16 MAC — Sudah sembilan hari semenjak berita mengenai kehilangan pesawat MH370 daripada ruang udara Malaysia, dilaporkan.
Ketika ini, tiada siapa yang tahu mahupun berani untuk membuat teka-teki tepat mengenai status pesawat MH370 yang nampaknya hilang daripada pandangan tanpa sebarang jejak.
Ia cukup luar biasa dan “unprecedented” dalam sejarah industri penerbangan Malaysia kerana inilah kali pertama seumpamanya sebuah pesawat milik Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS Airlines) ghaib begitu sahaja.
Kali terakhir insiden besar melanda syarikat penerbangan negara ialah pada 4 Disember 1977 apabila pesawat MH653 terhempas di Tanjung Kupang, Johor gara-gara rampasan pesawat oleh individu tidak dikenali.
Kehilangan pesawat MH370 pada awal pagi Sabtu 8 Mac lalu secara mengejut telah mengundang pelbagai spekulasi liar mengenai nasib sebenar pesawat dan penumpang-penumpangnya.
Bermula dengan spekulasi bahawa pesawat tersebut berkemungkinan meletup di ruang udara kepada ditembak jatuh sehinggalah teori rampasan oleh pihak tertentu, kesahihannya masih belum dapat dipastikan. Disebabkan kesemua spekulasi liar itu gagal dimatikan, maka keinginan untuk tahu semakin meningkat dalam kalangan pengguna media sosial.
Di sebalik ketidaktentuan itu, kelibat dan gelagat sesetengah pengguna media sosial untuk mempertikai dan mengaibkan mangsa-mangsa pesawat MH370 melalui paparan Twitter dan Facebooknya, sudah melampaui batas yang dibenarkan.
Apa yang dilakukan oleh individu-individu berkenaan bukan sahaja membayangkan terdapat manusia gila di luar sana yang tidak prihatin malah tidak sensitiviti dengan perasaan keluarga kepada penumpang-penumpang yang hilang. Dalam erti kata lain, gelagat murahan itu tidak bertempat.
Pastinya, ini bukanlah masa untuk golongan gila ini untuk berjenaka mahupun menyebar spekulasi atau khabar angin yang tidak berasas. Apabila bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Nizar Jamaluddin menyuarakan kehairanan bagaimana sebuah pesawat besar seperti MH370 boleh hilang begitu sahaja, ramai yang menempelak beliau dan menyifatkannya sebagai tidak sensitif.
Tidak cukup dengan itu pula, ada juga seorang pengguna WhatsApp bernama Jasmine Johari yang memuatnaik tweet palsu mengenai ibunya yang konon berada dalam pesawat MH370 hinggakan beberapa artis terkemuka negara seperti Aznil Nawawi, Neelofa dan Aaron Aziz turut terpedaya.
Kedua-dua insiden berkenaan membuka mata semua mengenai sejauhmanakah sesuatu cerita harus dilaporkan dalam media sosial? Sebaik-baiknya, penerbitan artikel dalam media sosial haruslah berpaksikan kepada fakta atau sumber yang sahih. Selain sumber sahih, berita yang ingin disajikan itu haruslah seimbang dan tidak terikut-ikut dengan emosi dengan tujuan untuk mensensasikan sesuatu berita biarpun belum ditentukan kesahihannya.
Tidak terfikirkah mereka bahawa penerbitan berita yang palsu akan memberikan kesan psikologi yang cukup dahsyat kepada keluarga si mangsa? Daripada menyajikan berita-berita yang menjanjikan harapan palsu, bukankah lebih baik penyajian berita yang sahih dan realisitik?
Salah satu daripada keburukan berita di media sosial adalah ia diterbitkan tanpa sebarang tapisan. Ketiadaan tapisan itu bermakna bermacam-macam berita diolah dan disajikan kepada pembaca seolah-olah ia adalah benar-benar belaka.
Seorang anak kapal kelihatan keluar tingkap dari pesawat CN235 Tentera Udara Malaysia dalam operasi mencari dan menyelamat di Selat Melaka pada 15 Mac, 2014. — AFP pic
Situasi itulah yang sebenarnya berlaku sepanjang sembilan hari yang lalu. Hari demi hari kita dijajakan dengan spekulasi liar yang bukan sahaja tidak benar bahkan tidak masuk akal. Teori konspirasi juga tiup berkencang.
