Opinion
Menilai kredibiliti media asing dan tempatan dalam melaporkan isu MH370
Sunday, 23 Mar 2014 8:08 AM MYT By Bartholomew Chan

MAC 23 —  Kehilangan pesawat MH370 kira-kita dua minggu yang lalu, sudah pasti meletakkan berita berkenaan sebagai antara berita pilihan tahun 2014 untuk kebanyakan agensi di seluruh dunia.

Apa tidaknya, ketiadaan bangkai pesawat dan bagaimana ia boleh hilang dari pandangan radar secara mengejut, benar-benar membingungkan pakar penerbangan antarabangsa.

Jelas, industri penerbangan dunia belum pernah berhadapan dengan masalah pada skala yang begitu kompleks hinggakan seramai 26 buah negara kini turut serta dalam operasi mencari dan menyelamat pesawat MH370.

Ketika ini, pelbagai spekulasi dan teori konspirasi terus tersebar mengenai punca sebenar kehilangan pesawat berkenaan. Daripada teori kononnya MH370 ditembak jatuh kepada masalah enjin pesawat sehinggalah tuduhan bahawa salah seorang juruterbang mempunyai perwatakan meragukan, semuanya hanya spekulasi semata-mata dan tidak disahkan.

Sepanjang tempoh sukar ini juga, rakyat Malaysia didedahkan dengan modus operandi media-media asing dan tempatan yang datang membuat liputan kehilangan pesawat MH370.

Terdapat perbezaan yang cukup ketara dari segi bagaimana media-media asing melaporkan tragedi ini berbanding dengan media-media tempatan. Satu trend yang cukup merunsingkan ialah kecenderungan media-media asing untuk mensensasikan kehilangan pesawat MH370.

Bagi mereka, perasaan dan sensitiviti kaum keluarga yang berkabung tidak diendahkan sebaliknya mereka lebih berminat untuk memperbesar-besarkan isu tersebut sehinggakan Malaysia dan syarikat penerbangan Malaysia (MAS Airlines) dilihat sebagai pihak yang tidak bertanggungjawab.

Perhatikan bagaimana teori-teori atau spekulasi yang tiup berkencang boleh dicanang oleh media-media asing dengan begitu rapi hinggakan apa yang didakwa tidak benar, akhirnya diterima bulat-bulat oleh penonton.

Sebagai contohnya, sebuah media Australia menerusi programnya Australia’s A Current Affair mendedahkan pengakuan seorang penumpang MAS Airlines,  Jonti Roos bahawa salah seorang juruterbang MH370, Fariq Abd Hamid pernah menjemput beliau dan seorang rakannya untuk masuk ke dalam cockpit. Roos dalam program tersebut turut mendakwa bahawa Fariq dan seorang lagi juruterbang pernah mengajak mereka untuk keluar beramah mesra.

Bagaimanapun, pendedahan oleh Roos itu boleh dipertikaikan kerana peristiwa tersebut berlaku pada 2011, yakni tiga tahun sebelum berlakunya kehilangan pesawat MH370. Persoalannya, mengapa Roos menunggu sehingga sekarang untuk mendedahkan perkara berkenaan? Mungkinkah Roos seorang individu yang mahu mencari publisiti murahan? Hingga kini, masih tidak kedengaran dakwaan yang dilontarkan oleh Roos adalah sahih dan benar-benar berlaku. 

Satu lagi laporan oleh media asing yang mengaitkan ketua juruterbang pesawat MH370, Kapten Zaharie Ahmad Shah sebagai salah seorang suspek yang mungkin bertanggungjawab dalam insiden kehilangan pesawat itu, mengundang pelbagai tanda-tanya.

Menggunakan simulator penerbangan yang ada di rumah kapten sebagai hipotesis, andaian yang diberikan oleh media-media asing itu nampaknya cukup berat sebelah. Mereka cuba menggambarkan Kapten Zaharie sebagai seorang yang tidak stabil dan fanatik. Pemberitaan sebegini cukup bahaya kerana ia didorong oleh emosi dan andaian satu pihak.

Biarpun kesemua dakwaan itu tidak dapat dipastikan kesahihannya, namun media-media asing seperti CNN begitu ghairah untuk menyiarkannya seolah-olah mereka pihak yang paling berautoriti berbuat demikian. Atas nama keterbukaan dan ketelusan, etika kewartawanan yang sebenarnya telah dikesampingkan.

