30 MAC— Jika tarikh 8 Mac 2008 dilihat sebagai detik bersejarah dalam landskap politik negara kerana kejayaan pakatan pembangkang menafikan undi majoriti dua pertiga kerajaan Persekutuan di Parlimen, tarikh 8 Mac 2014 pula satu detik hitam dalam sejarah industri penerbangan negara.
Kehilangan dan kini pengesahan bahawa pesawat MH370 milik Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) terhempas di selatan Lautan Hindi mengimbau kembali sejarah hitam industri penerbangan negara kira-kira 37 tahun lalu.
Ketika itu, sebuah pesawat milik MAS MH653 dirampas oleh sekumpulan individu tidak dikenali ketika pesawat berkenaan dalam perjalanan dari Pulau Pinang ke Kuala Lumpur. Malangnya, pesawat tersebut terhempas di sebuah kawasan paya bakau di Tanjung Kupang, Johor mengorbankan 100 nyawa.
Tarikh 8 Mac 2014 kini dianggap sebagai “the defining moment” dalam sejarah Malaysia sejak ia mencapai kemerdekaan 57 tahun yang lalu. Bukan sahaja lensa media antarabangsa tertumpu kepada MAS mengenai rekod keselamatan pesawat mereka dan bagaimana MAS dapat menangani krisis yang paling besar pernah melanda negara.
Tragedi MH370 jelas satu igauan buruk buat negara dan MAS. Nampaknya, dari hari pertama sejak kehilangan pesawat MH370, media-media antarabangsa tidak begitu berkenan dengan Malaysia. Segala macam bentuk laporan yang disiarkan lebih menjurus kepada kelemahan pihak berkuasa Malaysia mengendalikan krisis MH370 serta ketidaksediaan Malaysia berkongsi maklumat nahas.
Lebih malang, segala usaha murni Malaysia dalam membantu keluarga si penumpang dan kesediaan bekerjasama dengan negara-negara luar dalam mencari serpihan pesawat MH370 tidak mendapat perhatian media-media asing. Bagi mereka, berita yang berbaur spekulasi dan panas perlu disajikan walaupun ia belum ditentukan kesahihannya.
Tambah mendukacitakan, Malaysia telah dikecam oleh warganegara China sebagai pembunuh dan pihak yang tidak boleh dipercayai. Keadaan bertambah hangat apabila kini kedengaran bahawa ada pihak di China yang mahu memboikot produk serta artis-artis Malaysia di China.
Sepanjang tiga minggu lalu, imej Malaysia terus dipijak. Kita dimaki, kita dijerit dan tidak kurang kita dicemuh seolah-olah rakyat Malaysia ini ibarat cebisan sampah. Kita dipandang rendah oleh rakyat China kerana kelemahan yang berlaku.
Kita juga dipandang rendah kerana kita bukanlah kuasa besar ekonomi seperti China. Berpunca daripada label ini, China menganggap mereka boleh melakukan apa sahaja terhadap negara-negara lain. Mungkin itu jugalah takuk minda rakyat China ketika ini tetapi percayalah sikap sedemikian hanya memakan diri kerana Malaysia merupakan rakan dagang penting di Asia Tenggara yang terlalu penting untuk dikesampingkan.
Relatives of passengers aboard Malaysia Airlines flight MH370 chat after a meeting with representatives from the airline at Lido Hotel in Beijing, March 16, 2014. — Reuters pic
Ternyata, rakyat Malaysia tidak mampu berkata apa-apa terhadap cemuhan dan kritikan warganegara China itu. Sebaliknya, apa yang boleh diberikan kepada mereka hanyalah nasihat serta jaminan bahawa pihak berkuasa Malaysia sedang melakukan sedaya-upaya menjejaki serpihan pesawat MH370 sekaligus mengakhiri penantian menyeksakan ini.
Tidak dinafikan ketika ini, Malaysia berhadapan dengan tekanan yang begitu hebat daripada China dan media-media Barat. Namun kita tidak mudah melatah sebaliknya menilai isu berkenaan dalam perspektif yang rasional. Malah kemampuan Pemangku Menteri Pengangkutan, Dato’ Seri Hishamuddin Tun Hussein dalam mengendalikan sidang media harian sedikit sebanyak memberikan kelegaan kepada Malaysia.
Dalam reaksi balas terhadap kritikan hebat rakyat China mengenai cara Malaysia menangani krisis MH370, Hishamuddin bagaimanapun memberitahu, sejarah bakal menilai Malaysia dengan baik kerana kerajaan telah melakukan yang terbaik untuk krisis ini. Pada hemat penulis, jawapan Menteri itu cukup bernas dan mencerminkan kerajaan sebenarnya tidak perlu menyembunyikan apa-apa daripada pengetahuan seperti yang didakwa warganegara China.
Dalam situasi yang amat sukar ini, adalah diharapkan rakyat, pemimpin politik mahupun pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan di negara ini boleh mengetepikan segala sengketa mereka demi mempertahankan negara daripada serangan bertalu-talu warganegara China.