Namun sebagai golongan yang terpelajar, rakyat perlulah bijak menganalisis jenis maklumat yang diterima. Mereka wajar menggunakan kewibawaan yang ada pada mereka untuk menerima dan menulis apa yang dirasakan benar sahaja. Jangan sesekali memuatnaik artikel atau berita-berita semata-mata untuk memenuhi ruangan akhbar atau blog mereka.
Perlu ada rasa tanggungjawab dan integriti untuk memastikan bahawa berita yang disajikan adalah sesuatu yang membina. Tidak dapat dinafikan elemen sensasi merupakan sebahagian daripada strategi pemilik media dan media sosial untuk melariskan berita mereka, tetapi kebertanggungjawaban sosial untuk membina masyarakat beretika tidak boleh diabaikan.
Sehubungan itu, pihak berwajib seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia dan Polis Diraja Malaysia perlu menghantar satu mesej yang cukup kuat kepada si pesalah bahawa sebarang perbuatan tidak bertanggungjawab seperti menyebarkan maklumat palsu tidak boleh dikompromi.
Hukuman keras perlu dikenakan sebagai satu langkah pencegahan kepada mereka yang ingkar biarpun tindakan itu mungkin disalah anggap oleh pihak tertentu sebagai kuku besi. Tiada apa yang lebih penting selain memastikan kestabilan negara sentiasa terpelihara.
Kepada si pesalah, mereka perlu sedar bahawa mereka perlu bertanggungjawab dengan apa yang dimuatnaik dalam laman sosial. Biarpun tidak ada tapisan dalam media sosial, ia tidak bermakna pengguna boleh melakukan sesuatu secara sewenang-wenangnya. Amalkan penggunaan media sosial secara berhemah. Gunakan media sosial untuk tujuan murni yang boleh memberikan kelainan kepada hidup orang lain.
Di sebalik kisah pilu mengenai nasib 239 penumpang MH370 yang masih belum diketahui statusnya, insiden ini sebenarnya telah merapatkan rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama. Jika sebelum ini, kedengaran berita-berita mengenai isu kaum begitu hebat dijajakan, kini apa yang dapat dilihat adalah masyarakat daripada berbilang agama mengadakan upacara sembahyang mendoakan kepulangan pesawat MH370. Solidariti sebeginilah yang didahagakan oleh kita semua.
Mungkin juga Pencipta sedang menyampaikan mesej tersirat kepada kita semua sebagai rakyat Malaysia. Tatkala pemimpin-pemimpin politik dan individu tertentu begitu ghairah untuk berpolitik dan bergaduh sesama sendiri, insiden kehilangan pesawat MH370 mungkin petanda bahawa Pencipta kita mahu kita semua kembali bersatu dan fokus kepada isu yang lebih mendesak. Penulis tidak nafikan bahawa kerajaan mempunyai kekurangan khasnya ketika menangani krisis besar ini namun ia tidak bermakna mereka tidak melakukan apa-apa.
Kepada pengkritik di media sosial yang sering menghentam kerajaan mahupun pihak MAS, berikanlah peluang kepada mereka untuk menanganinya dengan baik. Segala kekurangan yang timbul daripada insiden ini boleh dijadikan iktibar berguna di masa hadapan jika insiden sedemikian berulang lagi.
Pada ketika kebanyakan kita hampir putus harapan mengenai nasib pesawat MH370, banyakkan berdoa kepada Pencipta kita. Sesungguhnya, Pencipta kita mendengar doa kita dan moga-moga dengan doa daripada jutaan rakyat Malaysia, sesuatu yang ajaib mungkin akan berlaku.
Meskipun harapan untuk melihat penumpang-penumpang pesawat MH370 hidup adalah tipis, tetapi sekurang-kurangnya kita telah mencuba sedaya-upaya.
Kepada Pencipta, kita berserah!
* Pandangan di atas hanyalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pandangan The Malay Mail Online.
You May Also Like