16 DIS – Serangan dan ancaman terhadap golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) seolah-olah semakin rancak dilakukan puak tertentu bagi tujuan keuntungan politik.
Selain daripada memangsakan penganut mazhab Syiah, satu lagi kumpulan minoriti lemah yang amat mudah dibuli, dizalimi dan ditindas adalah LGBT.
Semuanya dilakukan atas nama agama; sedangkan gambaran nyata yang diberikan seolah-olah sekadar mahu mencapai motif politik, iaitu mengekalkan kuasa.
Orang ramai yang kurang maklumat mengenai LGBT – dan Syiah – mungkin tidak mampu berhujah; apatah lagi tampil membela golongan minoriti tertindas.
Bagi meningkatkan sedikit pemahaman saya terhadap golongan transgender, khususnya "pak nyah”, saya bertemu Dorian Wilde di Bandar Puteri, Puchong pada 30 November 2013.
Berikut saya berkongsi sebahagian daripada isi perbualan kami sebagai usaha membantu orang ramai memahami realiti berkaitan golongan pak nyah.
Uthaya: Laporan media baru-baru ini mengatakan bahawa hormon yang murah dan mudah diperoleh menjadi antara sebab ramai transgender mengambilnya. Bagaimana pula dengan pengalaman peribadi saudara?
Dorian: Saya mula mengambil hormon pada tahun 2010 iaitu semasa saya bekerja di Singapura. Hasil yang paling nyata dan dapat diperhatikan orang adalah misai dan janggut serta tangan saya yang berbulu lebat. Sekali gus, sukar untuk sesiapa menduga bahawa dalam sijil kelahiran dan rekod Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), jantina saya masih tercatat sebagai "perempuan”.
Dos hormon pertama tidak memberikan apa-apa kesan yang terlalu ketara secara fizikal. Akan tetapi, orang yang mengambil suntikan hormon itu akan merasakan naluri seksual yang terlalu memuncak dan agak sukar dikawal.
Suka saya menasihatkan mana-mana pak nyah (transmale) supaya mendapatkan nasihat dan perkhidmatan daripada doktor pakar sahaja. Jangan terpengaruh dengan laporan palsu media arus perdana bahawa hormon ini boleh dibeli di mana-mana dengan harga yang terlalu murah.
Harus saya tekankan bahawa naluri lelaki yang saya miliki bukan sesuatu yang tiba-tiba wujud pada usia remaja atau kerana pengaruh sekeliling. Kita perlu faham bahawa walaupun saya dilahirkan dengan "identiti seks” (alat kelamin) perempuan, "identiti gender” iaitu naluri jantina yang tertanam dalam minda saya sejak dalam kandungan ibu adalah naluri lelaki.
Tindakan saya – atau mana-mana pak nyah – mengambil suntikan hormon bukan bertujuan memiliki "identiti gender” lelaki kerana identiti atau naluri itu memang tidak boleh diubah sebagaimana genetik tidak boleh diubah.
Sebaliknya, pengambilan hormon itu dilakukan secara klinikal dan perubatan – dengan nasihat dan pengawasan doktor pakar bertauliah – bagi memastikan "identiti seks” (tubuh atau fizikal yang boleh diubah) dapat diselaraskan dengan "identiti gender” (yang tidak boleh diubah).
Kalau anda mendengar atau membaca laporan mengenai mak nyah (transwoman) atau pak nyah yang kononnya tiba-tiba sudah bertaubat dan kembali menjadi lelaki atau wanita mengikut "identiti seks” mereka, itu bukan transgender.
Sebaliknya mereka adalah sebenarnya pondan, bapok, cross-dresser atau transvestite iaitu "lelaki sejati” yang gemar berpakaian dan berkelakuan seperti wanita bagi suatu tempoh tertentu; sama ada untuk berseronok atau habuan seks. Atau pun mereka adalah tomboy atau pengkid iaitu "wanita sejati” yang memiliki ciri-ciri maskulin mengatasi ciri-ciri feminin.
Golongan bapok, pondan, transvestite, cross-dresser, tomboy dan pengkid boleh kembali menjadi "lelaki sejati” atau "wanita sejati” kerana "identiti gender” dan "identiti seks” mereka masih selaras; iaitu lelaki atau wanita.
Sejak umur tiga tahun, Dorain sedar dia lelaki.
Saya mengandaikan bahawa transformasi selepas mengambil suntikan hormon mengambil masa yang lama untuk menunjukkan kesan.
Ya, benar. Selepas pengambilan hormon kali pertama, suntikan kedua diperolehi selepas tiga minggu. Daripada pengalaman saya sendiri, kesan yang paling nyata adalah bahawa saya mula berhenti datang bulan atau haid.
Suntikan hormon kedua juga akan memberikan kesan perubahan fizikal pada pertumbuhan alat kelamin. Bagi seorang pak nyah, perkembangan itu pasti amat menggembirakan. Misalnya, bagi saya sendiri, semasa kanak-kanak, saya hairan mengapa saya tiada alat kelamin lelaki (zakar). Saya pernah beranggapan ia akan tumbuh kemudian.