Nampaknya, sentimen dalam kalangan rakyat Malaysia sejak berlakunya tragedi MH370 tiga minggu lalu amat memberangsangkan. Di alam maya sebagai contoh, rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama, tidak berhenti mengutuskan takziah dan sokongan mereka kepada keluarga mangsa yang kehilangan mereka tersayang.
Sentimen tersebut bertambah kuat selepas kerajaan Malaysia dan MAS dikecam hebat oleh warganegara China termasuk selebriti-selebriti terkenal mereka. Malah ramai daripada pengguna media sosial di Malaysia mengecam tindakan dan menyifatkan reaksi mereka sebagai tidak bertempat.
Benarlah kata orang tragedi yang berlaku selalunya menyatukan rakyat dan ini terbukti dalam tragedi MH370. Apa yang menariknya dalam tragedi ini, tidak kedengaran pun dari kalangan rakyat Malaysia yang menyoal mengenai siapakah penumpang-penumpang Malaysia dalam pesawat MH370. Yang ada hanyalah rakyat Malaysia!
Ini tidaklah bermakna kita anti warganegara China. Sebaliknya, kita ingin memberitahu kepada mereka bahawa mereka tidak boleh terlalu emosional dalam melihat tragedi MH370 kerana apa yang berlaku bukan kehendak kerajaan Malaysia dan MAS.
Sebagai sebuah masyarakat yang sudah mempunyai ribuan tahun ketamadunannya, warganegara China sepatutnya lebih bijak dalam mengatur tindakan dan perasaan mereka ketika berhadapan dengan krisis sebegini. Perlu diingatkan bahawa tragedi MH370 bukan sahaja melibatkan 153 warganegara China tetapi juga warganegara dari 13 buah negara lain.
Akan tetapi, reaksi daripada warganegara China nampaknya lebih dahsyat dan keterlaluan daripada negara-negara lain. Amerika Syarikat misalnya juga mempunyai tiga warganya dalam pesawat MH370 namun Washington memberikan reaksi biasa sahaja. Malah Presiden Barack Obama dalam sidang medianya baru-baru ini turut menegaskan, kerajaan Amerika akan memberikan keutamaan kepada usaha mencari pesawat MH370.
Apabila pihak kerajaan Malaysia dan MAS setiap kali cuba untuk memberikan jaminan dan menenangkan keluarga mangsa dari China, setiap kali itu jugalah mereka memberikan masalah kepada kita. Mereka menjerit, memaki-hamun dan mahukan penjelasan yang lebih komprehensif mengenai nasib penumpang-penumpang dalam MH370.
Persoalan kepada mereka ialah bagaimana pihak kerajaan dan MAS boleh memberikan jawapan yang memuaskan hati mereka jika segala maklumat yang diterima masih gagal menjejaki pesawat berkenaan. Lagipun, jawapan yang diberikan nanti tidak semestinya menjamin keluarga mangsa dari China akan menerimanya.
Usahlah mengecam kerajaan Malaysia dan MAS sebagai tidak berhati perut. Jika mereka tidak berhati perut, mengapakah mereka mengadakan sidang media harian dan memaklumkan situasi terkini dari semasa ke semasa? Jika mereka pentingkan diri sendiri, mengapa kerajaan Malaysia turut menyediakan hotel penginapan kepada mereka yang ingin mengetahui nasib saudara-mara mereka? Kerajaan juga turut menyediakan perkhidmatan kaunseling untuk menenangkan perasaan mereka. Apakah ini dikatakan tidak prihatin?
Kerajaan China di Beijing perlulah mengambil pendirian yang lebih tegas terhadap kelakuan warganegara China mereka. Tindakan membisu Beijing terhadap kelakuan warganegara mereka jelas membuktikan mereka kini terperangkap dalam isu tersebut. Namun mereka tidak boleh membisu begitu sahaja dan memberikan isyarat salah kepada dunia bahawa kelakuan sedemikian boleh dikompromi.
Yang pasti, kita semua mengharungi tragedi ini bersama. Selagi ada pihak yang ingin menangguk di air keruh dan enggan menerima hakikat bahawa pesawat MH370 sudah terhempas, maka selagi itulah ketegangan akan terus berlaku.
Adalah penting untuk keluarga penumpang khasnya dari China untuk melihat ke hadapan. Ugutan untuk memulaukan barangan buatan Malaysia seperti yang dilaporkan dalam media mereka mahupun memulaukan sesi penjelasan yang diberikan pihak berkuasa Malaysia tidak akan membantu meredakan ketegangan.
Tatkala kita mengakui kehebatan China sebagai sebuah kuasa ekonomi dunia namun Malaysia sebagai sebuah negara berdaulat tidak akan sesekali tunduk kepada tekanan atau ugutan begini.
Kerajaan Malaysia juga mempunyai cara tersendiri untuk menangani tragedi MH370. Jika ada pihak lagi yang masih tidak berpuas hati dengan tindakan kerajaan Malaysia, tidak mengapa. Biarkanlah.
Apa yang penting, kerajaan Malaysia dan MAS telah memberikan yang terbaik dalam usaha menangani tragedi MH370. Kita sudah memberikan yang terbaik, apa lagi yang mereka (warganegara China) mahu?
Pandangan di atas hanyalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pandangan The Malay Mail Online.
You May Also Like