Opinion
Tragedi MH370: Jangan salahkan kerajaan dan MAS
Wednesday, 26 Mar 2014 7:40 AM MYT By Bartholomew Chan

26 MAC — Seluruh rakyat Malaysia kini bersedih di atas berita buruk bahawa pesawat MH370 milik syarikat penerbangan Malaysia Airlines (MAS) telah terhempas di selatan Lautan Hindi.

Pengumuman menggemparkan oleh Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Najib Tun Razak pada sidang media khas pada malam 24 Mac lalu, sekaligus mengakhiri penantian selama 17 hari mengenai nasib pesawat Boeing 777 yang hilang itu.

Pastinya, pengumuman berkenaan bukan sahaja meranapkan segala harapan dan doa dari kalangan kaum keluarga kepada penumpang MH370 bahawa anggota tersayang masih hidup tetapi juga mengubah kehidupan mereka buat selama-lamanya.

Selepas ini, tidak ada lagi belaian kasih sayang mahupun kucupan oleh kaum keluarga pada pipi mereka. Apa yang ada hanyalah tangisan, duka dan kekesalan yang berpanjangan selagi misteri kehilangan pesawat MH370 tidak ditemui.

Sememangnya, berita tersebut amat sukar untuk diterima oleh semua pihak, lebih-lebih lagi kaum keluarga kepada penumpang dalam pesawat MH370. Apa tidaknya, cara dan bagaimana mereka hilang dari pandangan secara mengejut tanpa sebarang jejak membuatkan mereka skeptikal berkenaan dengan nahas ini. Terdapat banyak misteri yang masih belum terjawab hingga ke hari ini.

Sejurus pengumuman mengenai nasib pesawat MH370 dibuat, kebanyakan kaum keluarga khasnya warganegara China menangis teresak-esak dan bagaikan tidak percaya bahawa anggota keluarga tersayang telah pergi buat selama-lamanya.

Namun dalam hidup di alam fana ini, adakalanya peristiwa sebegini sukar untuk dijelaskan. Mati atau hidup adalah ketentuan Ilahi dan mati itu juga adalah satu kepastian, cumanya yang kita tidak pasti ialah bilakah mati akan berlaku. Tetapi apa yang pasti, tragedi yang menimpa Malaysia dan pesawat MH370 mempunyai hikmah di sebaliknya.

Yang telah pergi, pastinya tidak akan kembali. Namun apa yang lebih penting dalam tempoh yang cukup sukar ini adalah keperluan untuk keluarga mangsa bertenang dan banyakkan berdoa.

Di sebalik simpati yang diberikan oleh masyarakat antarabangsa kepada Malaysia dan MAS atas kehilangan pesawat MH370, terdapat juga satu trend yang amat merunsingkan pihak berkuasa iaitu tuduhan melulu oleh media antarabangsa dan rakyat China terhadap keterbukaan kerajaan Malaysia dalam menangani krisis tersebut.

Sepanjang dua minggu lalu, kerajaan Malaysia dikecam hebat oleh waris mangsa di Beijing dan media-media asing khasnya CNN yang nampaknya lebih berminat untuk menegakkan benang yang basah. Lebih mendukacitakan, niat ikhlas kerajaan Malaysia dalam menenangkan perasaan waris mangsa warganegara China dibalas dengan cemuhan dan tuduhan bahawa mereka adalah pembunuh utama penumpang-penumpang dalam pesawat MH370.

Pada masa yang sama, kaum keluarga kepada si mangsa turut mengadakan protes di hadapan kedutaan Malaysia di China, di Beijing. Difahamkan protes tersebut diadakan bagi melahirkan ketidakpuasan hati mereka terhadap cara pihak berkuasa Malaysia menangani tragedi ini.  Mereka juga menuntut lebih banyak maklumat diberikan kepada mereka mengenai nasib penumpang MH370. Ejen-ejen pelancongan di China turut melaporkan tempahan pelancong China ke Malaysia merosot dengan ketara ekoran tragedi tersebut.

Media-media asing dari satu sudut pula lebih berminat dengan berita-berita panas yang memburukkan imej Malaysia. Dari hari pertama liputan sehingga sekarang, media-media asing seperti CNN dan BBC nampaknya lebih berminat dengan kelemahan pihak berkuasa Malaysia menangani tragedi ini.

Perhatikan bagaimana CNN berulang kali menyiarkan sentimen anti-Malaysia dalam kalangan rakyat China dalam siaran berita mereka walhal jumlah warganegara yang hilang atau mati dalam tragedi MH370 turut merangkumi 13 warganegara lain.

Selain China, Malaysia merupakan negara kedua yang paling teruk terjejas dalam tragedi memilukan ini. Seramai 38 rakyat Malaysia termasuk 12 krew pesawat dilaporkan hilang dan berkemungkinan sudah mati dalam nahas terburuk pernah berlaku di Malaysia.


