Opinion
Caj profesional hospital swasta naik 14.4 peratus adakah rakyat mempunyai pilihan?
Sunday, 09 Mar 2014 7:23 AM MYT By Bartholomew Chan

9 MAC — Ibu penulis mempunyai masalah kesihatan yang banyak sejak 40 tahun yang lalu. Bukan sahaja beliau disahkan menghidapi penyakit kencing manis baru-baru ini, bahkan masalah migraine akut sejak berdekad-dekad lamanya.

Semenjak tiga dekad lalu, ibu penulis terpaksa bergantung sepenuhnya kepada bekalan ubat terkawal bagi meringankan kesakitan yang dialami.

Jenis-jenis ubat yang diberikan oleh doktor kepada ibu penulis pula bukannya ubatan sembarangan sebaliknya ubat terkawal yang hanya boleh didapati di farmasi atau hospital-hospital tertentu sahaja.

Antara ubat-ubat yang diambil oleh ibu penulis termasuklah Dormicum yang digunakan untuk merawat masalah kesukaran untuk tidur. Selain itu, Ternomin pula digunakan untuk merawat tekanan darah tinggi (hipertensi), Xanax untuk masalah kemurungan serta Trajenta untuk penyakit kencing manis.

Lebih merisaukan, harga dan keupayaan untuk mendapat bekalan ubat terkawal sebegini amat sukar dan perlu mendapat preksripsi oleh para doktor yang merawat pesakit terbabit.

Sehubungan itu, pengumuman oleh kerajaan bahawa caj profesional di hospital swasta sebanyak 14.4 peratus cukup mengejutkan dan dilihat dilakukan secara terburu-buru. Malah pengumuman tersebut turut mendapat kritikan dari kalangan persatuan pengguna dan kumpulan bukan kerajaan. Masing-masing menggesa agar caj tersebut dapat dikaji semula.

Pada ketika kebanyakan rakyat Malaysia masih cuba menyesuaikan diri dengan kenaikan kos sara hidup seperti harga barang keperluan, tarif elektrik, tarif air dan sebagainya, kenaikan caj profesional di hospital swasta jelas satu tamparan hebat kepada kelangsungan rakyat.

Seperti kebiasaan setiap kali berlakunya kenaikan caj untuk sesuatu perkhidmatan, reaksi yang diberikan oleh pihak berwajib adalah kenaikan itu tidak banyak dan tidak akan membebankan rakyat. Benarkah begitu? Bagaimana mereka tahu ia tidak akan membebankan rakyat? Sejauhmanakah mereka tahu kenaikan itu tidak membebankan rakyat? Ataupun itu hanya kata-kata manis untuk meredakan kemarahan rakyat?

Ternyata, mereka yang mengeluarkan kenyataan-kenyataan tidak sensitif tidak pernah merasai keperitan hidup yang perlu dihadapi oleh mereka yang mempunyai masalah kesihatan.  Ingatlah rakyat tidak begitu mudah untuk diperdaya dengan kata-kata manis sebegitu kerana logik yang dikemukakan sememangnya tidak masuk akal.

Bayangkan berapa banyak wang tambahan yang perlu ditanggung oleh pesakit untuk mendapatkan perkhidmatan di hospital swasta? Wang tambahan yang perlu dikeluarkan ini sebenarnya boleh digunakan untuk menampung aktiviti harian dan perbelanjaan yang lebih penting.

Kita semua faham kali terakhir caj perubatan di hospital swasta dinaikkan adalah kira-kira 12 tahun yang lalu. Kita juga sedar kenaikan caj perubatan di hospital swasta sudah tidak dapat dielakkan namun apakah kewajarannya?

Ketika ini, caj perundingan awal dengan pengamal am bukan pakar telah ditetapkan pada kadar antara RM30 hingga RM125 manakala caj perundingan awal dengan doktor pakar yang membabitkan pemeriksaan dan pelan rawatan telah ditetapkan pada kadar antara RM80 hingga RM235.

Apakah pihak Kementerian Kesihatan atau Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) boleh memberikan jaminan bahawa kenaikan caj ini akan meningkatkan kualiti perkhidmatan di hospital swasta?

