Opinion
Pak Samad masuk SJKC

22 FEB – Sekitar dua minggu lalu, terdapat ucapan “Selamat Hari Jadi Ke-82” dikongsikan menerusi laman rangkaian sosial Facebook. Ramai juga yang terkeliru kerana ucapan itu ditujukan kepada Sasterawan Negara (SN) Datuk A Samad Said (Pak Samad).

Rata-rata peminat sastera – serta masyarakat umum yang peduli – maklum bahawa Pak Samad lahir pada 9 April 1935 di Kampung Belimbing Dalam, Melaka.

Maka, orang ramai tertanya-tanya apakah ada pihak yang sengaja mahu menyebarkan maklumat palsu berkaitan tarikh lahir dan umur sasterawan berkenaan yang merupakan satu-satunya SN yang paling berjiwa rakyat dan dikenali masyarakat pelbagai kaum.

Sebenarnya, mengikut data rasmi Jabatan Pendaftaran Negara, Pak Samad lahir di Singapura pada 8 Februari 1932. Nama penuhnya ialah Abdul Samad bin Mohamed Said dan merupakan warganegara Malaysia.

Saya berpeluang melihat (dan merakamkan foto) kad pengenalan – MyKad – Pak Samad pada 11 September 2013 semasa kami bertemu di Bangsar Utama untuk berbual-bual.

Perkara yang menarik dan sedikit menghairankan adalah bahawa rata-rata biodata Pak Samad pada buku dan dokumen lain menyebut beliau sebagai anak kelahiran Melaka pada 1935.

Buat pertama kali, poster khas yang disediakan oleh Gemilang Publishing Sdn Bhd untuk pameran di perpustakaan SJKC Kuen Cheng 2, Kuala Lumpur mencatatkan maklumat sebenar mengenai tarikh dan tempat lahir Pak Samad.

Sudut khas SN itu dirasmikan oleh Pak Samad sendiri pada 17 Februari 2014. Terdahulu, beliau yang hadir bersama-sama isteri, Datin Rashidah Mohd Dahan, menceritakan pengalaman hidup kepada murid-murid sekolah berkenaan.

“Inilah kali pertama saya berpeluang berdepan secara rasmi dengan begitu ramai murid-murid dan guru sekolah Cina (SJKC) dalam sebuah acara yang diaturkan khusus untuk meraikan saya.

“Saya menggunakan peluang ini untuk menegaskan dan mengesahkan bahawasanya saya lahir di Singapura pada 8 Februari 1932. Anda boleh tolak tepi biografi dan biodata yang pernah anda baca di mana-mana sebelum ini,” kata Pak Samad.

‘Saya bukan sepenuhnya orang Melayu’

Beliau berkongsi pengalaman membaca buku serta mengenali dunia sastera pada usia kanak-kanak dalam sesi bersama murid-murid ini yang berlangsung selama sekitar sejam.

Pak Samad mengakui bahawa beliau pernah hampir menjadi bisu kerana terkejut berikutan insiden bom digugurkan di Singapura semasa Perang Dunia Kedua. Beliau mengakui bahawa keadaan gagap yang dialami berikutan insiden itu menyebabkan beliau kurang berinteraksi dengan kanak-kanak seusia.

Insan berjiwa seni ini mengisi masa lapang sejak usia kanak-kanak dengan membaca pelbagai buku dalam Bahasa Indonesia dan Inggeris. Karya-karya dunia yang terdapat dalam kedua-dua bahasa itu menjadi santapan minda.

“Segala pengalaman semasa Perang Dunia Kedua dan Zaman Penjajahan Jepun turut menjadi bahan yang membantu mendewasakan saya serta membantu saya menjadi seorang pengarang pada kemudian hari,” kata Pak Samad yang antara lain menerima Anugerah Pejuang Sastera (1976), Augerah Penulis Asia Tenggara (1979) dan Anugerah Sastera Negara (1985).


Pak Samad dan isteri gembira bertemu generasi muda. — Gambar foto oleh Uthaya Sankar

Dewasa ini, Pak Samad dilihat oleh kuasawan dan politikus dengan penuh prasangka. Kelantangan beliau bersuara serta menegakkan hak masyarakat dilihat sebagai sikap menentang pemerintah; sekali gus Pak Samad dilabel sebagai penyokong pembangkang.

