Opinion
Ke mana hilang si babi licik?

JUN 9 — Isu Asid Deoksiribonukliek (DNA) babi yang tiba-tiba meletup sekitar seminggu sebelum tarikh mengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan, Perak tiba-tiba juga “selesai” beberapa hari selepas “DAP tumbang” (meminjam tajuk utama Mingguan Malaysia, 1 Jun 2014).

Tentulah tidak ada apa-apa kaitan antara kedua-duanya, kecuali bahawa ada “mangkuk” (orang bodoh) yang menconteng salah satu poster calon DAP dengan kata “BABI” — sebelum diubah dengan penuh kreatif menjadi “BABE” oleh seseorang.

Sumber utama saya mengenai isu DNA babi adalah versi dalam talian (online) akhbar Utusan Malaysia dan Sinar Harian. Hanya selepas itu saya merujuk maklumat lebih terperinci, mendalam dan meluas di portal berita dalam talian yang lain.

Laman Sinar Harian (24 Mei 2014) melaporkan bahawa syarikat Cadbury Dairy Milk menarik balik dua produknya susulan penemuan DNA babi oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Turut dilaporkan di laman Utusan Malaysia bahawa KKM mengesahkan sampel coklat telah diuji dan didapati positif porcine (babi). Ketua pengarah kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, keputusan tersebut diperoleh hasil daripada tiga sampel coklat susu Cadbury yang diambil untuk analisis bagi tujuan pemantauan.

Maka meletup berita yang menggemparkan itu di ruang maya, khususnya menerusi laman rangkaian sosial seperti Facebook dan Twitter. Tentulah orang ramai — khususnya orang Islam — berhak untuk terkejut, marah dan kecewa dengan apa yang berlaku.

Semasa kanak-kanak, saya pernah makan daging babi hutan. Saya pernah termakan daging lembu yang dihidangkan orang Melayu-Islam yang “tidak tahu”.

Tokoh Ultra Kiasu, Ridhuan Tee Abdullah sendiri mengakui di Sinar Harian bahawa selain “pernah menjadi Kristian” (31 Oktober 2011), dia juga “pernah menternak dan memakan babi” (2 Jun 2014).

Sebagai pengamal multifaith, saya antara lain tidak makan daging lembu dan daging babi, serta tidak minum arak. Saya ada ramai saudara-mara dan rakan-rakan yang makan babi dan/atau makan lembu dan/atau minum arak. Itu hak dan pilihan mereka. Saya tiada masalah, selagi mereka turut menghormati hak dan pilihan saya.

Dalam isu DNA babi pula, ada puak tertentu yang tampil menuntut syarikat Cadbury menanggung kos membersihkan dan menukar darah dalam tubuh mereka! Serta-merta puak itu menjadi bahan lawak antarabangsa.

Mungkin darah yang disyaki tercemar oleh DNA babi dalam coklat lebih “haram” daripada rasuah, zina dan pelbagai perbuatan bertentangan agama yang dilakukan secara terang-terangan dan penuh sedar oleh puak berkenaan.

Dalam pada itu, gabungan badan-badan bukan kerajaan (NGO) Islam melalui Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mendakwa bahawa syarikat pengeluar coklat berkenaan sengaja mahu mengkhianati umat Islam.

Reaksi membabi buta jadi bahan lawak

Saya lungsung tidak terkejut apabila PPIM dan lebih 20 NGO Islam di bawahnya mengisytiharkan “jihad” serta mahu orang Islam memulaukan semua barangan Cadbury kerana kemungkinan ada bahan haram.

Lebih menarik apabila presiden PPIM, Nadzim Johan memberitahu wakil media bahawa syarikat Cadbury telah mengambil kesempatan atas sikap prihatin orang Islam dengan memasukkan bahan haram dalam produk itu bertujuan melemahkan umat Islam.

Allahu Akhbar! Pada 29 Mei 2014, Bernama melaporkan bahawa hukum coklat Cadbury yang didakwa mengandungi DNA babi adalah “halal dimakan”.

Menurut Majlis Fatwa Kebangsaan, ia termasuk dalam kategori “Umum al-Balwa” iaitu keadaan musibah atau kesukaran yang berleluasa dan sukar dielak.


Salah satu usaha memulihkan imej Cadbury. — Gambar oleh Adam Farhan

Perkara pertama yang muncul dalam fikiran saya — dan dikongsikan menerusi Facebook — adalah bahawa tentu sekumpulan orang yang bersemangat mahu mendapatkan perkhidmatan mencuci dan menukar darah secara percuma berhak untuk berasa amat kecewa berikutan fatwa itu.

Puak yang terloncat-loncat penuh emosional kerana mahu mencuci darah atau melancarkan “perang jihad” tanpa menunggu pengesahan rasmi pihak berkuasa — Majlis Fatwa Kebangsaan — sesungguhnya telah menjadi bahan lawak warga siber.

Pada masa sama, hairan juga mengapa tidak ada sebarang “jihad” diumumkan terhadap pengeluar rokok walaupun Islam secara terang-terangan (serta pengesahan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan) meletakkan hukum “haram” terhadap rokok serta puntung rokok pula disyaki ada kandungan darah babi.