Dalam masa sekitar tiga bulan, suara akan berubah. Struktur tubuh dan taburan lemak badan juga akan menampakkan perubahan yang amat ketara. Badan menunjukkan ciri-ciri maskulin (kelelakian).
Individu terbabit juga akan mula ada jerawat pada muka, tanpa mengira umur. Hal ini sama seperti yang biasa berlaku kepada remaja lelaki apabila mencapai umur baligh. Bagi pak nyah, proses ini seolah-olah memasuki alam baligh.
Keseluruhan proses transformasi atau transisi ini biasanya mengambil masa sekitar satu hingga satu setengah tahun. Sepanjang tempoh itu, tentulah berlaku pemikiran dan perasaan yang berkecamuk dalam diri individu terbabit.
Misalnya, saya secara semula jadi merupakan seorang individu yang sangat tenang dan susah menjadi marah. Bagaimanapun, semasa melalui transisi daripada "identiti seks” wanita kepada lelaki berikutan pengambilan suntikan hormon, emosi saya sukar dikawal.
Saya sangat mudah menjadi marah dan bengis. Hal ini mungkin akibat tekanan emosi yang dialami semasa proses transisi. Saya cepat rasa terganggu. Saya sudah tidak dapat mengawal emosi saya.
Kesan inilah juga yang biasanya membuatkan pasangan/kekasih pak nyah agak keberatan untuk membenarkan individu pak nyah itu mengambil suntikan hormon. Mereka takut dan bimbang kerana kekasih mereka (pak nyah) akan menjadi terlalu agresif, pemarah, bengis dan mungkin melakukan kecederaan fizikal kerana tidak mampu mengawal emosi selama sekitar satu setengah tahun.
Sebagai seorang aktivis transgender, selalu juga saya mendengar keluhan dan kebimbangan yang disuarakan oleh pasangan kepada pak nyah. Saya akan berterus-terang kepada mereka bahawa pengambilan hormon tidak secara tiba-tiba membuatkan seorang yang pendiam menjadi ganas.
Sebaliknya, kesan hormon itu hanya menzahirkan emosi yang sudah sedia terdapat dalam diri individu terbabit. Emosi yang terpendam sejak bertahun-tahun lama itulah yang tiba-tiba muncul ke permukaan dan meletus tanpa kawalan. Pengambilan hormon sekadar menjadikan emosi itu lebih nyata dan beberapa kali berganda.
Pernahkah saudara terfikir mahu menghentikan pengambilan hormon memandangkan ada kesan sampingan yang agak menakutkan?
Tidak sama sekali kerana sejak berumur sekitar tiga tahun, saya sudah sedar bahawa saya sebenarnya seorang lelaki. Maka, apabila akhirnya saya mendapat peluang untuk menjadi diri saya yang sebenar, saya menerimanya dengan penuh kesyukuran.
Segala kesan sampingan, kecelaruan emosi selama sekitar satu tahun, ejekan, gangguan seksual dan sebagainya saya hadapi dengan penuh semangat. Hal ini juga mungkin kerana saya mendapatkan khidmat daripada doktor pakar yang berpengalaman.
Saya juga mendapatkan pelbagai maklumat sebenar daripada pelbagai sumber rasmi dan sah; bukannya bergantung kepada laporan palsu dan cerita-cerita rekaan yang biasanya disajikan sebagai berita menerusi media arus perdana.
Maka, usaha mendapatkan maklumat sebenar adalah amat penting. Bukan hanya bagi golongan transgender (mak nyah dan pak nyah), tetapi juga bagi orang awam. Apabila sudah ada maklumat, maka fobia dan ketakutan yang tidak berasas dapat dihindari.
Semasa saya mula mendapatkan suntikan hormon, saya berada di Singapura. Setiap suntikan pada masa itu berharga 60 dolar Singapura. Apabila sudah kembali ke Malaysia, saya berurusan dengan seorang doktor pakar bertauliah di Kuala Lumpur. Harga setiap suntikan pada waktu itu adalah RM130.
Pengambilan suntikan hormon itu tidak bertentangan dengan undang-undang negara. Selalunya momokan dilakukan pihak tertentu dalam usaha menakut-nakutkan golongan mak nyah dan pak nyah. Serta usaha memberikan gambaran negatif kepada orang ramai; seolah-olah hormon yang diambil itu adalah dadah.
Ramai lelaki sejati yang mengalami masalah dalam hubungan kelamin mengambil hormon yang diambil pak nyah. Hormon yang diambil oleh mak nyah pula sama dengan kandungan pil pencegah kehamilan bagi wanita sejati.
Saya harap sedikit pengalaman yang saya kongsikan ini mampu memberikan gambaran lebih jelas dan tepat mengenai realiti golongan pak nyah. Sekurang-kurangnya supaya orang ramai tidak mudah dimanipulasi dan diperbodohkan pihak tertentu menerusi propaganda negatif berniat jahat.
* Uthaya Sankar SB menyertai Kunjungan Kebudayaan Kavyan ke Thailand pada 17-20 Disember 2013.
** Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malay Mail Online.
You May Also Like