Opinion
Zaman ini zaman lawak dan jenaka

FEB 16 — Program final Maharaja Lawak Mega 2013 baru saja melabuhkan tirainya baru-baru ini. Umum sudah mengetahui kumpulan lawak Sepahtu berjaya muncul sebagai pemenang dan merangkul hadiah lumayan berjumlah RM 500 ribu.

Saya turut mengambil peluang menonton program final tersebut yang disiarkan secara ‘live’ di kaca TV bersama ahli keluarga. Kalau nak dikira berkualiti, bagi saya persembahan lawak kumpulan Jambu pada malam itu lebih berkualiti walau merapu.

Mereka in berbakat tapi kadang-kadang melalut sangat lawaknya. Saya tabik Nabil, walau solo tapi masih layak masuk ke final. Beliau  memang berbakat, tapi kita harus faham bukan untuk untuk membuatkan orang ketawa dengan lawak kita.

Tapi inilah trend di negara kita ini, siapa yang paling popular dialah juara. Kalau Jozan dan Zizan masuk, saya percaya mereka akan muncul sebagai pemenang. Sebabnya populariti Sepahtu mahupun Shiro belum sampai ke tahap Jozan dan Zizan. Citarasa penonton kita memang boleh dibaca.

Saya melihat hari ini atau zaman ini adalah zaman lawak dan jenaka. Jika sebelum ini ramai anak-anak muda dan remaja bercita-cita mahu menjadi penyanyi segera dengan menyertai program realiti Akademi Fantasia (AF) , hari ini pandangan mereka mungkin sudah beralih arah untuk menjadi pelawak pula.

Dulu pun dunia lawak meriah juga, tapi tidaklah semeriah hari ini. Kalau dulu slot lawak hanyalah sekadar buat syarat untuk melengkapkan suatu program berbentuk hiburan itu berlangsung. Hari ini banyak sangat program lawak disiarkan di kebanyakan siaran TV terutamanya dari Astro.

Jadi di mana-mana jua, asahlah bakat melawak kalau dalam diri kita terdapat ‘sense of humour’ dan untuk program atau pertandingan lawak akan datang, bolehlah cuba nasib.

Siapa yang tak nak RM 500 ribu? Pemenang tempat ke dua pula RM 250 ribu. Ia satu jumlah yang sangat lumayan sebenarnya. Tidak hairanlah ramai pelawak-pelawak terkenal kita hari ini yang mampu dan sudah bergelar jutawan hasil buat lawak.

Seperkara di Malaysia ini, apa saja program jika ianya berjaya menarik minat masyarakat maka berduyun-duyunlah para penaja yang mahu ambil bahagian dan kesan dipengujungnya adalah ringgit dan keuntungan jua.

Jika akan datang diadakan pula program mencari busker atau pemuzik sejati, saya percaya jika ianya turut diterima masyarakat sehingga menjadi fenomena, maka ramailah anak muda sehinggalah ke usia kanak-kanak mahu dan bercita-cita menjadi busker atau pemuzik pula. Begitulah ceritanya...

Siapa juara baru AF yang baru? Selain Hafiz yang masih kekal popular saya tidak kenal yang lain-lainnya terutama yang baru-baru. Walau program AF baru saja selesai saya masih tidak kenal siapa pemenangnya.

Sejak muncul juara AF musim ke-7 pada tahun 2009, Hafiz, anak muda kelahiran negeri Sarawak ini berjaya mengecap kemasyuran sebagai penyanyi yang paling popular di negara kita ini. Umurnya masih muda, 23 tahun.

Saya membesar dengan lawak-lawak Hamid Gurkha dan Datuk Jamali Shadat sejak tahun 70an dulu, di zaman TV masih lagi hitam putih waktu itu. Mereka berdua ini sangat popular sehingga berjaya menghasilkan album lawak yang mendapat sambutan ramai waktu itu.

