Opinion
Berikan pembelaan sewajarnya kepada golongan gelandangan
Wednesday, 09 Jul 2014 8:10 AM MYT By Bartholomew Chan

9 JULAI — Pengemis, gelandangan, tukang sapu sampah mahupun tukang bersih – ini adalah antara golongan marhaen yang jarang mendapat perhatian masyarakat. Keadaan tersebut barangkali ada kaitannya dengan persepsi negatif umum terhadap mereka.

Bagi masyarakat, golongan sedemikian dianggap sebagai golongan kelas rendah, kotor dan tidak membawa sebarang kebaikan kepada masyarakat. Dalam erti kata lain, mereka dianggap sebagai sampah masyarakat. 

Lebih mendukacitakan, golongan berkenaan jarang sekali mendapat pujian ataupun pengiktirafan daripada pihak berkuasa terhadap kebaikan yang telah disumbangkan mereka.

Kesemua pandangan negatif ini pada keseluruhannya dibentuk oleh satu takuk pemikiran sempit yang mana sudah wujud satu “siege mentality” bahawa golongan bawahan tersebut adalah golongan yang tidak produktif dan tidak perlu diberikan penghormatan.


Bagi masyarakat, golongan sedemikian dianggap sebagai golongan kelas rendah, kotor dan tidak membawa sebarang kebaikan kepada masyarakat. — Gambar oleh Choo Choy May

Hakikatnya, kecenderungan masyarakat kita untuk menghakimi golongan bawahan ini hanya dengan berpandukan kepada penampilan dan sikap mereka, adalah sesuatu yang kurang adil dan berat sebelah.

Bermulanya kehidupan di muka bumi ini, adalah anugerah Tuhan. Justeru, pemberian tuhan itu dalam bentuk manusia tidak harus dipertikaikan. Tidak kiralah individu berkelas rendah ataupun tinggi, yang pasti mereka mempunyai kebaikan tersendiri yang boleh dijadikan iktibar kepada semua.

Persoalannya, mengapakah masih dalam kalangan masyarakat kita yang gemar menghakimi seseorang hanya berdasarkan kepada penampilan dan sikap mereka? Apakah mereka yang menghakimi golongan bawahan ini sempurna sifatnya sehingga dirinya tidak mempunyai cacat-cela?

Persoalan ini membawa kita kepada pengumuman seorang Menteri Kabinet bahawa Soup Kitchen tidak dibenarkan untuk mengedar makanan dan minuman kepada gelandangan di sekitar ibu negara. Juga, mana-mana individu yang didapati memberikan sedekah kepada gelandangan boleh dikenakan denda.

Biarpun kenyataan itu kemudiannya telah dinafikan oleh menteri yang berkenaan, namun kenyataan awal yang dikeluarkan itu sudah cukup untuk mencetuskan kemarahan pihak pengusaha Soup Kitchen dan gelandangan itu sendiri.

Ramai daripada kita khasnya generasi muda zaman kini belum pernah berhadapan dengan masalah kemiskinan apatah lagi mengharungi zaman peperangan seperti mana yang pernah dialami oleh ibu bapa kita. Tetapi untuk merasai jerih-payah hidup, mereka harus dibiarkan melalui pengalaman pahit secara dekat.

Oleh itu, apa kata pemimpin negara turun padang dengan lebih kerap dan melihat sendiri penderitaan yang dihadapi mereka. Selain turun padang, mereka boleh makan bersama dengan gelandangan ini dan mendengar secara langsung suka-duka yang dihadapi mereka.

Bagi golongan yang belum pernah melalui detik-detik sukar, mereka boleh mengatakan apa sahaja bagi mempertahankan hujahnya. Akan tetapi, sikap mengelak itu hanya mendedahkan kepincangan serta sikap elitis terhadap penderitaan yang dihadapi oleh golongan yang kurang bernasib baik itu.

Sebaik-baiknya, pembuat dasar di negara ini perlu berfikir secara holistik mengenai langkah terbaik dalam menangani masalah gelandangan yang didakwa mereka mencemarkan kebersihan ibu kota. Pendekatan holistik yang dimaksudkan itu termasuklah dasar-dasar tidak berat sebelah yang mengambil kepentingan semua pihak.

Tidak ada sesiapa di dunia ini yang mahu lahir dalam kemiskinan. Bahkan jika diberi peluang, mereka mahu kaya seperti manusia lain.  Hidup dalam kemiskinan juga bukanlah satu dosa. Dalam konteks gelandangan ini, mereka juga tidak mahu mendapat makanan dan minuman secara percuma. Pastinya, mereka juga mempunyai maruah dan kesedaran bahawa ini bukanlah penyelesaian jangka panjang.

Tetapi, apakan daya — manusia yang merancang, tuhan yang menentukan. Dari satu sudut, kehadiran golongan gelandangan juga membawa beberapa mesej tersirat untuk direnungi oleh masyarakat. Pertama, ia menginsafkan kita bahawa masih ada segelintir masyarakat di luar sana yang masih terpaksa hidup kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Keduanya, ia juga mengajak masyarakat untuk sentiasa bersyukur dengan pemberian Tuhan dan bukannya mengeluh. Ketiga, ia juga mengajar kita untuk menghormati golongan gelandangan biarpun mereka datang daripada golongan bawahan.

Pada golongan atasan, gelandangan mungkin tidak dianggap sebagai wira masyarakat tetapi apa yang pasti, mereka juga merupakan sebahagian daripada masyarakat kita yang memerlukan perhatian dan kasih sayang kita. Sayangi dan hormati mereka. Setiap agama juga menganjurkan penganutnya untuk sentiasa berlaku adil kepada semua manusia.

Apakah golongan gelandangan telah diberikan pembelaan yang sewajarnya dalam kontroversi yang hangat diperdebatkan ketika ini? Penulis pasti semua daripada kita sudah pun mengetahui jawapannya.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malay Mail Online.

Related Articles

 

You May Also Like