10 MAC — Walaupun Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Abdul Rahman Dahlan mengeluarkan kenyataan pada 20 Februari 2014 bahawa RM35 juta sudah diperuntukkan bagi menyelesaikan isu penduduk di Taman Permata, Dengkil, Selangor, penduduk terbabit masih belum mahu mempercayainya.
Abdul Rahman menerusi mesej Twitter mengaku kementeriannya akan membina 400 unit rumah di atas tanah yang disediakan oleh Kerajaan Negeri Selangor. Namun begitu, apa yang amat menghairankan adalah bahawa para penduduk terjejas langsung tidak diberitahu apa-apa mengenai perkara itu.
“Kami sendiri hanya mendapat tahu daripada orang luar. Mungkin dalam usaha menjaga nama baik Datuk Seri Najib Razak selepas Waythamoorthy melepaskan jawatan, maka menteri itu mengeluarkan kenyataan. Tapi kami memang tidak tahu apa-apa dan tidak ada apa-apa tanda ia dilaksanakan setakat ini,” kata M Rajeswary yang ditemui pada 1 Mac 2014.
Beliau antara puluhan penduduk Pangsapuri Taman Permata yang memilih untuk tinggal di dalam khemah di kawasan letak kereta Blok 5 sejak 11 Jun 2013 berikutan gegaran dan keretakan pada blok berkenaan.
Walaupun Rajeswary tinggal di Blok 1, beliau tetap bersolidariti bersama-sama penduduk lain untuk sama-sama memperjuangkan hak mendapatkan rumah teres yang dijanjikan kerajaan pusat lebih 15 tahun dahulu.
Berikutan keputusan membangunkan Putrajaya sebagai pusat pentadbiran kerajaan persekutuan, sejumlah 400 keluarga dari Ladang Perang Besar, Medingly, Galloway dan Sedgeley dipindahkan ke Taman Permata.
“Kerajaan Negeri Selangor sudah pun memperuntukkan tanah bagi tujuan pembinaan rumah teres. Kami para penduduk sudah pun menaiki bas beramai-ramai dan pergi melihat kawasan itu serta berasa puas hati dengan kawasan yang diberikan.
“Kini kami menunggu tindakan kerajaan pusat mengotakan janji membina rumah teres. Apatah lagi, menteri sudah mengesahkan bahawa perdana menteri sudah memberikan peruntukan,” kata wanita berumur 44 tahun itu semasa diwawancara.
Sekumpulan wakil Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) mengunjungi penduduk terjejas pada Ogos dan November 2013. Kunjungan terbaru pula untuk mengetahui perkembangan terkini untuk dilaporkan kepada umum.
Foto-foto suasana sekitar Pangsapuri Taman Permata — khasnya Blok 5 — dimuat naik ke Facebook untuk tatapan orang ramai. Rakaman klip video wawancara penduduk juga disiarkan di media sosial. Wakil Kavyan, Shahrul Nizam Abd Hamid membuat rakaman foto manakala Perzeus James dan Kartigesan Satharsivam membuat rakaman video bagi dokumentari khas.
Rajeswary ternyata bukan seorang surirumah biasa — seperti Datin Seri Rosmah Mansor, misalnya. Wanita ini terlibat sama dalam perjuangan penduduk Taman Permata sejak dahulu. Sebaik sahaja penduduk menyedari mereka “ditipu” kerana tidak diberikan rumah teres seperti dijanjikan — sebaliknya disumbat ke dalam lima blok pangsapuri — perjuangan dimulakan bagi menuntut hak.
Rajeswary kecewa dengan sikap yang ditunjukkan pemimpin MIC.
IKRAM sahkan pangsapuri tidak selamat
Kumpulan wanita yang ditemui menceritakan bahawa mereka sudah beberapa kali menyertai tunjuk perasaan secara aman di Dengkil dan Putrajaya. Kesemuanya dilakukan kerana mereka tidak rela terus ditindas, dipinggir, ditipu dan dianiaya pihak berwajib.
Pada 17 Mac 2014, Jawatankuasa Persatuan Bertindak Penduduk Taman Permata merancang untuk turun ke pejabat Menteri Besar Selangor di Shah Alam untuk menyerahkan satu lagi memorandum. Rata-rata golongan wanita — termasuk warga emas — yang ditemui mengatakan bahawa mereka akan turut serta dalam konvoi itu.
Tidakkah Rajeswary merasakan bahawa dia membazir masa dan tenaga dengan menyertai perjuangan ini? Apatah lagi, sudah lebih 265 hari mereka tinggal di dalam khemah sumbangan Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) tanpa sebarang hasil yang nyata.
“Saya tinggal di Blok 1. Rumah saya belum terjejas tetapi Institut Kerja Raya Malaysia (IKRAM) dalam laporan rasmi mereka sudah mengesahkan bahawa kesemua lima blok pangsapuri tidak selamat untuk diduduki. Jadi, saya tidak menganggap penglibatan saya dalam perjuangan ini sebagai sia-sia atau membazir masa.
“Setiap pagi, selepas membuat kerja-kerja di rumah, saya akan menyertai kaum wanita lain di khemah ini untuk membantu mereka. Saya pulang ke rumah menjelang tengah hari tetapi datang semula ke khemah pada sebelah malam,” bekas pekerja kilang itu menghuraikan.