Seterusnya A.R Badul, R.Jaafar ( arwah ), Datuk Yahya Sulong ( arwah ) dan geng-geng mereka mengambil alih di era 80an. Mereka ini punya identiti yang unik dan tersendiri.

Walau lawak Badul dan kawan-kawannya agak kasar, contohnya main ketuk kepala tapi ianya memang kelakar dan menjadi. Orang kata ‘lawak bodoh’, tapi bagi saya watak seorang pelawak itu perlu bodoh-bodoh cerdik atau cerdik-cerdik bodoh gitu.

Pertengahan 80 an dan seterusnya pula kumpulan Pi Mai Pi Mai Tang Tu menjadi popular dengan program lawak mereka dan berjaya menaikkan nama Ahmad Busu, Imuda, Sabri Yunus dan Zami Ismail antaranya sebagai pelawak yang popular di tanahair kita.

Bila sampai era lawak dari pelawak yang datang dari program TV3, seperti Saiful Apek, Shamsul Ghau Ghau ataupun kumpulan Senario, saya tak rasa lawak mereka ini kelakar.

Lawak mereka seperti dibuat-buat, pun mereka berjaya meraih populariti yang hebat dan filem-filem lawak Senario dan yang sewaktu dengannya berjaya diterima oleh masyarakat luar bandar utamanya.

Seketika selepas era Senario, dunia lawak agak sepi dan masih mencari rentak dan pengikut sehinggalah muncul Din Beramboi, Adflin Shauki, Harith Iskandar dengan program dan idea lawak yang baru dan walau ada elemen merapu mereka berjaya menarik perhatian masyarakat semula untuk meminati dunia lawak jenaka.

Di sini saya lihat pelawak yang paling menonjol adalah Din Beramboi ( arwah ) atau nama sebenarnya Meor Ahmad Fuad. Arwah antara pencetus idea merapu yang spontan dan menjadi. Sayang umurnya tidak panjang.

Sehinggalah terbitnya program Raja Lawak terbitan Astro pada tahun 2007 yang berjaya menarik jumlah penonton yang ramai dan ianya bertambah sehinggalah ke hari ini.

Hari ini siapa yang tidak kenal Sepahtu, Nabil, Jambu, Shiro atau Bocey? Saya percaya dari golongan tua sampailah kanak-kanak kebanyakan mereka kenal akan pelawak-pelawak ini.

Secara peribadi, jika kita bercakap tentang filem lawak yang terbaik bagi saya masih lagi waktu di zaman Tan Sri P.Ramlee dulu dengan filem-filem lawak terbitan Jalan Ampas yang masih menjadi evergreen sehinggalah ke hari ini.

Beza filem lawak zaman dulu dan sekarang, ianya jelas dari segi karakter, idea dan kreativiti. Filem lawak zaman Badul bagi saya masih kelakar dengan filem-filem lawak menggunakan nama beliau seperti Si Badul, Nasib Si Badul antaranya.

Selepas era Badul, saya jarang mengikuti perkembangan dunia lawak baik di filem mahupun di televisyen. Sehinggalah muncul program lawak terbitan Astro yang menjadi perhatian dan diminati masyarakat hari ini.

Lawak dan jenaka penting dalam kehidupan manusia sebenarnya. Ketawa mampu meredakan ketegangan kita. Di mana-mana baik di masjid pun begitu juga. Para ulama dan penceramah yang popular adalah mereka yang pandai buat lawak sewaktu berceramah.

Salah satu sebabnya tak adalah para jemaah yang hadir rasa mengantuk kalau isi ceramahnya serius sepanjang program.

Saya ingin melihat sejauh mana musim lawak dan jenaka ini akan kekal menjadi pilihan masyarakat. Selera mereka hari ini sentiasa berubah-ubah. Ini zaman kemuncak dunia lawak tanahair. Esok?

* Pandangan di atas adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malay Mail Online.

Related Articles

 

You May Also Like