Sementara orang ramai — Islam mahu pun tidak Islam — sedang berfikir, berdialog, berbahas, berbalah dan bertekak tentang isu-isu itu, pada 2 Jun 2014, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) muncul dengan suatu pengumuman rasmi yang sangat memihak kepada warga babi seluruh Malaysia.

Disahkan tanpa ragu-ragu oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Jamil Khir Baharom bahawa dua coklat Cadbury yang sebelum ini dikatakan ada DNA babi — Subhanallah! Masya-Allah! — kini bebas daripada unsur haram tersebut.

Tentulah pengesahan ini mampu melegakan dan meredakan kebimbangan dalam kalangan umat Islam yang sebelum ini telah menikmati coklat berkenaan kerana yakin pada logo “Halal” yang tertera pada bungkusan.

Beberapa hari selepas “BABI” bertukar menjadi “BABE” di Teluk Intan dan genap dua hari selepas Mah Kacak (tanggapan Barisan Nasional terhadap presiden Gerakan, Mah Siew Keong), isu penuh sensitif itu selesai begitu sahaja.

Agak sedih juga kerana isu besar ini selesai dengan begitu mudah sebelum puak babi sempat membuat aduan rasmi kepada Sharifah Zohra Jabeen Syed Shah Miskin Albukhary, presiden Suara Wanita 1Malaysia (SW1M) yang juga “duta binatang tertindas”.

Cuba teka di mana babi bersembunyi

Mak Cik Listen Listen Listen atau nama manjanya “Nikki Da Best” pernah tampil sebagai wira yang membela ikan, “Jaws” (judul filem!) dan haiwan-haiwan lain semasa forum di Universiti Utara Malaysia (UUM) pada 8 Disember 2012.


Antara lawak yang tersebar luas di internet.

Tentu seronok kalau kita sempat melihat aksi lincah, berani dan bersemangat Nikki Da Best (bukan “Nikki The Babe”) tampil membela (bukan memelihara!) kumpulan babi yang menjadi mangsa fitnah dalam isu coklat Cadbury. Pelajar UUM (kalau hadir) pasti bertepuk gembira seperti yang mereka lakukan dahulu.

Dalam pada itu, saya mengingatkan rakan-rakan menerusi Facebook bahawa walaupun Jamil Khir dan Jakim mengesahkan coklat Cadbury tiada DNA babi, tidak pula bermakna bahawa kita (masyarakat pelbagai kaum dan agama) perlu segera membeli dan memakannya.

Janganlah pula tersalah tafsir bahawa saya menyeru rakan-rakan dan masyarakat memulaukan barangan Cadbury. Tidak sama sekali. Saya sekadar menjalankan tanggungjawab sosial dengan berpesan bahawa masih ada banyak pilihan coklat dalam pasaran.

“Ingat: Tinggalkan jika ragu.” Demikian pesanan menerusi Facebook pada 2 Jun 2014 yang saya yakin bukan hanya sesuai bagi umat Islam tetapi bagi sesiapa sahaja yang tidak makan babi.

Haruslah ditekankan bahawa selain daripada umat Islam yang diharamkan makan babi (kecuali dalam keadaan “darurat”), ramai orang tidak Islam (bukan Islam) dan bukan Melayu juga menjauhi daging babi atas pelbagai alasan.

Dalam pada itu, perlulah diingatkan bahawa pengumuman pertama mengenai kehadiran DNA babi dalam coklat itu datangnya daripada KKM (24 Mei 2014) serta turut dilaporkan Utusan Malaysia dan Sinar Harian.

Laman Sinar Harian (3 Jun 2014) melaporkan pengakuan KKM bahawa makmalnya tidak ada akreditasi dalam menentukan status kehalalan sesuatu produk. Sebaliknya terhad dalam memastikan kandungan produk itu bebas daripada racun.

Seperti yang memang sudah dapat diduga, timbalan menteri berkenaan, Dr Hilmi Yahya memberitahu media bahawa pihaknya terpaksa “akur” pada penemuan terbaru kajian Jakim yang mengesahkan coklat Cadbury bebas daripada DNA babi serta halal dimakan.

Mungkin timbul pula pertanyaan dalam minda masyarakat: Kalaulah makmal KKM tiada “kuasa” menentukan halal-haram sesuatu barangan, mengapa pengumuman dibuat sekitar seminggu sebelum PRK Teluk Intan sehingga mengguris perasaan (dan mencabar keimanan?) umat Islam?

Pertanyaan lain yang wajar: Kalaulah KKM tiada “kuasa” menentukan haram-halal, adakah itu juga bermakna pegawai KKM di makmal tiada kepakaran yang diperlukan dalam bidang itu. Atau sekadar tiada “kuasa” (hak) untuk membuat pengumuman rasmi apabila menemui bukti DNA babi.

Saya mengandaikan sampel coklat masih dalam siasatan. Sementara isu ini belum selesai sepenuhnya, setiap kali terpandang coklat Cadbury, saya akan tertanya-tanya: Adakah DNA babi yang licik itu (disyaki) bersembunyi dalam susu atau dalam kacang yang digunakan? Wallahu a’lam.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malay Mail Online.

Related Articles

 

You May Also Like