Katanya, pada sebelah malam, para penduduk akan berkumpul untuk berkongsi cerita dan mendengar taklimat perkembangan terbaru isu serta perjuangan mereka. Kisah suka-duka juga akan dikongsikan selain merancang gerak kerja susulan demi memastikan momentum perjuangan mereka berkekalan.
Suatu perkara unik yang dapat saya perhatikan sendiri dalam kalangan penduduk kelima-lima blok Pangsapuri Taman Permata adalah semangat perpaduan yang ditunjukkan.
Dari 2007 hingga 2009, Kavyan sering mengadakan aktiviti bahasa, sastera, seni dan budaya bagi kanak-kanak dan remaja yang tinggal di lima pangsapuri berkenaan dengan kerjasama Pusat Komuniti ERA.
Pada waktu itu, masih nampak bahawa penduduk setiap blok (dari ladang yang berbeza) terpisah kerana mementingkan semangat “kekitaan” dalam kalangan penduduk dari ladang masing-masing.
Kini, jurang pemisah itu sudah tidak kelihatan dan perkembangan ini sesungguhnya amat membanggakan. Terdapat 400 unit rumah di sini. Hampir 380 keluarga — termasuk 22 keluarga Melayu — bersatu hati menuntut hak.
Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) seperti Suara Rakyat Malaysia (Suaram), orang perseorangan, pelajar kolej dan universiti serta wakil media juga selalu datang untuk memberikan sokongan moral dan membuat liputan.
Sebahagian penduduk yang tinggal di khemah sejak 11 Jun 2013.
Pemimpin MIC cuba mengaut untung
Walaupun berasa gembira dengan sokongan padu yang diberikan pelbagai pihak, rata-rata penduduk yang ditemui meluahkan rasa kecewa dengan sikap segelintir penduduk Taman Permata sendiri yang cuba menggagalkan usaha dan perjuangan.
“Ada 400 keluarga di sini tetapi sekitar 20 keluarga tidak terlibat dalam perjuangan kami. Sebaliknya mereka yang ada pengaruh MIC secara terang-terangan cuba memanipulasi keadaan demi kepentingan peribadi. Misalnya, peruntukan RM25 juta digunakan setakat untuk membuat beberapa kerja pemulihan paip dan mengecat bangunan.
“Amat nyata bahawa pemimpin MIC di kawasan ini merasakan ada peluang baik untuk mereka mengaut untung jika kami terus menderita. Bolehlah mereka terus meminta peruntukan demi peruntukan daripada MIC dan kerajaan pusat atas nama kerja-kerja membaik pulih bangunan,” kata Rajeswary yang ternyata sangat marah.
Luahan perasaannya dipersetujui dan disokong penduduk lain yang turut berada di dalam khemah. Amat nyata bahawa ada pemimpin MIC setempat yang cuba menangguk di air keruh demi membuncitkan perut sendiri. Demikianlah gambaran umum yang diberikan setiap penduduk yang diwawancara.
IKRAM sudah mengesahkan bahawa besi, simen dan bahan binaan yang digunakan semasa membina kelima-lima blok bangunan tidak mencapai piawaian. Maka, bangunan boleh runtuh pada bila-bila masa serta tidak selamat dihuni.
Hari demi hari, retakan demi retakan berlaku pada dinding. Akan tetapi, menurut penduduk yang ditemui, pemimpin MIC setempat menuduh para penduduk sendiri yang menggunakan tukul besi untuk merosakkan rumah masing-masing!
“Sudahlah mereka tidak mahu terlibat sama membantu perjuangan penduduk yang teraniaya; kini mereka menuduh kami pula sebagai cuba menipu kerajaan. Tindakan dan perbuatan mereka amat menyakitkan hati dan membuatkan kami rasa hidup kami akan lebih bahagia tanpa pemimpin MIC,” kata Rajeswary sambil merujuk kepada ketua-ketua MIC yang berasal dari empat estet yang sama dan kini tinggal di Taman Permata.
Baru-baru ini, pemimpin MIC terbabit membuat kenyataan akhbar bahawa penduduk Taman Permata tidak menghadapi masalah. Kecewa dengan berita yang kemudian disiarkan beberapa akhbar Tamil, sekumpulan wanita bergi ke rumah pemimpin MIC itu untuk meminta penjelasan.
“Kami berani berdepan dengan dia dan mengatakan bahawa kamilah yang menderita di dalam khemah sejak Jun 2013 sedangkan dia dan keluarganya sudah membeli rumah di luar dengan sokongan politik. Maka, kami memberi amaran kepada pemimpin MIC supaya jangan masuk campur, kacau daun atau cuba menggagalkan usaha kami demi kepentingan peribadi,” Rajeswary menegaskan.
Golongan wanita yang ditemui ternyata amat berani dan bersemangat. Apabila ditanya, mereka mengatakan bahawa mereka terasa amat tertipu oleh kerajaan kerana dicampak ke rumah pangsa sedangkan apa yang dijanjikan dahulu adalah rumah teres.
“Saya sudah terlalu tua dan mungkin tidak akan berpeluang duduk di rumah teres apabila ia siap nanti. Tetapi demi hak anak-cucu, saya sanggup berjuang hingga hembusan nafas terakhir,” kata seorang wanita warga emas dengan penuh tegas sebagai mewakili keseluruhan semangat juang yang dimiliki penduduk terbabit.
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malay Mail Online.
You May Also Like