Opinion
Tragedi MH370: Takut naik kapal terbang? Usah risau, ia cukup selamat...
Friday, 28 Mar 2014 7:58 AM MYT By Bartholomew Chan

28 MAC ― Perasaan takut merupakan satu perkataan yang sering berlegar dalam fikiran kita semua.

Kita semua takut untuk gagal dalam peperiksaan, takut kehilangan kaum keluarga tersayang, takut hilang kerja bahkan juga takut untuk nyawa kita sendiri.

Tetapi, perasaan takut yang paling menggerunkan ketika ni ekoran tragedi kehilangan pesawat MH370 adalah ketakutan untuk menaiki kapal terbang. Pada era pasca 11 September 2001, masyarakat antarabangsa semakin phobia untuk menaiki kapal terbang ekoran tindakan nekad sekumpulan pengganas menggunakan kapal terbang untuk menghalalkan tujuan mereka.

Mengapa tidak? Kumpulan pengganas yang tidak berperikemanusiaan akan menggunakan kapal terbang sebagai perisai dan senjata untuk menghantar satu mesej penting kepada pihak musuh atau mahu menuntut sesuatu.

Tragedi 11 September 2001 jelas memberikan kesan yang cukup hebat kepada industri penerbangan dunia. Umumnya, tahap keyakinan masyarakat terhadap keselamatan pesawat yang dinaiki mereka jatuh merudum.

Malah, bilangan penumpang yang menggunakan kapal terbang sebagai sumber pengangkutan utama mereka sebelum 11 September berjumlah 65.4 juta namun angka berkenaan jatuh mendadak selepas itu dan keadaan hanya kembali seperti biasa, tiga tahun kemudian.

Perkembangan ini jelas satu “reality-check” buat industri penerbangan di seluruh dunia. Hakikatnya, jaminan bahawa semua kapal terbang adalah selamat sudah tidak relevan lagi.

Kehilangan pesawat MH370 pada 8 Mac 2014 yang lalu telah mengukuhkan persepsi yang kita tidak ingin dengar selama ini.  Adakah pesawat MH370 telah dirampas oleh kumpulan pengganas seperti mana yang didakwa oleh sesetengah media asing? Ataupun berlakunya masalah teknikal seperti kerosakan enjin atau juga berlakunya letupan di ruang udara?

Ketika ini, terlalu banyak spekulasi dan teori konspirasi yang disebarkan oleh pelbagai pihak yang sudah pasti tidak akan membantu mengurangkan ketegangan antara Beijing dan Kuala Lumpur.

Mana-mana pihak yang mempertikaikan rekod keselamatan pesawat Malaysia Airlines wajar melihat perkara ini dalam konteks yang lebih menyeluruh. Selama ini, pesawat MAS dan industri penerbangan negara dianggap antara yang paling selamat di dunia berbanding dengan syarikat penerbangan China seperti South China Airlines.

Tidak dinafikan memang berlaku beberapa masalah teknikal pada pesawat-pesawat MAS sebelum ini namun bukankah masalah sedemikian juga menimpa syarikat-syarikat penerbangan terkemuka dunia seperti Qantas Air dan Virgin Air yang dikatakan memiliki rekod bersih dari segi tahap keselamatannya?

Dan hujah ini membawa kita kepada satu persoalan yang lebih mendesak iaitu apakah kita sebagai rakyat Malaysia harus mengelak daripada menaiki kapal terbang ataupun sebaliknya?

Perasaan takut sebenarnya hanya satu ilusi dalam pemikiran seseorang. Semakin takut seseorang, semakin bercelarulah pemikiran mereka. Apabila pemikiran kian bercelaru, ia membuka ruang kepada elemen-elemen lain untuk menguasai minda.

Realitinya, seseorang mempunyai pilihan untuk mengatasi ketakutan yang dihadapi atau membiarkan ketakutan tersebut menguasai dirinya. Dalam erti kata lain, ia adalah satu permainan psikologi.