Malah, keberanian pihak pengurusan SJKC Kuan Cheng 2 mengundang Pak Samad memberikan ceramah amat wajar dipuji. Mereka tentu sedar bahawa Pak Samad “disenarai hitamkan” kementerian tertentu.

Sementara beberapa SN dibawa ke pelbagai tempat di seluruh negara atas kapasiti sebagai sasterawan, pihak berkenaan selalunya seolah-olah tidak mahu mengambil risiko dengan membawa Pak Samad. Kononnya kerana tidak mahu menimbulkan “masalah” bagi pihak kementerian.

Saya mengikuti sepenuhnya ceramah dan sesi Pak Samad di SJKC Kuan Cheng 2 dan tidak ada sebarang unsur “negatif” disampaikan atau disebarkan kepada murid-murid. Sebaliknya pelbagai kisah, pengalaman dan ilmu yang tidak terdapat dalam buku sastera dan sejarah telah dikongsikan oleh Pak Samad.

Pak Samad menyatakan bahawa beliau “bukan sepenuhnya orang Melayu”. Hal ini kerana terdapat darah Cina dan India dalam keturunan sebelah ibu bapanya.

“Saya berasa amat selesa bergaul dengan semua orang tanpa mengira kaum dan agama. Kita semua adalah orang Malaysia. Kita perlu Sali mengenali antara satu sama lain serta saling menghormati. Kita perlu mengukuhkan persahabatan dan bersaudaraan,” nasihatnya kepada murid-murid yang mendengar ceramah di auditorium sekolah.

Meninggalkan legasi kepada generasi muda

Pengarang novel Salina dan Sungai Mengalir Lesu itu menegaskan bahawa soal perpaduan perlu dijernihkan. Dalam hal ini, Pak Samad mengakui bahawa siasah (politik) memainkan peranan yang amat besar. Bagaimanapun, beliau sedar bahawa khalayak yang hadir mungkin terlalu muda dan mentah untuk memahami topik berkenaan.

Saya percaya bahawa kehadiran Pak Samad ke SJKC Kuan Cheng 2 tetap akan meninggalkan kesan mendalam pada jiwa murid-murid yang hadir mendengar ceramah.


Pak Samad menandatangani buku untuk koleksi perpustakaan sekolah. — Gambar foto oleh Uthaya Sankar

Mungkin sahaja mereka tidak begitu tahu siapa Pak Samad dan kehebatan serta ketokohan beliau sebagai sasterawan, pejuang, negarawan dan idola.

Namun begitu, apabila melangkah ke sekolah menengah dan seterusnya menjadi remaja dan dewasa, kelompok ini boleh menyatakan dengan bangga bahawa Pak Samad yang juga Penasihat Agung Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) pernah datang ke sekolah mereka.

Usaha Gemilang Publishing Sdn Bhd mengaturkan sesi ceramah ini serta perasmian Sudut Sasterawan Negara di SJKC Kuan Cheng 2 wajar dipuji. Sekurang-kurangnya guru dan murid berpeluang bertemu, bersemuka dan berkomunikasi secara langsung dengan satu-satunya SN yang paling berkaliber dan berjiwa rakyat.

Novel sulung Pak Samad, Salina (1961), diterbitkan semula oleh Wira Bukit Sdn Bhd pada 2012 manakala edisi Bahasa Inggeris diterbitkan ITBM pada 2013 serta mendapat sambutan menggalakkan.

Kumpulan puisi Di Atas Padang Sejarah terbit pada 2013 sementara buku yang sedang dinantikan para peminat sastera tanah air adalah novel Sungai Mengalir Lesu (1967) yang akan diterbitkan semula pada Mac 2014.


Poster khas bagi memperkenalkan para Sasterawan Negara. — Gambar foto oleh Uthaya Sankar

Pada April 2014, Pak Samad dijangka memenuhi undangan berceramah kepada guru dan murid SJKT Taman Melawati, Gombak. Maknanya, murid SJKC dan SJKT amat bertuah kerana berpeluang bertemu dan berbual secara santai dengan SN yang ulung.

Ada seorang rakan berbisik kepada saya: Bagaimana dengan nasib anak-anak Melayu di sekolah kebangsaan (SK)? Apakah nasib mereka begitu malang sehingga tidak akan berpeluang bertemu Pak Samad?

Saya optimis bahawa dalam masa terdekat akan ada SK dan SMK yang berani tampil mengundang Pak Samad memberikan ceramah sastera di sekolah mereka. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malay Mail Online.

Related Articles

 

You May Also Like