Opinion
Jangan diislamkan atas kertas sahaja

5 JUN  — Dalam mengikuti kisah Zarinah Abdul Majid yang diganggu majlis perkahwinannya oleh serbuan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) Ahad lalu, ada satu persoalan yang mengganggu jiwa saya.

Mengapa perlu kita mengislamkan secara rahsia sepertimana Zarinah “diislamkan” oleh bapanya?

Menurut laporan berita, bapa Zarinah memeluk Islam ketika beliau dan adik-beradiknya masih kanak-kanak. Bapa beliau kemudiannya mendaftarkan beliau dan adik-beradiknya sebagai beragama Islam sebelum meninggalkan mereka bersama-sama ibu beragama Hindu. Dan mereka kemudiannya dibesarkan sebagai pengamal ajaran agama Hindu sehingga dewasa.

Oleh itu mereka tidak pernah dididik tentang agama Islam. Boleh disimpulkan bahawa mereka tidak pernah mengucapkan dua kalimah syahadah dan tidak beriman kepada apa yang dipegang teguh oleh umat Islam.

Justeru status “Islam” Zarinah dan adik-beradiknya hanyalah di atas kertas semata-mata.

Mungkin tindakan bapa Zarinah didorong niat yang baik. Saudara-saudara seagama pasti memahami keinginan beliau untuk membawa anak-anak ke jalan yang lurus. Tetapi di sini adakah matlamat menghalalkan cara?

Kaedah beliau “mengislamkan” anak-anaknya sebenarnya berpandangan singkat. Caranya seolah-olah memaksa mereka menjadi orang-orang Islam tanpa mengira kesannya, baik pada mereka mahupun pada mata-mata yang memandang.

Di dunia ini tidak ada manusia yang sukakan paksaan. Apabila seseorang itu dipaksa, di dalam sanubarinya pasti timbul rasa benci yang kemudiannya mempengaruhi minda dan jiwanya untuk menolak apa yang dipaksa keatasnya itu. Kesannya sesuatu yang mungkin baik pun boleh tampak buruk di pandangan seseorang yang merasakan dirinya terpaksa.

Malah Rasulullah S.A.W. sendiri tidak memaksa sesiapa memeluk agama Islam, biarpun bapa saudaranya sendiri yakni Abu Talib bin Abdul Muttalib, yang akhirnya wafat tanpa melafazkan dua kalimah syahadah.

Dalam konteks menyebarkan agama, apabila seseorang itu dipaksa memeluk Islam akan timbul satu risiko besar yang mana individu tersebut akhirnya murtad kerana tidak pernah ada iman dan taqwa sejati dalam dirinya tatkala mengisytiharkan dirinya Islam.

Dan murtad itu dosa yang sungguh besar di sisi agama, kata guru agama saya semasa bersekolah dahulu. Malah sesetengah ulama berpendapat dosa murtad mungkin tidak diampunkan Allah (wallahuaklam, saya kurang arif).

Di sinilah tampaknya kesilapan besar bagi mereka yang menyangka pengislaman atas kertas itu akan berjaya membawa saudara-saudara baru ke dalam pangkuan agama. Sukar dibayangkan bahawa kaedah-kaedah yang melibatkan unsur memperdaya, menipu atau memaksa akan membawa hasil yang berkekalan.

Sebaliknya di pandangan orang lain kita pula sebenarnya menjatuhkan nama agama kita sendiri. Pernahkah sesiapa yang memilih untuk bertipu helah dalam mengejar matlamatnya akhirnya dipandang tinggi oleh semua lapisan masyarakat?

Sebenarnya dalam menyebarkan agama harus kena caranya. Biarlah dengan penuh sabar dan lembut dalam kita menerangkan, menjelaskan, merungkai tanda tanya dan menjawab persoalan. Biarlah sesiapa yang memilih Islam sebagai agamanya datang atas keinginan dari dalam dirinya tanpa paksaan, tanpa rasa benci dan tanpa rasa ragu.

Biarlah mengambil masa yang lebih panjang asalkan hidayah yang datang itu berkekalan. Bak kata Rasul kita dalam hadisnya, sabar itu separuh daripada iman.

Kerana akhirnya apabila iman dan taqwa itu benar-benar wujud dalam saudara-saudara baru, umat Islam seluruhnya akan bertambah kuat dan bersatu-padu. Janganlah dek kerana inginkan hasil yang cepat kita mengorbankan prospek jangka masa panjang.

Wallahuaklam.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malay Mail Online.

Related Articles

 

You May Also Like