Opinion
Buka minda, jangan taksub
Monday, 28 Jul 2014 7:07 AM MYT By Bartholomew Chan

28 JULAI ― Kurang 30 hari sahaja lagi, Malaysia akan menyambut ulang tahun kemerdekaannya yang ke-57.

Dalam tempoh sebulan ini, pastinya pelbagai aktiviti telah diatur oleh pelbagai agensi kerajaan dengan harapan untuk menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan rakyat Malaysia.

Tema sambutan yang dipilih untuk tahun ini ialah Di Sini Lahirnya Sebuah Cinta yang dipetik daripada lagu “Warisan” nyanyian penyanyi tersohor negara, Allahyarham Sudirman Hj. Arshad.

Pemilihan tema berkenaan dilihat tepat pada masanya menyedari usaha untuk mengembalikan semangat kecintaan rakyat kepada negara harus bermula dengan perkara-perkara asas yang kita sering ambil mudah seperti sikap bersyukur kita kepada nikmat yang dikecapi selama ini.

Patriotisme rakyat terhadap negara boleh dimanifestasikan dalam pelbagai bentuk, selain daripada mengibarkan Jalur Gemilang. Ada yang menunjukkan taat setia mereka dengan mengharumkan nama negara di persada antarabangsa baik dalam bidang sukan mahupun dalam kerjaya mereka. Biarpun usia negara kita masih muda tetapi rakyat Malaysia harus faham dan memahami penghayatan kemerdekaan negara. Penghayatan tersebut tidak akan membawa sebarang makna jika kita sentiasa iri hati dan curiga terhadap orang lain.

Sepanjang 57 tahun, pemimpin-pemimpin dan rakyat negara ini masih bercakap untuk berkompromi dan bertolak-ansur sedangkan kita sepatutnya sudah menerima antara satu sama lain. Tidak ada sebab mengapa rakyat berbilang kaum di negara ini tidak boleh menerima antara satu sama lain melainkan mereka memilih untuk tidak menerimanya atau syak-wasangka terhadap pihak satu lagi.

Tidak kiralah rakyat tersebut adalah orang Melayu, Cina, India, Serani dan lain-lain, semuanya adalah abang dan adik yang bernaung di dalam sebuah keluarga besar yang merdeka dan berdaulat, Malaysia. Tidak ada satu negara di dunia ini seperti Malaysia yang mana masyarakat berbilang kaumnya dapat hidup sebumbung dalam keadaan harmonis dan aman.

Keunikan inilah barangkali tidak begitu dihargai oleh segelintir rakyat Malaysia sehinggakan ada pihak-pihak tertentu yang cuba mengeruhkan keadaan sedia ada. Mungkin kerana keunikan yang wujud inilah yang menyebabkan ramai daripada kita semua alpa dan mengambil mudah dengan keadaan sedia ada.

Apabila tindakan Siti Fairrah Asykin Kamaruddin atau Kiki memarahi seorang pemandu warga emas bernama Uncle Sim di Kuantan menjadi ‘viral’ di media sosial, ramai pihak yang cuba menjadi bijak pandai dan memberi ulasan terhadap insiden berkenaan.

Majoriti mereka melihat tindakan Kiki itu sebagai biadap dan wajar menerima hukuman yang dikenakan. Bagi mereka, tindakan Kiki memarahi Uncle Sim itu tidak kena pada tempat memandangkan warga emas berkenaan sudah memohon maaf dan berjanji untuk membayar ganti rugi kepada Kiki.

Tidak kurang juga, terdapat segelintir penulis atau blogger dalam portal internet yang cuba mengaitkan insiden ini sebagai satu isu perkauman. Pelbagai teori cuba diungkit-ungkitkan bagi menggambarkan insiden sedemikian mempunyai elemen perkauman selain mengaitkannya dengan parti politik pembangkang. Lebih menyedihkan, ada pula sesetengah media yang terus memberikan fokus kepada cerita berkenaan walhal ia sebenarnya tidak mempunyai nilai berita yang tinggi.

Di sinilah timbulnya kebimbangan bukan sahaja daripada penulis bahkan juga majoriti rakyat Malaysia yang cintakan keamanan. Pada hemat penulis, isu Kiki ini sebenarnya sudah pun selesai. Lagipun tempoh hari Kiki dengan penuh rendah diri telah memohon maaf dan dihukum oleh mahkamah untuk melakukan kerja-kerja komuniti. Insiden tersebut sepatutnya berakhir di situ.

Malangnya, perkara sebaliknya yang berlaku apabila isu Kiki dipanaskan oleh media. Disebabkan keghairahan pihak media untuk terus menjaja isu Kiki itu, ia secara tidak langsung telah memberi kesempatan kepada pihak tertentu untuk masuk campur dan memberikan pelbagai pandangan, ada yang berat sebelah dan ada juga yang tidak masuk akal. Apabila insiden berkenaan dipolitikkan, akhirnya insiden tersebut dilihat dari sudut mata yang berbeza sekaligus terpesong daripada versi asal.

Persoalan penulis kepada golongan ini, mengapakah setiap perkara harus dilihat daripada perspektif kaum? Mengapa pula isu-isu sedemikian tidak dibincangkan dalam konteks Kemalaysiaan? Bagaimanakah Malaysia boleh maju ke hadapan sekiranya semua perkara cuba dipolitikkan?

Tidak salah untuk pertubuhan bukan kerajaan mahupun pemimpin-pemimpin politik mempertahankan kaum mereka masing-masing kerana itu adalah hak mereka. Kita juga tidak boleh menafikan hakikat bahawa sentimen perkauman masih menebal di negara ini, lebih-lebih lagi ia merupakan salah satu daripada tunjang utama kepada kelangsungan parti-parti politik di negara ini.

Apapun jua keadaan selepas ini, adalah diharapkan agar pemimpin-pemimpin politik negara, pertubuhan bukan kerajaan mahupun orang-perseorangan, ubahlah sikap dan mentaliti anda dalam melihat sesuatu isu. Buka minda anda dan sentiasa berfikiran lapang dalam menangani isu-isu sensitif sebegini. Malaysia akan terus kempunan dan Malaysia akan terus ketinggalan jika kita semua masing-masing mempunyai haluan tersendiri. Sesebuah negara itu akan kucar-kacir dan hancur jika elemen perpaduan dikesampingkan.

Sehubungan itu, ketibaan 1 Syawal hari ini wajar dijadikan sebagai titik permulaan baharu dalam hubungan antara kaum di negara ini. Malaysia telah pun diuji dengan pelbagai tragedi sepanjang tahun 2014 seperti kehilangan pesawat MH370 dan malapetaka yang menimpa pesawat MH17. Apakah kita perlu menunggu tragedi demi tragedi untuk berlaku, barulah rakyat kita akan kembali bersatu? Bukankah perpaduan utuh dalam kalangan rakyat menjadi senjata paling ampuh untuk berhadapan dengan musuh luar yang sudah pun merancang menyerang negara secara tidak langsung? Sedarlah dari sekarang.

Jangan terhantuk, baru terngadah!

Salam Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin!

*Pandangan di atas hanyalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pandangan The Malay Mail Online.

Related Articles

 

You May Also Like