Kita tidak mungkin tahu bilakah nahas akan menimpa kita. Berkemungkinan nahas berlaku pada ketika kita terlalu khusyuk dan sibuk dengan tugasan harian. Bermakna, jalan terbaik untuk memastikan kita sentiasa terlindung daripada bahaya ialah dengan sentiasa berwaspada.

Setiap manusia di muka bumi ini akan mati satu hari nanti. Mati adalah satu kepastian dan kematian tidak mungkin dapat dielakkan. Soal bagaimana kita mati, hanyalah Tuhan sahaja yang Maha Mengetahui.


Beberapa orang wanita kelihatan memegang lilin dalam satu perhimpunan nyalaan lilin bagi penumpang di atas pesawat MH370 di pusat membeli-belah Bangsar Village, 27 Mac, 2014. — Picture by Saw Siow Feng

Justeru, adakah kita seharusnya mengelak terus daripada menaiki kapal terbang dengan harapan untuk merasa lebih tenang dan selamat? Melihat dari perspektif yang lain pula, ia boleh disifatkan sebagai satu helah mengelak berhadapan dengan realiti.

Jika kita sendiri tidak mampu dan mahu untuk mengatasi ketakutan yang dimaksudkan, maka bagaimana kita mampu berhadapan dengan cabaran yang lebih besar selepas ini?

Pengalaman untuk melancong ke seluruh dunia menggunakan kapal terbang adalah satu pengalaman yang tidak mungkin dapat dilupakan bagi kebanyakan daripada kita. Kapal terbang merupakan mode pengangkutan yang paling efisien dan pantas untuk sampai ke destinasi. Tidak keterlaluan untuk mengatakan pengangkutan udara sebenarnya adalah mode pengangkutan yang paling selamat berbanding jalan raya.

Buktinya ada di hadapan mata kita. Ini kerana, jumlah rakyat Malaysia yang terkorban dalam nahas jalan raya saban hari adalah cukup tinggi berbanding mode pengangkutan lain hinggakan rekod tersebut telah diperakui di seluruh dunia.

Jadi, apakah yang perlu dibimbangkan? Bagi penulis, tragedi MH370 tidak akan mengubah persepsi mahupun keyakinan penulis terhadap kemampuan pesawat MAS. Penulis akan terus memilih untuk menggunakan pengangkutan udara ketika melancong ataupun atas urusan rasmi di luar negara.

Tidak terlintas dalam fikiran penulis untuk memboikot waima meragui tahap keselamatan mereka. Tragedi MH370 boleh berlaku kepada sesiapa sahaja dan juga di mana-mana. Nasib MAS  kurang baik kerana kali ini, malapetaka melanda pesawat mereka.

Apapun, kemerosotan dari segi bilangan penumpang yang menaiki pesawat MAS masa ini hanyalah bersifat sementara namun rekod cemerlang serta kualiti perkhidmatan yang baik tidak akan dilupakan oleh penumpang.

Yang pasti, tragedi MH370 ini telah banyak memberi iktibar dan pengajaran kepada kita semua. Bagi pihak kerajaan, tragedi berkenaan sekurang-kurangnya dapat mendedahkan sejauhmanakah kesiapsiagaan kerajaan dalam menangani krisis besar itu.

Bagi pihak MAS pula, ia turut membuka mata pihak pengurusan syarikat pemerbangan utama negara bagaimana untuk memperhalusi semula semua pesawat miliknya agar mematuhi spesifikasi yang ditetapkan. Langkah ini perlu bagi mengembalikan keyakinan penumpang terhadap MAS. Mujur kebakaran pada enjin Malindo Air baru-baru ini tidak melibatkan kemalangan jiwa namun ia jelas satu petanda bahawa nahas boleh berlaku pada bila-bila masa.

Bersediakah kita? Mampukah kita mengatasi ketakutan itu?

*Pandangan di atas hanyalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pandangan The Malay Mail Online

Related Articles

 

You May Also Like