Salah seorang daripada ahli keluarga seorang penumpang di atas pesawat Malaysia Airlines MH370 menjerit kepada wartawan selepas menonton siaran televisyen sidang akhbar, di Hotel Lido, Beijing, 24 Mac, 2014. ― Reuters pic

Persoalannya, apakah nyawa rakyat negara-negara lain tidak penting jika dibandingkan dengan warganegara China? Mengapakah CNN mengambil pendekatan yang berat sebelah dalam laporan berita mereka? Menggelarkan diri mereka sebagai The World News Leader, liputan berat sebelah CNN itu tidak lebih daripada satu penghinaan kepada kredibiliti etika kewartawanan yang seharusnya dipraktikkan oleh semua wartawan.

Kita semua faham akan perasaan kaum keluarga mangsa. Tiada siapa yang mahu mendengar berita malang ini. Namun takdir telah menentukan bahawa mereka semua tidak akan kembali. Janganlah membiarkan kemarahan dan kekecewaan yang meluap-luap ini mengaburi emosi dan pemikiran kita.

Juga, di manakah bukti kukuh yang menunjukkan kerajaan Malaysia tidak prihatin, dan cuba menyembunyikan maklumat-maklumat terperinci mengenai nahas MH370?

Apakah ia adalah satu tindakan yang betul untuk kerajaan mengeluarkan kenyataan media atau maklumat yang belum ditentukan kesahihan hanya semata-mata untuk memuaskan hati keluarga mangsa? Di sini, pihak berkuasa Malaysia telah melakukan sesuatu yang betul dengan tidak panik dan mengikuti kehendak keluarga mangsa.

Pihak berkuasa Malaysia mempunyai tanggungjawab untuk memastikan tidak akan berlaku sebarang kekeliruan dan trauma kepada keluarga mangsa. Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikulnya.

Sehubungan itu, dakwaan oleh sekumpulan keluarga mangsa warganegara China yang menyifatkan kerajaan Malaysia sebagai pembunuh adalah tidak adil.  Sebaliknya, dakwaan itu dibuat ketika emosi dan perasaan keluarga mangsa tidak tenteram selepas menanti lebih dua minggu.

Mereka perlu faham, kerajaan Malaysia tidak akan mendapat sebarang faedah jika memilih untuk menyembunyikan maklumat-maklumat penting berhubung pesawat MH370. Lagipun, apakah kelebihan kerajaan Malaysia jika mereka menyembunyikan maklumat-maklumat yang dimaksudkan?

Layanan yang diberikan oleh kerajaan Malaysia dan MAS kepada keluarga mangsa warganegara China adalah cukup baik dan tidak perlu dipertikaikan oleh mana-mana pihak. Selain menguruskan tiket penerbangan mereka ke Kuala Lumpur, kerajaan Malaysia turut menyediakan khidmat kaunseling kepada mereka. Manakala MAS bersetuju untuk membayar RM5,000 kepada setiap mangsa yang terkorban.

Lebih mengharukan, sidang media harian turut diadakan bagi memaklumkan perkembangan mutakhir nasib pesawat MH370 kepada para wartawan. Melihat kepada kesemua inisiatif yang dilaksanakan itu, apakah kerajaan Malaysia kejam dan tidak berhati-perut? Jika benarlah kerajaan Malaysia kejam, mereka boleh memilih untuk tidak melaksanakan kesemua inisiatif yang dinyatakan tadi.

Apakah sebenarnya yang dimahukan oleh rakyat China? Apakah ada jaminan dengan memberikan lebih banyak maklumat, mereka akan berpuas hati? Kita sebenarnya sedang berhadapan dengan krisis untuk menguruskan jangkaan mereka yang terlalu tinggi.

Ya, tidak dinafikan terdapat kelemahan di sana sini dari segi bagaimana pihak berkuasa Malaysia menguruskan krisis yang cukup besar ini. Maklumlah tragedi pada skala yang sebesar begini jarang-jarang berlaku di Malaysia. Sudah tentu, pengalaman untuk menguruskan krisis besar ini akan memakan masa yang lama dan aspek terbabit perlu difahami oleh keluarga mangsa.

Sesungguhnya, hidup ini perlu diteruskan biarpun harapan untuk kembali bersatu dengan kaum keluarga sudah berkecai. Kaum keluarga mangsa perlulah tabah dan bersabar dalam mengharungi detik-detik yang cukup sukar ini.

Dalam mengharungi detik-detik sukar ini, ada baiknya kita semua menadah tangan memohon pertolongan daripada Yang Maha Esa dan mendoakan agar misteri pesawat MH370 dirungkaikan dengan secepat mungkin. Kepada semua penumpang MH370 yang dikhuatiri terbunuh, bersemadilah dengan aman. Semoga mereka tenang di sana!

Yang pasti, dari Dia kita datang dan kepada Dia kita kembali!

*Pandangan di atas hanyalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pandangan The Malay Mail Online

Related Articles

 

You May Also Like