MEI 18 — Pada 16 Mei setiap tahun kita akan menyambut Hari Guru. Tahun ini temanya ‘Guru Pencetus Kreativiti, Penjana Inovasi’. Tahniah dan terimakasih untuk para guru yang banyak memberikan panduan dan pedoman kepada kami dalam menempuh matlamat dan arah tuju hidup.
Guru adalah pembimbing, membimbing kita kearah yang betul dan konvensional, sekurang-kurangnya untuk satu tempoh.
Ramai kawan-kawan saya yang berkerjaya sebagai pendidik. Mereka ini selepas menamatkan pengajian di Maktab Perguruan atau UPSI ( Universiti Pendidikan Sultan Idris ) biasanya akan dihantar mengajar ke Sabah atau Sarawak.
Dan biasanya mereka akan dihantar mengajar di sana dalam tempoh masa yang agak lama, sekurang-kurangnya 5 tahun. Apapun menjadi guru adalah satu kerjaya yang dihormati dan mulia terutamanya jika kita ditempatkan di ceruk-ceruk kampung dan hulu.
Hari ini semakin ramai pelajar lepasan sekolah yang bercita-cita untuk menjadi pendidik sehingga proses pemilihannya menjadi semakin sukar. Nyata kita sudah tidak punya banyak pilihan lagi tentang apa yang kita mahu sebenarnya dalam hidup ini,.
Setiap kali menjelangnya Hari Guru, selalu terlintas di fikiran saya, apakah stesen televisyen akan menyiarkan sebuah filem lama, To Sir With Love ?
Saya pertama kali menonton filem terbitan tahun 1967 itu , To Sir With Love di televisyen pada pertengahan tahun 80an.
Saya cukup minat dengan filem tersebut, pertama kerana lakonan hebat Sidney Poitier, pelakon utamanya yang punya aura dan karisma yang unik dan tersendiri, kedua kerana kerana lagu To Sir With Love itu sangat menarik dari segi mesej dan melodinya.
Filem dari UK , To Sir With Love ( 1967 ) arahan James Clavell ini diterbitkan dalam bajet yang sederhana namun berjaya mencapai tahap box office di seluruh dunia.
Ceritanya mudah dan tidak berbelit-belit, temanya isu sosial di kalangan anak-anak muda di barat sana sewaktu era muzik rock n roll dan A Go Go di tahun 60an dulu.
Berbalik pada kisah guru, sewaktu kecil dulu, sesuai dengan usia budak yang baru nak mengenal hidup, agama dan Tuhan, orang tua saya menghantar saya ke sekolah untuk mendapat ilmu pendidikan, kemudian menghantar saya mengaji Quran dengan guru saya, yang saya panggil Pak Derih.
A teacher handing out textbooks to her students during their first day of school in Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St Gabriel, Kampung Pandan, January 2, 2014. — Picture by Saw Siow Feng
Bukan itu saja, semua bab-bab hukum feqah dan fardu Ain juga diajarnya. Saya terhutang budi dengan guru saya itu.
Setelah menjangkau usia remaja dalam menuju dewasa, saya mula mencari dan belajar dengan banyak guru untuk lebih memahami makna hidup dan Tuhan. Untuk ke sana, saya mula faham bahawa perjalanan atau pencarian saya bukanlah bersifat konvensional seperti di zaman budak-budak dulu.
Menarik tentang guru-guru saya, mereka ini memang tidak konvensional seperti guru-guru fekah yang tipikal dan mengajar bab hukum dan syariaat. Cara mereka juga ada masanya sangat provokatif dan banyak menguji kita.
Seperti yang selalu kita percaya, jika kita mencari apa yang ada di dalam, kita perlu faham apa itu ‘dalam’ dan apa itu ‘luar’.
Seperti juga jika kita mengaji ilmu hakikat mahupun syariaat, hakikat itu apa yang nyata di dalam dan syariaat itu apa yang nyata di luar.
Cerita tentang roh bukanlah melibatkan materi dan ganjaran. Jika ianya ke situ, kita akan terpengaruh akan halwa dunia dan secara tidak langsungnya pandangan kita terhadap yang satu itu tidak lagi real kerana ia berserta nafsu dan hal.
Selepas melalui musim demi musim, saya menyimpulkan satu kesimpulan. Guru adalah pembimbing kita namun guru juga hanya manusia yang punya nafsu dan kehendak. Apa yang mereka berikan itu adalah ilmu, yang itu yang perlu kita faham.
Guru yang terbaik adalah diri kita sendiri. Bukanlah bermakna kita bertuhankan diri sendiri pula. Biasanya bagi mereka yang mendalami ilmu Tuhan, mereka akan sentiasa bercermin atau muhasabah.
Tempat kita mengadu yang paling baik adalah Tuhan, diamnya di jiwa.
Kita melihat alam dan sekeliling, mereka adalah guru kita secara tak langsung. Apa saja makhluk atau ciptaan, mereka akan mengajar kita secara tidak langsungnya jika jiwa kita mudah mengerti dan tahap faham kita dalam mengenal itu sampai.
Anak-anak, isteri, kawan-kawan, musuh mahupun sahabat kita, bahkan apa saja makhluk yang jika di waktu itu menyentuh takdir dan skrip perjalanan hidup kita, jika mereka berjaya membuat kita berfikir dan memberikan kita sesuatu, mereka adalah guru kita.
Saya seorang tenaga pengajar gitar, memang dari segi permainan dan skil memang permainan saya lebih baik dari anak-anak murid saya. Pun apa yang saya belajar dari mereka adalah cuba memahami apa yang mereka sedang faham dan praktikkan. Maknanya saya juga sedang belajar untuk memahami tahap dan kehendak mereka.
Kita perlu lebih terbuka dari segi sikap dan pemikiran jika kita mahu maju ke hadapan. Kita perlu melihat dari atas dari kita hanya membuat pandangan dari hanya satu sisi sahaja. Kerana jika kita di atas, banyak pilihan yang mampu kita buat berbanding hanya satu sisi sahaja.
* Pandangan di atas adalah pandangan peribadi penulis.
You May Also Like