Opinion
Hari raya yang datang dan pergi

JULAI 27 — Berkemungkinan besar umat Islam akan menyambut hari raya esok ( isnin, 28 Julai 2014 ). Waktu semakin cepat berlalu. Pejam celik, terasa baru kelmarin kita menyambut hari raya yang lepas.

Bercerita tentang raya, apa yang menariknya tentang hari raya adalah cara kanak kanak dan anak muda Melayu menyambutnya. Raya dan mercun tidak dapat dipisahkan. Mercun pula walau yang dibeli di kedai, akan diubah suai mengikut daya dan kreativiti. Ramai yang nak jadi MacGyver sepanjang bulan ramadan berlangsung.

Salah satu cara, contohnya seperti mercun tarik itu akan dibuka balutannya untuk dikeluarkan dan diambil belerangnya. Kemudian belerang tersebut setelah cukup sukatannya akan dimasukkan ke dalam batang paip dan dijolok sehingga padat. Kalau nasib tak baik paip itu akan meletup.

Kesannya mungkin muka dan tangan akan hancur.

Saban tahun pasti ramai anak muda maupun kanak kanak berbangsa Melayu terutama yang tinggal di luar bandar sana yang mendapat kemalangan kerana bermain mercun. Glamour lah sekejap sebab muka dan tangan berbalut keluar surat khabar.

Walau sepatutnya orang Cinalah yang lebih berhak bermain mercun kerana itu terkandung dalam adat dan kepercayaan mereka, orang Melayu pula terlebih dan kreatif pula.

Berbanding dengan tahun tahun sebelumnya, tahun ini saya kira jumlah kemalangan kerana main mercun buatan sendiri semakin berkurangan.

Mengimbau raya di zaman kanak kanak, suasananya cukup meriah sewaktu saya di kampung dulu.

Persiapan untuk raya dibuat dua minggu sebelum raya lagi. Segala apa syaratnya seperti berpuasa selama sebulan, setiap malam tak tinggal solat tarawih sehinggalah ke malam raya mood dan keseronokannya sentiasa dinanti dan raikan.

Membakar lemang, mengacau dodol, menolong emak membuat berbagai jenis kuih tradisional Melayu seperti bahulu dan kuih bakar antaranya. Saya sempat melalui zaman itu.

Dulu di zaman kanak kanak saya, apabila dua tiga hari menjelang raya saya akan bermain meriam tanah yang dibuat sendiri. ada yang bermain meriam buluh, ada yang bermain kejar kejar satu kampung berpelurukan mercun terbang yang apabila terkena, memang menyakitkan sehingga baju kita boleh terbakar.

Kita lari waktu itu memang sebab takut sebab jika terkena mercun terbang, rasanya amat menyakitkan sampaikan habis baju boleh terbakar.

Klimaks nya apabila abang dan kakak kakak saya balik kampung untuk beraya. Saya anak yang bongsu, jadi biasanya mereka akan belikan baju raya yang akan dipakai sewaktu raya pertama.

Suasana memang menyeronokkan kerana waktu itu bagi saya nilai kemesraan dan kasih saying antara adik beradik itu jelas. Mungkin kerana masing masing waktu itu baru atau sedang mencari arah hidup, visi dan tujuan.

Apabila berada di sekolah menengah, biasanya saya akan membeli baju raya di Sitiawan, Ipoh atau Taiping. Saya akan ke sana dengan beberapa orang kawan dengan menaiki bas.

Selepas tamat zaman persekolahan, misi kita lebih ke arah mencari arah matlamat hidup dan tujuan.

Maka kita pun tinggalkan zaman kanak kanak dan remaja untuk beralih musim ke zaman dewasa yang lebih mencabar dan realistik sifatnya.

Menginjak ke dunia dewasa terutamanya di zaman bujang saya yang penuh dengan nilai rebel dan idealis, saya sering tinggal seorang diri di rumah bujang sewaktu hari raya pertama dan hanya makan maggie sahaja.

Apa yang nak dibuat di Kuala Lumpur pada raya pertama? Jalan jalan semuanya lengang.

Kebanyakan kedai makan ditutup. Kedai kedai runcit juga ditutup bersempena hari raya.

Sudahnya sehari suntuk itu saya akan duduk sambil layan lagu Beatles, I Me Mine juga lagu lagu Pink Floyd dan Kitaro.

Waktu itu sehinggalah ke hari ini, zaman raya sudah berlalu. Hari raya hanyalah hari hari biasa yang kita akan lalui dan ianya tidak memberi apa makna pun pada saya.

Saya pernah busking di malam raya pertama di sekitar Bangsar pada tahun 2004 dulu. Sewaktu busking di sebuah kedai makan, seorang lelaki India bertanya, “ you tak celebrate raya ka?”, soalnya dengan penuh kehairanan. Saya hanya tersenyum tanpa jawapan.

Hari raya adalah untuk kanak kanak. Mereka perlu melalui zaman kanak kanak yang penuh dengan keseronokan sebagaimana yang kita lalui dulu. Putaran hidup di dunia ini begitulah caranya.

Sepanjang saya berada di KL Sentral selama beberapa tahun di musim perayaan, klimaks untuk sambutan hari raya adalah sewaktu para warga beramai ramai hingga datang ke KL Sentral untuk balik kampung dengan beg dan barang keperluan masing masing.

Kita boleh lihat terpancar keceriaan di wajah mereka waktu itu. Kalau di KL Sentral memang ramailah orang kerana mereka menggunakan perkhidmatan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB). Kalau di Pudu Sentral mereka menggunakan perkhidmatan bas ekspres.

Jadi kesimpulannya mood yang paling menarik adalah apabila tiba masanya nak balik kampong beraya dengan sanak dan saudara.

Perkara yang paling tak best pula apabila saban tahun setiap kali para warga balik kampung, pasti berlaku kemalangan jalanraya yang melibatkan ramai nyawa terkorban. Tahun ini kita tidak pasti berapa nyawa yang akan melayang kerana kemalangan.

Cuma rasa ghairah dan seronok itu mungkin menurun tahun ini kerana MH17 yang mengorbankan banyak nyawa, juga tragedi di Gaza yang sangat menyayat hati. Agak tidak adil kita di sini bersuka sukaan sedang mereka di sana setiap waktu sentiasa berada di ambang maut dek kekejaman Israel.

Di kesempatan ini saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya kepada semua pembaca yang membaca ruangan saya di portal ini dengan ucapan ‘terimakasih atas sokongan anda semua’, moga tulisan dan pandangan saya walaupun hanya secebis, dapat memberi manfaat kepada kita semua selain dari bertukar tukar pandangan.

Terima kasih dan jika balik kampung beraya, berhati hatilah memandu di jalanraya.

* Pandangan di atas hanya pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pandangan Malay Mail Online.

Related Articles

 

You May Also Like