2 JULAI — Setiap daripada kita, pastinya pernah menerima teguran sepanjang hayat mereka. Teguran tersebut hadir dalam pelbagai cara, sama ada yang sinis, berterus-terang ataupun teguran keras yang tidak sedap untuk didengar.
Menyulitkan keadaan lagi, teguran itu datangnya daripada mereka yang rapat dengan diri kita – ibu bapa, guru-guru sekolah, majikan mahupun rakan-rakan sekerja di pejabat.
Mahu tidak mahu, teguran adalah sebahagian daripada asam-garam dalam kehidupan seharian. Teguran lazimnya bertujuan untuk memperbetulkan keadaan di sesuatu tempat, kelakuan seseorang mahupun untuk kebaikan bersama.
Tidak dinafikan, tidak ramai daripada kita yang sanggup menerima kritikan oleh orang lain apatah lagi kritikan tersebut benar-benar mengenai sikap buruk kita yang tidak ditelanjangkan di khalayak selama ini.
Persoalannya, apakah begitu sukar untuk kita menerima sesuatu teguran biarpun menyedari teguran tersebut sememangnya berasas? Apakah ego kita lebih penting untuk dipertahankan sehingga menidakkan kebenaran di hadapan mata kita?
Keengganan untuk menerima teguran dengan hati terbuka membuktikan beberapa perkara iaitu seseorang itu sebenarnya mementingkan diri dan lebih mengutamakan pandangan dirinya sahaja. Selain itu, ia juga menunjukkan bahawa manusia lebih gemar untuk mendengar pujian, diberikan penghargaan bukannya kritikan.
Ramai yang menganggap kritikan itu sebagai sesuatu yang destruktif, negatif malah boleh menjatuhkan maruah mereka. Bagi kumpulan manusia sebegini, hanya pujian sahaja yang dianggap baik dan boleh membantu mereka. Dalam erti kata lain, mereka cenderung berfikir secara satu hala sahaja.
Apa yang dibangkitkan ini bukanlah rekaan semata-mata. Sebaliknya, situasi sebenarnya sedang berlaku di negara kita sama ada yang membabitkan segelintir pemimpin negara, parti-parti politik ataupun orang-perseorangan yang cuba mencari publisiti murahan.
Saban hari, ada sahaja kekecohan dan isu-isu panas dibangkitkan oleh mereka yang berkepentingan dengan harapan ia akan mendapat perhatian pemimpin atasan. Isu-isu yang diketengahkan pula sentiasa tertumpu kepada perkara-perkara seperti kaum dan agama yang akan membangkitkan emosi penduduk.
Tambah merunsingkan, apabila ada pandangan-pandangan selain daripada pihak yang tampil tadi, dengan pantas pandangan atau pendapat mereka diketepikan begitu sahaja. Tanpa sebarang sebab-musabab, suara-suara sumbang ini akan dilabel sebagai “anti-establishment.”
Jujur kata, kecenderungan untuk berfikir secara satu hala adalah sesuatu yang dangkal dan berfikiran sempit. Lebih tepat lagi, kumpulan manusia sebegini sebenarnya takut akan bayangan sendiri, tidak yakin dan mahu menjadi pak turut sahaja.
Bagi golongan ini, pandangan merekalah yang betul manakala yang lain harus ditolak bulat-bulat. Sesungguhnya, sikap sedemikian adalah tidak wajar dan tidak mencerminkan kematangan pemikiran seseorang. Apa yang seharusnya dilakukan ialah untuk mendengar terlebih dahulu pandangan pihak tertentu sebelum menolaknya jika ada keperluan.
Mendengar pandangan orang lain biarpun daripada ideologi mahupun latarbelakang yang berbeza, tidak bermakna seseorang itu bersetuju dengan pandangan yang dikemukakan. Dalam kehidupan manusia sebenarnya, mereka boleh bersetuju ataupun membantah. Malaysia merupakan sebuah negara demokrasi, maka semua rakyat bebas untuk menyuarakan pendapat mereka.
Mendengar pandangan dan menerima teguran tidak menjadikan seseorang itu lemah. Persepsi yang mengaitkan kesanggupan seseorang menerima teguran sebagai satu kelemahan jelas satu pandangan yang cukup sempit. Sebaliknya, kesediaan mendengar pandangan dan teguran sebenarnya adalah ciri-ciri seorang manusia yang berlapang dada. Tidak rugi untuk mereka berfikiran sedemikian kerana seseorang itu harus diberikan kebebasan meluahkan apa yang difikirkan benar dan tidak terkongkong dalam takuk minda lama.
Kita kini berada di abad yang ke-21. Di abad yang serba moden dan terbuka ini, ia turut menuntut agar manusia di muka bumi ini untuk berfikir seiring dengan peredaran zaman.
Oleh yang demikian, ketepikanlah ego dan bersedia untuk menerima teguran. Seperti rangkap pantun berikut: Yang baik itu jadikan teladan, yang buruk itu jadikan sempadan – inilah semangat dan sikap yang sebenar-benarnya wajar dipupuk dalam diri rakyat.
Ingat, teguran itu untuk kebaikan dan bukannya bertujuan untuk menjatuhkan kedudukan seseorang.
*Pandangan ini hanya pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pandangan The Malay Mail Online.
You May Also Like