Jika rakyat marhaen seperti Kapten Zaharie dan Fariq Abdul Hamid pun tidak terlepas daripada lensa media, inikan pula selebriti-selebriti terkenal seperti mendiang Puteri Diana, Putera William, Justin Bieber dan Julia Roberts.

Kita memahami keperluan para wartawan untuk mendapatkan berita untuk mengisi muka hadapan akhbar atau portal mereka. Dalam dunia perniagaan, semua berkisar kepada keuntungan manakala soal simpati tidak terlintas dalam fikiran mereka. Pada mereka, lebih ramai orang membaca berita mereka, lebih tinggilah rating mereka.

Namun, keghairahan untuk mendapat berita eksklusif membawa kita kepada satu persoalan pokok yang perlu dijawab oleh para wartawan dan editor sesebuah media. Apakah mereka sudah lupa akan etika kewartawanan yang sebenarnya? Bukankah sebagai seorang wartawan, mereka dilihat sebagai pihak untuk mendidik masyarakat?

Etika kewartawanan tidak mengajar wartawan untuk melampaui norma-norma yang dibenarkan untuk mengejar berita panas. Sebaik-baiknya setiap berita yang ingin dikejar haruslah dilakukan secara bertanggungjawab.

Bagaimanakah perasaan anda jika salah seorang daripada penumpang di dalam pesawat MH370 adalah anggota keluarga tersayang anda? Pastinya, anda akan sedih, marah dan mahu menuntut privasi untuk bertenang. Pokoknya, sebagai seorang wartawan yang bertanggungjawab mereka perlulah menilai sesuatu isu secara holistik dan menyeluruh. Nilai terlebih dahulu kewajaran untuk menyiarkan berita berkenaan dan impak yang akan timbul kepada keluarga mangsa.

Apabila anda menonton siaran berita CNN, CNBC atau BBC, tidak dinafikan liputan yang diberikan oleh mereka terhadap kehilangan pesawat MH370 cukup komprehensif dan menarik. Sudah tentu siaran mereka menarik kerana kebanyakan daripada siaran berita mereka tertumpu kepada khabar angin sahaja.

Akan tetapi, penyiaran berita yang berpandukan kepada khabar angin sebeginilah yang akan mengundang bahana di kemudian hari. Bayangkan apa akan berlaku jika kaum keluarga mangsa mendapat khabar bahawa salah seorang daripada penumpang dalam pesawat MH370 masih hidup tetapi akhirnya kecewa kerana ia hanya satu berita palsu.

Justeru, keputusan kerajaan untuk tidak mengumumkan maklumat-maklumat yang tidak disahkan kepada pihak media adalah satu tindakan yang tepat. Kalangan pengkritik mungkin menyifatkan tindakan itu sebagai satu tindakan bacul kerana takut untuk mendedahkan perkara sebenar namun tindakan berkenaan bertujuan melindungi kaum keluarga mangsa daripada tumpuan media yang keterlaluan.

Berbanding dengan media-media asing, media Malaysia pada keseluruhannya telah mempamerkan kematangan dalam pemberitaan mereka. Tatkala media asing begitu beria-ia untuk mengetengahkan teori konspirasi sebagai punca kepada kehilangan pesawat MH370, media tempatan nampaknya lebih rasional, bertimbang rasa dan “humane.”

Astro Awani sebagai contohnya dilihat sebagai satu-satunya stesen televisyen yang berjaya memberikan liputan terbaik mengenai insiden kehilangan MH370 ini. Selain memberikan perkembangan mutakhir dalam siaran berita mereka, liputan Awani juga memaparkan analisis terperinci daripada pakar-pakar penerbangan terkenal negara yang berkongsi pendapat mereka terhadap nasib pesawat MH370.

Meskipun liputan Awani tidak sehebat CNN, tetapi sekurang-kurangnya kandungan serta gaya pemberitaan yang disajikan adalah jauh lebih matang dan tidak berat sebelah. Oleh yang demikian, usah terikut-ikut dengan gaya pemberitaan media asing seperti CNN kerana mereka mempunyai audiens yang tersendiri berbanding dengan audiens di Malaysia. Malah, audiens di Malaysia berkemungkinan citarasa yang berbeza.

Percayalah, bukan semua berita yang disajikan dalam media-media asing dan tempatan boleh dipercayai. Kini, terpulanglah kepada kebijaksanaan pembaca untuk menilai berita mana yang boleh dipercayai atau sebaliknya.

 * Pandangan di atas hanyalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pandangan The Malay Mail Online.

Related Articles

 

You May Also Like