Umum mengetahui bahawa kualiti perkhidmatan di hospital swasta dilihat baik dan profesional namun ia tidaklah seindah yang dikhabarkan. Persepsi umum terhadap hospital swasta ialah semuanya berkisar kepada wang ringgit.

Setiap tindak-tanduk malah konsultasi dengan doktor dikenakan bayaran dan bayaran yang dikenakan pula mencecah lebih RM100 — itu hanya membabitkan konsultasi sahaja. Kepada mereka yang ingin mendapat perkhidmatan di hospital swasta, anda perlu mempunyai sekurang-kurangnya beberapa ribu ringgit di tangan bagi melangsaikan caj perubatan dan bilik hospital.

Golongan rakyat yang tidak berkemampuan tidak harus menjadi mangsa kepada kenaikan caj perubatan di hospital swasta. Ini kerana, kenaikan yang mendadak itu hanya menafikan hak mereka untuk mendapatkan perkhidmatan kesihatan terbaik.

Menafikan hak mereka untuk mendapatkan perkhidmatan terbaik hanya kerana kadarnya yang semakin tinggi adalah tidak munasabah. Apakah yang akan terjadi jika rawatan yang diperlukan oleh seseorang pesakit itu hanya didapati di hospital swasta? Apakah para doktor di hospital swasta berani dan sanggup untuk menyuruh golongan rakyat tidak berkemampuan untuk pergi ke hospital kerajaan jika tidak dapat membayar kosnya? Itu sebabnya apabila kedengaran suara-suara sumbang yang mendakwa hospital swasta lebih bersifat mata duitan, ia mungkin ada kebenarannya.

Seharusnya, perkhidmatan kesihatan haruslah berpatutan untuk semua lapisan rakyat tanpa mengira latar belakang pendapatan. Ini adalah hak asas yang wajar dituntut oleh rakyat Malaysia. Mereka juga mempunyai hak untuk mendapatkan kualiti perkhidmatan yang terbaik. Apa tidaknya, kita yang membayar kos perkhidmatan berkenaan.

Tidak dinafikan kenaikan caj perkhidmatan di hospital adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan. Namun, tindakan untuk menaikkan caj sebanyak 14.4 peratus adalah agak keterlaluan.  Jika ingin menaikkan kadar sekalipun, ia sepatutnya dinaikkan secara berperingkat agar ia tidak membebankan rakyat.

Pastinya, kenaikan caj perkhidmatan haruslah bergerak seiring dengan peningkatan kualiti perkhidmatan di hospital-hospital terbabit. Perlu diingatkan bahawa aspek perkhidmatan menjadi pertimbangan utama buat rakyat yang ingin mendapatkan rawatan di hospital.

Logiknya, jika perkhidmatan yang diberikan adalah bagus lagi berkualiti, pastinya mereka akan kembali mendapatkan perkhidmatan di hospital-hospital yang dimaksudkan.

Bagaimanapun, tindakan menaikkan caj perkhidmatan di hospital-hospital swasta minggu ini mencetuskan pelbagai tanda-tanya. Kenapa kenaikan itu hanya dibuat sekarang? Kenapa pula kadar yang ingin dinaikkan adalah 14.4 peratus dan bukannya kadar yang lebih rendah? Pihak kerajaan harus mencari satu formula menang-menang yang akan memanfaatkan semua pihak.

Tatkala rakyat sudah dibebankan dengan kenaikan tarif elektrik, air dan harga barang keperluan, kenaikan caj perkhidmatan di hospital swasta meletakkan golongan rakyat tidak berkemampuan dalam keadaan terumbang-ambing. Ini bermakna, mereka terpaksa mencari alternatif baharu yang lebih murah, yang dapat memanjangkan jangka hayat mereka.

Hakikatnya, kenaikan caj perkhidmatan di hospital swasta seperti yang diumumkan awal minggu ini tidak akan membantu Malaysia menjadi sebuah hab perubatan yang terbaik di rantau Asia, kalau tidakpun di seluruh dunia.

Apakah rakyat mempunyai pilihan?

* Pandangan di atas hanyalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pandangan The Malay Mail Online.

Related Articles

 

You May Also Like