MEI 4 ― Ketika di bangku sekolah dahulu, kita semua pernah diajar oleh guru sekolah agar tidak menaruh buruk sangka terhadap orang lain.
Baik kepada ahli keluarga, rakan sepejabat, rakan sebangsa, rakan seagama mahupun rakan sekolah. Menurut guru sekolah dahulu, kita semua harus membebaskan pemikiran jumud yang melihat orang lain sebagai musuh dan ancaman kepada kelangsungan mereka.
Baginya, pemikiran sedemikian tidak banyak bezanya dengan individu yang mempunyai masalah mental. Jelas guru sekolah penulis lagi, pemikiran jumud sebegini bukan sahaja akan menjejaskan imej diri sendiri bahkan juga kepada hubungan baik antara masyarakat dalam jangka panjang.
Oleh itu, tidak ada sebab mengapa kita harus menaruh buruk sangka terhadap orang lain melainkan kita sendiri tidak berasa selesa, tergugat akan kedudukan orang lain dan tidak mahu melihat yang lain untuk berjaya.
Hakikatnya, cakap memang mudah tetapi dalam realiti kehidupan semasa, pemikiran kita sentiasa terdedah dan dipengaruhi oleh persekitaran yang toksik dan negatif. Di luar sana, ada sahaja individu yang sedang menanti untuk mengeksploitasi situasi genting ini. Semuanya berlaku atas perasaan cemburu. Mahu tidak mahu, situasi inilah yang sentiasa berlaku di hadapan mata kita.
Justeru, apabila ada kumpulan atau orang-perseorangan yang bertopengkan pertubuhan bukan kerajaan sentiasa mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang memperlekehkan peranan masyarakat pelbagai kaum di negara ini, ia ternyata satu perbuatan yang tidak bertanggungjawab.
Bukan sahaja kenyataan-kenyataan sedemikian dilemparkan secara tidak berasas tetapi juga mencerminkan mereka sebenarnya hanya membuat generalisasi terhadap isu itu tanpa melakukan penyelidikan terlebih dahulu.
Ini bukan kali pertama kenyataan tidak bertanggungjawab sebegini dilemparkan secara terbuka oleh pihak-pihak yang dimaksudkan tadi. Namun apabila ia dilemparkan berulang kali, maka ada baiknya kenyataan-kenyataan mereka itu ditangkis dan diperjelaskan secara tuntas bagi mengelakkan berlakunya salah faham atau buruk sangka.
Seharusnya, pihak yang mengeluarkan kenyataan-kenyataan berbaur perkauman dan agama itu mendoakan kejayaan pihak lain dan bukannya bertindak di luar batasan secara sesuka hati. Begitu juga dengan masyarakat bukan Melayu yang seharusnya mempunyai sikap untuk mendoakan kejayaan rakan-rakan mereka dari kaum lain seperti Melayu dan India.
Sebenarnya, tidak salah untuk kita mendoakan kejayaan pihak lain kerana ia sentiasa dituntut di sisi agama. Lagipun, setiap agama menuntut penganutnya untuk berbuat baik. Kita tidak sepatutnya terlalu taksub dengan kepentingan diri sehinggakan melupakan tanggungjawab kita untuk membantu rakan-rakan kita dari kaum lain. Kita juga tidak wajar terlalu agresif dengan pendirian terhadap sesuatu isu hinggakan boleh mencetuskan perasaan tidak senang hati dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini.
Apa yang dilemparkan oleh kumpulan-kumpulan NGO dan orang-perseorangan terhadap sikap masyarakat bukan Melayuh yang diragui kesetiaan mereka, kita perlulah bersikap tenang dan bukannya marah secara membuta-tuli. Marah bukanlah jalan penyelesaian yang mujarab.
Sebagai seorang penduduk bukan Melayu, penulis tidak berasa marah mahupun membenci kelakuan kumpulan-kumpulan ini. Sebaliknya, penulis mendoakan agar mereka yang mengeluarkan kenyataan-kenyataan berbaur perkauman terhadap masyarakat bukan Melayu boleh diajak untuk berbincang dalam suasana yang harmonis.
Time to reflect: A visitor takes pictures of Malaysia’s landmark Petronas Towers in Kuala Lumpur. — AFP pic
Dalam keadaan yang genting sebegini lebih-lebih lagi isu yang membabitkan kaum dan agama, ia wajar ditangani secara berhemah. Sebagai seorang penduduk bukan Melayu, penulis tidak mahukan apa-apa. Namun, penulis berdoa agar Malaysia akan terus aman, makmur dan sentiasa diberkati dengan kestabilan politik yang berkekalan.
Cukuplah dengan sentimen perkauman, agama dan retorik yang hanya akan menabur bibit-bibit kebencian antara satu sama lain. Bangunlah daripada kerangka pemikiran sempit dan jumud yang hanya menilai sesuatu isu berbangkit dari satu sudut sahaja.
Bergeraklah ke hadapan dengan minda yang terbuka kerana dengan minda yang terbuka sahajalah, kita dapat menilai dan menyelesaikan sesuatu isu secara rasional.
Malaysia tidak mampu lagi untuk terus terjerumus dalam trend yang tidak sihat ini. Ini kerana, semakin lama dan semakin ghairah kita terikut-ikut dengan trend tidak sihat ini, tidak mustahil kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara yang harmoni, akan terhakis.
Kepada mereka yang berniat untuk memporak-perandakan keharmonian negara, usaha mereka tidak akan berjaya. Ini kerana, majoriti rakyat Malaysia merupakan mereka yang cintakan keamanan dan akan memastikan keamanan yang telah dikecapi selama ini tidak musnah angkara pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.
* Pandangan di atas hanyalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pandangan The Malay Mail Online.
You May Also Like