gemar berkongsi dan memuatnaik sesuatu video dan gambar di laman sosial. Semuanya dibuat dengan harapan untuk menyebarkan berita kepada orang lain. Ada juga yang ingin menjadi hero bahkan selebriti segera dalam sekelip mata.
Misalnya, dalam insiden pembunuhan Norazita Abu Talib di Ambank USJ Sentral pada Oktober 2013 lalu, video pembunuhan wanita berkenaan dikongsi oleh pengguna-pengguna media sosial. Disebabkan kebanyakan pengguna media sosial ingin menjadi “wartawan” dan kaki penyibuk, maka video berkenaan sudah menjadi viral dan mendapat perhatian ramai.
Malangnya, penyebaran video itu telah memberikan aib kepada keluarga si mangsa. Bukan sahaja privasi keluarga si mangsa terganggu bahkan juga meletakkan keselamatan keluarga berkenaan kini terancam. Begitu juga halnya dalam insiden penyebaran gambar mayat-mayat penumpang pesawat MH17 oleh pengguna media sosial.
Melihatkan kepada dua insiden ini, di manakah pergi etika pengguna media sosial? Kenapa begitu emotional dan beria-ia untuk menyebarkan bahan-bahan sensitif dalam laman sosial? Apakah manfaatnya yang akan diperoleh oleh mereka selepas bahan-bahan berkenaan disebarkan?
Tidak dinafikan tindakan menyebarkan berita dengan berkongsi dengan orang lain adalah penting namun pengguna media sosial perlu bijak membezakan mana yang penting dan mana yang tidak. Pada masa yang sama, mereka juga harus memikirkan juga perasaan dan sensitif pihak yang diperkatakan dalam media sosial. Dalam erti kata lain, pengguna haruslah beretika ketika menggunakan media sosial.
Sesungguhnya, media sosial boleh menjadi kawan baik kepada pengguna media sosial jika ia digunakan dengan betul. Tetapi ia juga boleh menjadi musuh jika ia disalahgunakan. Hakikatnya, pilihan terletak di tangan pengguna media sosial. Mereka boleh memilih untuk memanfaatkan platform yang sedia ada untuk tujuan yang bermanfaat ataupun untuk mengubah kehidupan seseorang. Semuanya banyak bergantung kepada mentaliti pengguna.
Yang pasti, tindakan penguatkuasaan oleh pihak berkuasa hanyalah merupakan sebahagian daripada penyelesaiannya tetapi ia tidak semestinya menjamin masalah tersebut ditangani hingga ke lubang cacing. Apa yang penting ialah “self-regulation” oleh pengguna sendiri. Pengguna boleh mengawal nafsu dan perasaan dengan memilih untuk mengawal apa yang ingin dimuatnaik. Jangan disebabkan oleh tekanan rakan sebaya, kita pun terikut-ikut dengan perasaan.
Justeru, inisiatif oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) melaksanakan kempen Klik Dengan Bijak (KDB) pada pertengahan Julai 2012 merupakan satu inisiatif yang kena pada masanya. KDB dilancarkan bertujuan untuk mencetus kesedaran dalam kalangan pengguna terhadap peri-pentingnya menggunakan internet secara berhemah.
Penekanan kepada tiga teras utama iaitu Keselamatan, Kewaspadaan dan Tanggungjawab di bawah kempen ini amat bersesuaian kerana ia memberi penekanan kepada semua aspek agar pengguna tidak akan terperangkap atau terjerat ke dalam lubang yang lebih dalam.
Maka, kerjasama erat dengan beberapa organisasi seperti Persatuan Pengakap Malaysia dan Jabatan Latihan Khidmat Negara umpamanya telah memberi platform terbaik kepada MCMC untuk mendidik pengguna media sosial dari peringkat awal. Pendidikan dan kesedaran di peringkat awal khasnya di sekolah mampu memberikan kesan yang lebih efektif dalam mengubah sikap seseorang pengguna terhadap penggunaan media sosial yang beretika. Kajian telah menunjukkan usaha mendidik pengguna lebih berkesan jika ia dimulakan dari peringkat awal yakni sewaktu di bangku sekolah.
Kepada pengguna media sosial, ingatlah apa yang dimuatnaik dalam talian, akan terus kekal dalam talian selama-lamanya. Anda telah pun diberi peringatan oleh pihak berkuasa menerusi kempen-kempen yang telah dijalankan supaya berwaspada ketika menggunakan media sosial. Pastikan anda tahu membezakan mana yang sepatutnya diletakkan di platform awam dan platform peribadi.
Ketika menggunakan media sosial, pastikan juga anda membaca terma serta syarat-syarat yang telah ditetapkan. Ini bagi mengelakkan daripada berlakunya salah faham ketika berlakunya sesuatu masalah. Apabila berlakunya masalah, janganlah hanya tahu menyalahkan pihak regulator dan berkuasa.
Cuba tanya diri sendiri apakah masalah tersebut berlaku kerana kita sendiri tidak memainkan peranan dan enggan mengambil tahu apa yang sedang berlaku di sekeliling? Pernahkah anda bermuhasabah dan bertanya kepada diri sendiri apakah kita pernah bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk menangani masalah penyalahgunaan media sosial ataupun hanya tahu menyalahkan orang lain?
Tidak dinafikan tindakan menyebarkan berita dengan berkongsi dengan orang lain adalah penting namun pengguna media sosial perlu bijak membezakan mana yang penting dan mana yang tidak. — AFP pic
Realitinya, peranan yang boleh dimainkan oleh pihak berkuasa adalah terbatas. Ia tidak akan berkesan dan tidak mungkin berjaya jika hanya satu pihak sahaja yang bertindak. Sebaik-baiknya ia harus mendapat kerjasama menyeluruh daripada rakyat bagi memastikan masalah tersebut dapat ditangani hingga ke lubang cacing.
Bagi penulis, orang yang suka menyalahgunakan media sosial semata-mata untuk memuaskan nafsu, kemarahan dan ego adalah mereka yang gila dan dahagakan publisiti murahan. Biarlah manusia begini terus berkhayal dalam mimpi mereka tetapi kita sebagai pengguna media sosial bertanggungjawab, boleh memainkan peranan.
Kepada mereka yang marah terhadap manusia sebegini, usah buang masa dengan golongan berkenaan. Pastikan anda mendapat gambaran yang sebenar mengenai sesuatu isu dan gunakan kebijaksanaan untuk menilai berita yang benar dan palsu.
Usah juga terperangkap dengan permainan pihak-pihak tertentu yang sengaja menyalahgunakan media sosial untuk mencetus kemarahan kerana itulah sebenarnya matlamat mereka. Mereka ingin melihat reaksi marah daripada pihak yang disasarkannya.
Apakah berbaloi untuk kita marah dengan perbuatan tidak bertanggungjawab pihak yang gila ini? Jika terdapat 1,000 atau 5,000 kes yang serupa, apakah kita wajar menumpukan sepenuh jiwa raga dan mengikut rentak permainan musuh?
Bukankah lebih baik jika kita memberikan fokus sepenuhnya kepada usaha menangani masalah penyalahgunaan media sosial secara tuntas? Penulis mengakui, usaha untuk mendidik dan menangani penyalahgunaan media sosial akan memakan masa. Tetapi usaha ini adalah perlu dan kita sebagai pengguna yang bertanggungjawab boleh menggalas tanggungjawab murni ini bersama-sama dengan pihak berkuasa seperti MCMC dan polis.
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan Malay Mail Online.
You May Also Like