Opinion
Janganlah mengaibkan orang yang sudah meninggal dunia
Monday, 21 Apr 2014 7:08 AM MYT By Bartholomew Chan

APRIL 21 — Semasa hayatnya, YB Karpal Singh merupakan seorang pemimpin politik yang cukup digeruni. Tanyalah kepada pemimpin kerajaan mahupun pembangkang, mereka sepakat bahawa Karpal Singh bukanlah calang-calang pemimpin politik biasa. Beliau diibaratkan sebagai satu institusi dalam dunia politik tanah air khasnya parti politik yang diwakilinya, DAP.

Ketegasan dan kesungguhan Karpal dalam mempertahankan sesuatu isu seperti Hudud biarpun adakalanya pendirian berkenaan mencetuskan perasaan tidak senang dari pemimpin parti PAS, menjadikan Karpal lain daripada yang lain. Mungkin itu sebabnya mengapa Karpal Singh diberi gelaran “Harimau Jelutong.”

Bagi Karpal, ketegasan dan kedegilannya untuk mempertahankan sesuatu isu yang dirasakan benar, cukup tidak disenangi oleh musuh-musuh politik yang berkali-kali mencuba untuk menamatkan riwayat politik beliau.

Namun, serangan demi serangan yang dilakukan oleh musuh-musuh politik terhadapnya tidak sekalipun mematahkan semangat tokoh ini daripada terus membela nasib rakyat yang tertindas.

Jika semasa hayatnya, nama Karpal Singh mencetus kontroversi, kini pemergian mengejut bekas Ahli Parlimen Jelutong pada pagi Khamis lalu akibat nahas jalan raya turut mengundang kontroversi. Ya, Karpal Singh sudah pergi buat selama-lamanya dan tidak akan kembali menghantui musuh-musuh politiknya.

Artikel ini bukan bertujuan untuk mengagung-agungkan Karpal Singh tetapi lebih membuka mata para pembaca secara umum dan rakyat Malaysia, khasnya mengenai betapa cetek dan kurang sensitifnya segelintir pemimpin politik dan orang awam terhadap kematian bekas Ahli Parlimen Jelutong selama lima penggal itu.

Pandangan di sini ingin mengajak semua pihak untuk lebih rasional dan melihat sesuatu perkara dalam perspektif yang lebih luas. Sejurus berita mengenai kematian Karpal Singh diumumkan, ada segelintir pemimpin politik yang seolah-olah meraikan pemergiannya.

Tidak kurang juga, ada yang menyebarkan gambar pemimpin berkenaan dalam keadaan berlumuran darah. Dalam kalangan rakyat awam pula, ada pula yang menyifatkan kematian pemimpin itu sebagai satu balasan kepada “kejahatan” yang dilakukan.

Soalnya, apakah kita sebagai pemimpin politik dan rakyat yang bertamadun, wajar bersikap kurang sensitif sebegini? Andai jika YB Karpal pernah melakukan sesuatu yang mengundang kemarahan, biarlah kemarahan itu berakhir di sini. Apa gunanya kita marah terhadap Karpal walhal pemimpin tersebut sudah tidak bernyawa? Apakah mendiang Karpal akan dapat mendengar cacian itu?

Mana-mana agama sekalipun tidak pernah mengajar penganutnya untuk mengaibkan individu yang sudah meninggal dunia. Sebarang perbuatan menghina individu yang sudah meninggal dunia adalah bertentangan dengan ajaran agama.

Jika kita tidak mahu menghormati Karpal, belajarlah menghormati isteri, anak-anak serta keluarga terdekat mendiang. Paling penting, belajarlah menghormati diri sendiri jika anda mahu diri anda dihormati di mata masyarakat.

Jangan sesekali menuntut rakyat untuk menghormati anda jika anda tidak tahu menghormati orang lain. Sebagai seorang pemimpin politik yang sepatutnya menjadi teladan kepada rakyat, pemimpin-pemimpin politik yang dimaksudkan itu harus bijak mengawal kemarahan.

Malangnya, kemarahan yang keterlaluan tidak akan membawa kita ke mana-mana. Sebaliknya, kemarahan yang memuncak itu hanya akan menjadikan diri seseorang semakin hilang punca dan kurang waras. Jika ingin marah sekalipun, biarlah kemarahan itu bertempat dan berpada-pada.

Soalan penulis kepada mereka yang marah, apakah hati anda akan berasa tenang dengan tindakan anda itu? Bukankah lebih baik mengisi minda kita dengan benda-benda yang lebih berfaedah?

Apabila bekas Ahli Parlimen Kulim-Bandar Bahru dan Ahli Parlimen Langkawi tempoh hari mengeluarkan kenyataan yang kurang sensitif terhadap Karpal, ia membuktikan bahawa politik di negara kita sudah mencapai ke tahap yang cukup tidak profesional dan makin personal hinggakan isu kematian seorang pemimpin politik dipolitikkan.

Selepas menerima kritikan bertubi-tubi daripada rakyat, barulah kedua-dua pemimpin berkenaan tampil memberikan penjelasan dan melahirkan kekesalan mereka atas perbuatan mereka itu. Inilah yang membingungkan kita semua. Trend tersebut semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini. Apakah pemimpin-pemimpin berkenaan tidak sedar pada awal bahawa kenyataan mereka terhadap mendiang Karpal itu agak keterlaluan?

Apakah mereka tidak memikirkan kesan dan akibatnya apabila kenyataan kontroversi mereka dikeluarkan? Jika kemarahan itu kerana isu politik, selesaikan di pentas politik dan jangan terlalu personal lalu menyerang keperibadian seseorang.

Benarlah kata pepatah Melayu yang berbunyi “Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya.” Janganlah sesekali kita ghairah untuk mengeluarkan kata-kata yang memudaratkan. Ini kerana, apa bentuk permohonan maaf di kemudian hari sekalipun mungkin tidak bermakna lagi apatah lagi mahu rakyat mempercayai kata-katanya.

Barangkali, ada baiknya mereka yang mempunyai kecenderungan untuk berasa marah mendaftar mengikuti kursus mengawal kemarahan. Ada baiknya juga jika kedua-dua pemimpin yang dimaksudkan itu merenung sejenak apa yang diperkatakan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, baru-baru ini.

Menurut beliau, orang ramai harus berhenti daripada mengaitkan tragedi nahas jalan raya itu dengan politik yang berpaksikan rasa benci dan kemarahan.

“Kita harus menghormati mereka yang sudah pergi. Hormatilah juga perasaan keluarga dan orang yang mereka sayangi dan tidak melibatkan perkara begini dengan soal politik dan sebagainya,” ujar Ahmad Shabery.

Pendek kata, mesej tersirat yang cuba disampaikan menerusi saranan tersebut ialah semua orang haruslah belajar untuk menghormati orang lain jika anda mahu orang lain menghormati anda semula.

Kepada pemimpin-pemimpin politik di negara ini, janganlah beranggapan bahawa dengan status anda sebagai pemimpin, anda boleh melakukan apa sahaja secara sewenang-wenangnya. Hakikatnya, segala tutur kata dan perlakuan sedang diperhatikan.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malay Mail Online.

Related Articles

 

You May Also Like