Opinion
Suara, lagu, dan muzik di Malaysia

23 FEB — Di negara kita ini sebenarnya terdapat segelintir pemuzik yang sangat berbakat terutamanya dari genre jazz, neo classical metal dan klasikal yang kehebatan mereka sebagai pemuzik hanya diterima segelintir peminat muzik tempatan dan luar negeri.

Masalahnya pasaran untuk karya-karya mereka yang berelemenkan selain dari konsep pop tidaklah memberangsangkan dari segi sambutan dan penerimaan masyarakat juga pendengar di negara kita ini.

Faktor utamanya saya kira kerana di sini, bak kata P.Ramlee dalam lagunya ‘ irama dan lagu tak dapat dipisahkan’. Saya ubah sikit- di sini, ‘suara dan lagu’ tak dapat dipisahkan.

Ramai juga di antara mereka-mereka yang hebat ini kawan-kawan yang saya kenal secara personal atau melalui karya mereka seperti GG, Shahrul Eka, Aman Sabran ( Melon King ), Sheikh Hady Basmeih atau lebih dikenali Hady Afro ( gitaris klasikal dan jazz ), Hisham Mahdin antaranya.

Seperti Hisham Mahdin atau lebih dikenali Sham Left Right, Sham Triggy atau G-Man yang mampu bermain-dengan kedua belah tangan kiri dan kanannya dengan baik, termasuklah dengan kaki. Sam bagi saya punya kebolehan yang luar biasa, yang tidak mampu dilakukan oleh ramai kita.

Kombinasi dan gayanya antara Michael Angelo dan Stanley Jordan dengan teknik tapping yang melekat dan menarik.

Kenyataannya Sham dilahirkan di Malaysia, sebuah negara membangun yang masyarakatnya hanya suka melihat yang indah-indah dan muzik yang gitu-gitu saja, dan mimpi ini akan mereka bawa sehinggalah ‘The Day That Music Died’ bak kata Don McClean dalam lagu hitnya, ‘American Pie’.

Walaupun ‘The Day That Music Died’ itu McClean maksudkan tentang kematian legenda legenda rock n roll Buddy Holly dan Ritchie Valens, pun untuk nilai dan hala tuju muzik kita di Malaysia yang tidak berkembang dan layu ini, perumpamaan yang sebegitu bolehlah kita gunakan juga.

Dulu, kini dan selamanya Malaysia biasanya hanya akan menerima kalau yang hadir itu hidangannya biasa-biasa saja, jangan hebat sangat nanti bila termasuk dalam kategori luarbiasa lain pula pandangannya.

Saya kenal Sham sewaktu beliau bersama 3 piece grupnya menyertai pertandingan Asian Beat yang dianjurkan oleh Yamaha Music kalau tak salah saya di awal tahun 2000 dulu. Beliau mungkin tidak mengenali saya.

Namanya di kalangan kawan-kawan pemuzik memang kita semua sudah biasa.Genrenya fusion, jazz dan ada elemen rock n roll juga. Sam juga boleh menyanyi. Sayangnya mereka gagal memenangi pertandingan tersebut.

Apapun saya tabik akan kebolehan Sham bermain alat muzik terutamanya elektrik gitar. Kalau kita mampu ‘split’ kan otak kita seperti kita mendengar muzik  dari King Crimson yang pemuziknya yang semua genius-genius belaka seperti Robert Fripp, Toni Levin, Adrian Belew dan Bill Brudford atau Michael Angelo mahupun pemain drum sehebat Terri Bozio, itu memang menakjubkan.

Saya bangga kerana Sham anak kelahiran Johor, Malaysia. Sedih kerana bakatnya tidak sampai ke telinga masyarakat kita. Akhirnya hanya ada dua jalan saja, teruskan atau putus asa?

Saya tidak tahu apa perkembangan beliau sekarang, terutama mengenai karier seninya yang unik dan tersendiri itu. Mungkin beliau sudah menerima takdir hidupnya yang lahir di sini, bukan di Amerika atau negara Eropah sana.

