Opinion
Ketepikan syak-wasangka, berganding bahu untuk sebuah Malaysia yang progresif
Friday, 27 Jun 2014 7:42 AM MYT By Bartholomew Chan

27 JUN — Malaysia akan menyambut hari ulang tahun kemerdekaannya yang ke-57 pada akhir bulan Ogos.

Mungkin bagi sesetengah daripada kita, tempoh 57 tahun itu merupakan sesuatu yang cukup panjang namun dalam konteks pembentukan sesebuah negara, tempoh tersebut boleh dianggap singkat dan muda.

Sepanjang tempoh lebih lima dekad ini, Malaysia telah mengharungi pelbagai suka-duka dan detik-detik sukar yang akhirnya mencorakkan Malaysia yang kita lihat ketika ini.

Semangat toleransi dan keupayaan masyarakat berbilang kaum di Malaysia untuk hidup harmoni di bawah satu bumbung terus menjadi asas utama kepada prinsip pemerintahan pemerintah sedia ada.

Umumnya, pendekatan yang diamalkan ini sememangnya langkah yang bijaksana kerana dalam sebuah masyarakat berbilang kaum seperti Malaysia, senjata terbaik untuk mengekalkan keharmonian ialah dengan mengambil pendekatan yang sederhana.

Namun ironinya, saban tahun, rakyat di negara ini diingatkan oleh pemimpin negara untuk terus mengamalkan sifat toleransi. Rakyat turut disarankan untuk sentiasa sensitif terhadap keperluan serta perasaan orang lain. Akan tetapi, sampai bilakah rakyat di negara ini harus diingatkan untuk bertoleransi?

Mengapa tidak rakyat Malaysia melangkah setapak ke hadapan dengan menerima rakan-rakan mereka daripada kaum lain sebagai abang atau adik dengan hati yang terbuka? Daripada terus memencilkan diri dan bersikap defensif, bukankah cara berkenaan lebih baik dalam mengurangkan perasaan syak-wasangka antara satu sama lain?

Tuhan telah mencipta semua manusia setara. Tuhan juga telah mencipta manusia kepada pelbagai ras, agama dan budaya agar umat manusia boleh berkenal-kenalan antara satu sama lain.

Malangnya, insiden-insiden kurang menyenangkan dan telatah segelintir kumpulan NGO yang cuba menangguk di air keruh dalam isu-isu sensitif membayangkan tahap kepercayaan dan perasaan saling hormat-menghormati dalam kalangan rakyat negara ini semakin luntur.

Lebih mendukacitakan, individu serta kumpulan-kumpulan sedemikian semakin berani mengeluarkan kenyataan dan mempamerkan sikap kurang sopan mereka terhadap sensitiviti masyarakat lain di negara ini. Perbuatan sedemikian sesungguhnya tidak akan mendapat tempat dalam hati kebanyakan rakyat di Malaysia.

Pastinya, ketika Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj bertungkus-lumus mendapatkan kemerdekaan negara daripada British, Perdana Menteri kita yang pertama itu mengimpikan sebuah Malaysia yang progresif, maju dan menjadi negara contoh kepada negara-negara lain.

Justeru, di mana silapnya untuk Malaysia ketika ini? Adakah situasi yang berlaku di dalam negara kita sekarang berpunca daripada sikap cemburu sekelompok masyarakat ataupun ia disebabkan oleh pentadbiran yang kurang cekap?

Walau apapun yang terjadi, gelagat serta tindakan oleh kumpulan-kumpulan yang dimaksudkan tidak boleh diterima. Kita, sebagai rakyat Malaysia mestilah sentiasa menghormati antara satu sama lain tanpa mengira kaum mahupun agama. Menghormati antara satu sama lain di sini turut mengambil kira hak serta perkara-perkara yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Apapun, usahlah melabelkan diri kita dengan kaum terlebih dahulu walhal kita semua adalah rakyat Malaysia. Kita semua dilahirkan di bumi yang bertuah ini dan di sinilah juga kita akan menghembuskan nafas terakhir kita. Jadi, hentikanlah segala karut-marut yang berlaku sekarang. Malaysia perlu melihat ke hadapan untuk maju.

Mungkin individu serta kumpulan-kumpulan yang cuba mencetuskan keadaan kurang senang itu lupa bahawa kunci utama kepada kemakmuran dan keharmonian Malaysia selama ini ialah kerana keupayaan masyarakatnya untuk bersatu-padu. Mungkin mereka juga lupa bahawa jika semua rakyat di negara ini bekerjasama dan bersatu-padu, nescaya mana-mana musuh luar tidak akan dapat mengalahkan Malaysia!

Apa yang berlaku di Iraq dan Afghanistan ketika ini sudah cukup untuk memberi keinsafan kepada rakyat di Malaysia bahawa kejatuhan sesebuah negara akan menjadi realiti jika rakyatnya tidak bersatu. Di Iraq, masyarakat dari fahaman Sunah bertelagah dengan masyarakat dari fahaman Syiah kerana faktor politik dan pengaruh. Kesudahannya, keadaan di Iraq makin porak-peranda dan berada di ambang perang saudara. Persoalannya, berbaloikah?

Semua rakyat di Malaysia perlu faham bahawa perasaan hormat-menghormati kepada orang lain tidak hanya mencakupi cara kita bertutur tetapi juga cara bagaimana kita melayan masyarakat lain sebagai manusia yang setara.

Kepada mana-mana kumpulan atau individu yang mengeluarkan kenyataan yang boleh mengguris perasaan masyarakat berbilang kaum di negara ini, maafkan mereka kerana mereka sebenarnya tidak tahu apa yang mereka sedang lakukan. Sebaliknya, kita harus mendoakan agar mereka kembali ke pangkal jalan. Tiada gunanya untuk kita bertikam-lidah kerana tindakan sedemikian hanya akan mengundang situasi yang lebih tegang.

Sebenarnya, perdebatan ini bukanlah berkisar kepada kumpulan atau individu mana yang lebih berkuasa tetapi sekadar untuk mempertahankan roh negara ini daripada terus dihambat dengan elemen-elemen yang kurang baik. Ayuh, marilah kita sama-sama berganding bahu dan berpadu tenaga untuk memacu Malaysia ke hadapan.

Sesebuah negara itu hanya akan maju dan progresif jika rakyatnya bersatu-padu. Sejarah telah membuktikan apabila rakyatnya tidak bersatu-padu, walau sehebat manapun negara terbabit, ia akan runtuh jua. Empayar Rom yang begitu gah satu ketika dahulu, akhirnya kecundang juga.

Memang benar, usaha membina sesebuah negara cukup sukar. Tetapi untuk merosakkannya, ia hanya berlaku dalam sekelip mata sahaja. Oleh itu, peliharalah negara tercinta kita ini sampai bila-bila. Jangan apabila berlaku sesuatu malapetaka, baru kita mahu bertindak. Ketika itu, segalanya mungkin sudah terlambat.

Sedarlah bahawa Malaysia adalah milik kita bersama — Orang Melayu, Cina, India dan kaum-kaum lain. Tanpa kehadiran kesemua kaum ini, barangkali tidak wujudlah Malaysia.

Marilah kita semua merealisasikan usaha menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang disegani dunia. Semuanya boleh menjadi kenyataan jika kita bersedia menggalas cabaran berkenaan.

Tidak kiralah anda orang Melayu, Cina mahupun India – kita semua adalah abang dan adik yang akrab dalam sebuah keluarga besar.

Tuhan berkati Malaysia!

* Pandangan di atas hanyalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pandangan Malay Mail Online.

Related Articles

 

You May Also Like