23 FEB — Penulis dilahirkan di sebuah perkampungan kecil di jajahan Machang di Negeri Che Siti Wan Kembang, Kelantan, lebih 40 tahun yang lalu.
Suasana perkampungan tempat penulis dilahirkan cukup tenang dengan penduduk di sekeliling hidup aman harmoni tanpa sebarang syak-wasangka.
Apabila berlangsungnya majlis keramaian, mereka tidak teragak-agak untuk keluar membantu biarpun orang yang dibantu itu bukannya kaum keluarga mahupun dari bangsa mereka sendiri, sesuatu yang jarang kelihatan di bandar-bandar besar dan semakin hilang dari pandangan.
Jiran penulis adalah seorang berbangsa Melayu. Namanya Encik Suhaimi. Beliau merupakan seorang nelayan yang mencari sesuap nasi dengan menangkap ikan di laut.
Biarpun taraf kehidupan dan sumber pendapatan yang diperoleh menerusi aktiviti menangkap ikan tidaklah sebaik mana, namun keadaan yang serba kekurangan itu tidak sekalipun mematahkan semangat Suhaimi untuk terus berusaha mencari wang mencukupi bagi menyara kehidupan keluarganya.
Lebih mengagumkan, beliau tidak menyalahkan kepada takdir atau orang lain di atas situasi yang menimpa dirinya. Bagi Suhaimi, untuk berjaya dalam hidup seseorang itu harus berusaha bersungguh-sungguh dan tidak hanya bergantung harap kepada bantuan semata-mata.
Hubungan penulis dengan beliau cukup baik. Hubungan kami berdua cukup erat bagaikan abang dan adik. Walaupun latarbelakang kehidupan kami berdua adalah berbeza, tetapi kepelbagaian dari segi ras, agama dan budaya sebaliknya merapatkan kami berdua. Kami sering bantu-membantu antara satu sama lain baik semasa masa susah mahupun senang.
Inilah semangat Kemalaysiaan yang pernah bercambah satu ketika dahulu yang mana setiap rakyat Malaysia melihat diri mereka sebagai rakyat Malaysia dan bukannya berlandaskan kepada kaum mereka. Inilah juga semangat yang kita ingin lihat kembali mewarnai negara tercinta ini dan bergerak sebagai sebuah negara yang bersatu.
Malangnya, sejak akhir-akhir ini, bermacam-macam isu sering dipolitikkan. Misalnya, isu yang pada dasarnya dilihat kurang signifikan dan remeh, boleh dipolitikkan hasil daripada pengaruh media sosial.
Hakikatnya, Malaysia kini berada di persimpangan dari segi pengurusan hubungan kaum. Saban hari, ada sahaja isu-isu membabitkan kaum yang tidak sepatutnya dibangkitkan sama sekali. Maklumlah, isu-isu panas membabitkan perkauman dan agama merupakan senjata paling berkesan untuk mencetuskan ketegangan.
Sejarah zaman silam telah membuktikan kepada kita bahawa ketegangan yang wujud bukan sahaja tidak akan membawa manfaat kepada perpaduan nasional malahan juga kepada kestabilan sesebuah negara. Justeru, apabila komentar yang diberikan oleh seorang penulis dalam sebuah akhbar tempatan mendakwa masyarakat bukan Melayu sengaja menjolok sarang tebuan, penulis merasa sebak dan sedih.
Apa tidaknya, bukan semua hujah yang dilontarkan penulis itu adalah benar-benar belaka. Dalam sebuah negara yang mengamalkan demokrasi, apa yang diutarakan oleh penulis berkenaan adalah hak beliau. Beliau sememangnya mempunyai hak untuk mengutarakan pandangan tetapi setidak-tidaknya, hujah yang dikemukakan haruslah berpaksikan kepada fakta dan bukannya membuat tanggapan semata-mata.
Bukan semua masyarakat bukan Melayu yang menghina masyarakat Melayu. Jika ada sekalipun, ia hanyalah kumpulan minoriti dan tidak mewakili pandangan semua masyarakat bukan Melayu. Bagi kumpulan minoriti ini, mereka tidak faham dengan sensitiviti kaum-kaum lain. Barangkali mereka harus dididik dengan tuntas mengenai peri-pentingnya untuk bertolak-ansur dan bukannya memaki-hamun secara membuta-tuli.
Apa yang perlu disedari oleh semua bahawa kebanyakan masyarakat bukan Melayu pada dasarnya masih menghormati sensitiviti masyarakat Melayu. Ada yang cuba mengikuti budaya dan adat resam dan tidak kurang juga menguasai bahasa kebangsaan. Kumpulan minoriti masyarakat bukan Melayu ini memilih untuk tidak bersuara kerana mereka tahu bukan semua perkara yang boleh dibangkitkan secara terbuka. Beberapa isu utama seperti kedaulatan institusi diraja, kesucian agama Islam dan hak istimewa orang-orang Melayu tidak harus dipertikaikan.
Bagaimana dengan kumpulan masyarakat bukan Melayu yang minoriti ini? Mengapa sikap menghormati rakan-rakan Melayu tidak pula dinyatakan oleh penulis terbabit ? Oleh demikian, adalah tidak adil untuk kumpulan masyarakat bukan Melayu yang prihatin ini menanggung tempiasnya gara-gara kerana perbuatan tidak bertanggungjawab segelintir pihak yang kurang sensitif itu.
Bagaimanapun, dalam sebuah masyarakat yang berbilang bangsa, perasaan hormat-menghormati antara satu sama lain adalah jalan terbaik untuk mengekalkan perpaduan. Perpaduan tidak dibentuk semalaman tetapi menuntut persefahaman dan kesungguhan semua pihak.
Jika hubungan kaum hanya bersifat sehala yang mana satu pihak menuntut dan satu pihak memberi, ia bukan satu perkembangan yang sihat dan tidak akan mengubah keadaan. Sebaik-baiknya semua yang dilakukan haruslah memberi situasi menang-menang kepada semua. Seperti yang penulis bangkitkan dalam artikel minggu lalu, kekayaan negara haruslah dinikmati oleh semua pihak.
Kita boleh terus berbalah antara satu sama lain mengenai perkara ini sampai bila-bila tetapi apakah itu matlamat utama kita semua? Mengapa tidak kita menghayati kembali kisah positif penulis dengan Encik Suhaimi yang dibangkitkan pada awal artikel tadi? Terdapat beberapa elemen positif yang boleh dijadikan iktibar oleh kita semua.
Sudah tiba masanya untuk kita keluar daripada takuk minda sempit yang tidak menguntungkan mana-mana pihak. Cukuplah dengan isu-isu yang negatif. Negara perlu bergerak ke hadapan.
Penulis bersedia untuk menyahut seruan itu. Anda bagaimana?
* Pandangan ini hanyalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pandangan The Malay Mail Online.
You May Also Like