Masalahnya juga jika kita dilahirkan di sini, sebuah negara membangun yang walaupun kita berbakat besar, belum tentu mereka yang tinggal di negara maju sana mahu memandang kita.

Kecuali apa yang kita lakukan itu apa yang tidak mampu mereka lakukan seperti apa yang Nusrat Fateh, Ali Farka Toure, Zakir Hussein dan Shakti lakukan untuk menembusi pasaran Eropah dan Amerika.

Biasanya apabila perjalanan seni kita semakin dalam, ianya melibatkan elemen spiritual, samada melalui jalan keagamaan mahupun falsafah.

Dan biasanya juga mereka-mereka yang bergelar legenda dunia seperti Jullian Bream ( maestro klasikal ), Segovia ( klasikal ), Robert Fripp ( jazz dan progresif ), Michael Hedges ( komposer akustik new age gitaris ) mahupun Paco De Lucia atau Tomatito ( flamenco ) antaranya, mereka-mereka ini sudah sampai ke tahap mengenal apa yang ada di jiwa, tentang rasa dan indahnya.

Persoalannya bagaimana untuk kita mendidik masyarakat kita agar lebih menghargai bakat pemuzik tempatan?

Jalan untuk pemahaman itu sangat sukar sebenarnya. Umum kita sedar paling tinggi tahap faham kebanyakan pendengar dan peminat pun hanyalah untuk genre rock kapak.

Itupun bikin album solo intrumental pun tak jual juga. Terpaksa guna khidmat penyanyi dengan lagu cinta cari makan, pun tak jalan juga. Itulah yang terjadi pada album-album gitaris hebat kita seperti Hillary, Man Keedal mahupun Samad ( arwah ).

Masalahnya pemahaman tentang muzik jazz dan klasikal itu hanya mampu diterima oleh mereka yang mendalaminya. Kedua genre ini berada dalam kelas yang tersendiri dan saya akui jika kita semakin mendalami ilmu muzik dan instrumen, kita akan cuba untuk ke dasarnya.

Cuma di dasar siapa yang nak dengar? Mungkin kita akan bermuzik untuk diri kita sendiri juga untuk kawan-kawan yang sealiran dalam kefahaman?

Saya pernah mempelajari muzik klasikal dan pernah juga bercita-cita mahu menjadi pemain gitar klasikal dan jazz yang bagus di awal penglibatan dalam dunia gitar pada awal tahun 80an dulu.

Saya kira perkiraan saya tepat apabila memilih untuk menjadi folk-singer songwriter dan pemain gitar akustik yang biasa-biasa saja, sekurang-kurangnya saya sudah punya 10 album indipenden yang berjaya dihasilkan sehingga ke hari ini.

Masalah yang saya lihat untuk genre ‘instrumental’ di sini kurang menjadi minat ramai. Siapa pemuzik jazz dan klasikal kita yang berjaya dan dikenali di Malaysia atau sehingga ke peringkat dunia?

Nyata kita terlalu fokus kepada suara yang merdu, suara yang jantan, imej yang rockers atau bergemerlapan jadi bila kita keluarkan ‘tone’ dari apa saja alat muzik, mereka akan bertanya, “mana suaranya? Atau “tak sedap pun?”

Dan saya tahu apa yang mereka mahu... “Suara yang tipikal dan komersial, lagu yang muziknya seperti Fantasia Bulan Madu atau Suci Dalam Debu, yang kordnya sama saja formatnya seperti Am/Dm/E...Dan muzik dan iramanya wajib slow rock dan ballad.

Tidak ketinggalan yang paling penting, sebab masyarakat kita tak suka pening-pening tentang apa mesej lagu yang nak disampaikan, jadi standard yang paling sesuai untuk pendengar kita adalah lirik cinta yang katanya ‘lirik lagu ketuhanan’.

Apapun saya cuma punya harapan, walau saya tidak mengharap agar muzik yang variasi sifatnya akan lebih diterima di negara kita ini. Untuk ke situ, kita perlu memulakannya dari sekarang!

* Pandangan ini hanyalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pandangan The Malay Mail Online.

Related Articles

 

You May Also Like