29 APRIL ― Ada satu persamaan antara dua kumpulan muzik berbeza generasi ini, Kembara dan Pitahati. Selain 3 ahli kumpulan Pitahati merupakan anak Datuk M. Nasir, persamaan yang jelas kedua-dua kumpulan muzik ini punya “attitude”, “rebel” dan “rugged”.
Selainnya mereka hadir dalam misi dan kandungan yang berbeza. Kembara sebuah kumpulan muzik trio dianggotai 3 anak muda di awal tahun 80an dulu. Apabila trio, yang hanya pemuzik professional hanyalah A.Ali yang bermain gitar, selainnya lagu-lagu mereka dimainkan oleh para pemuzik undangan belaka.
Bagi saya Kembara adalah fenomena bagi anak-anak muda di awal tahun 80an sejak album pertama mereka “Kembara” diterbitkan pada tahun 1981.
Fenomena kerana muzik dan konsep nusantara mereka berjaya menarik minat anak-anak muda di zaman itu untuk memilih mereka sebagai “ikon”.
Paling penting mesej dalam lagu-lagu mereka yang merakyat dengan tema kehidupan dan kemanusiaan seperti lagu Hati Emas, Perjuangan, Impian Anak Jalanan, Duit, Rupa Tanpa Wajah, Lindungilah Kami, Musim, Kawan antaranya berjaya masuk ke dalam jiwa pendengar dalam kelompok yang majoriti walau tidak sebesar produk komersial di pasaran yang rata-ratanya bermodalkan lagu-lagu cinta pramatang dengan muzik yang stereotype.
Kalau di waktu itu dengan konsep lagu yang serius dan bermesej serta lari dari tema cinta, pun album masih terjual dalam lingkungan 30 ribu unit, itu sudah dikira berjaya.
Pitahati pula dianggotai 5 orang anak muda yang berjiwa “rebel”, masih muda dan ghairah dengan apa yang sedang mereka lakukan.
Konsep muzik yang boleh kita katakan “experimental rock” yang penuh dengan mood psychedelic yang mereka bawakan masih jauh dari telinga pendengar yang rata-ratanya lebih suka melayan lagu pop Hafiz dan yang sewaktu dengannya dengan konsep lagu-lagu cari makan lainnya yang sering diputarkan di corong radio cari makan.
Pada awal tahun 2014, Pitahati berjaya menghasilkan album penuh dengan 10 lagu termasuk 3 lagu dari EP terdahulu dengan judul ‘Fonetik Anak Candal’.
Pitahati mengingatkan saya pada sebuah band indipenden eksperimental kelahiran Pulau Pinang, Damn Dirty Apes yang muncul dengan sebuah album eksperimental mereka pada awal tahun 2000 dulu. Persamaannya banyak dari segi sound dan effect.
Damn Dirty Apes muzik mereka banyak dipengaruhi band Sonic Youth dan Ride terutamanya. Mereka pada mulanya mengeluarkan EP “Valve State Dreams” pada tahun 2002 dan full album Ape Kill Ape pada 2004.
Mereka masih aktif bermuzik sehingga ke hari ini khabarnya walau dalam medium yang kecil.
Ditubuhkan pada 2011, Pitahati hadir dengan selera dan citarasa mereka sendiri demi kepuasan dalam berkarya dan bermuzik. Mereka dianggotai 5 pemuzik iaitu Ilham, Yassin, Hidayat, Masrin dan Zahar.
Saya salut band ini yang pakej kehadiran mereka penuh dengan nilai idealis, cuma saya tidak pasti sampai bila mereka mampu bertahan dengan konsep muzik yang hanya mengikut selera dan tekak sendiri tanpa memikirkan majoriti citarasa pendengar yang bukannya faham sangat pun dengan apa yang cuba mereka hidangkan.
Bukan hanya pendengar kurang faham, para wartawan hiburan pun bukannya minat dan faham sangat dengan konsep muzik selain pop dan rock kapak. Cuma untung bapa mereka orang terkenal, jadi pusing-pusing mereka terpaksa dan akan jual nama M. Nasir juga akhirnya.
Untuk mereka melangkah jauh dan diterima seperti kumpulan Kembara, itu adalah cabaran untuk mereka. Kembara hadir dengan muzik yang berkonsepkan nusantara, folk rock, pop dan agak variasi termasuklah elemen-elemen muzik melayu asli dan keroncong.
Yang paling jelas bagi saya, lagu-lagu Kembara punya kekuatan dari segi melodi dan susunan senikatanya. Maknanya pendengar terutamanya anak muda waktu itu menerima konsep muzik yang mereka hidangkan.
Sedangkan Pitahati jelas lari dari tema komersial. Mereka malah mengajak pendengar masuk ke dunia mereka dan konsep muzik yang mereka bawakan. Mereka menongkah arus dengan cuba masuk ke arena arus perdana yang rata-ratanya citarasa muzik mereka pop dan komersial belaka.
EP pertama Pitahati diterbitkan 2 tahun lepas dengan judul Bintang Biru Kristal Salju. Saya sempat layan lagu-lagu dan sesi temuramah mereka di Youtube.
Selepas itu pada awal tahun 2014 mereka berjaya menghasilkan album penuh dengan 10 lagu termasuk 3 lagu dari EP terdahulu dengan judul “Fonetik Anak Candal”.
Saya suka lagu-lagu yang terdapat dalam album mereka ini seperti Nafas, Bintang Biru Kristal Salju, Revolusioner, Cahaya Dalam Buta antaranya.
Mungkin sebab saya peminat lagu-lagu progresif seperti Pink Floyd, Sonic Youth, King Crimson, Yes, Radiohead dan sebagainya, maka saya rasa Pitahati sedang menuju ke arah itu.
Saya juga salut dengan sebuah lagi kumpulan muzik rok tempatan zaman ini, “Kyoto Protocol” yang juga muzik mereka sangat catchy, progresif dan bertenaga.
Kita perlukan muzik-muzik yang dibawakan oleh band-band seperti Pitahati dan Kyoto Protocol untuk santapan halwa jiwa anak-anak muda di zaman ini.
Perjalanan masih panjang untuk sebuah kumpulan muzik yang ada “attitude” seperti Pitahati. Mereka baru berusia 3 tahun dan masih dalam proses mencari identiti muzik mereka sendiri.
Jika mereka dapat melepasi fasa pertama, buat album khalayak terima, itu adalah yang terbaik untuk masa depan muzik mereka juga ianya bagus untuk pendengar diberi pilihan untuk muzik yang lebih pelbagai sifat dan variasinya.
Dan saya tidak akan hairan jika di pertengahan jalannya mereka akan kecewa dengan penerimaan khalayak yang tidak dapat menerima konsep yang mereka perkenalkan, kerana setakat ini tidak ada lagi band yang berkonsep yang berjaya melepasi pasaran komersial ditambah dengan citarasa pendengar yang masih tepu sejak dari zaman dulu sampailah sekarang.
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malay Mail Online.
You May Also Like