10 NOV — “Mengapa tidak masuk ke arena mainstream?” itu soalan yang sering ditanya kepada saya oleh ramai pengunjung yang singgah di port busking saya. Selalunya jawapan yang keluar dari mulut saya, “Saya sudah tua” atau “I’m not into it”. Saya hanya seorang pemuzik dan pencinta seni dan sastera.
Saya lebih suka dan selesa dikenali sebagai seorang pemuzik atau busker dari digelar penyanyi apatah lagi artis. Pemuzik gred bayaran mereka biasanya lebih rendah dari penyanyi, apatah lagi jika bergelar penyanyi gred A. Gred A itu biasanya penyanyi yang glamour dan popularlah, atau yang datang dari syarikat rakaman.
Kebanyakan mereka ini nak dikatakan berbakat, bagi saya tidaklah sangat tapi jika muka kerap keluar suratkhabar dengan cerita-cerita gossip dan sensasi yang orang kita suka baca, maka nama pun cepatlah naik. Tapi tak apalah, itu cara masing-masing untuk cari makan dalam industri muzik di tanah air kita ini.
Saya hanya berminat dengan cerita tentang muzik, seni dan sastera yang serius yang penuh dengan nilai telus dan tulus. Itu keselesaan saya sebagai seorang pengkarya dan pencinta seni. Seperti pendapat seorang kawan, saya busking bukan untuk seni, tapi untuk cari makan. Saya bersetuju dengan pendapatnya, tapi untuk keselesaan jiwa saya lebih suka bikin apa yang saya mahu bikin. Dalam hidup kita perlu realisitik!
Jika kita sedar yang hidup ini tidak lebih dari hanya sekadar lakonan belaka, maka jadilah seorang pelakon yang bijaksana. Seimbangkan antara kemahuan rohani dan jasmani, zahir dan batin.
Ramai rakan saya yang menjadi pemuzik, tidak kiralah samada mereka itu busker, pemuzik undangan, pemuzik di pub atau hotel, pemuzik professional atau apa saja gelaran, asasnya mereka masih perlu bekerja untuk terus hidup.
Dan bayaran yang diterima mereka untuk menjadi pemuzik iringan seseorang artis biasanya jauh lebih rendah dari apa yang kita jangkakan. Misal kata seorang penyanyi mendapat RM10,000 bayaran untuk satu jam persembahan. Para artis paling banyak pun mungkin seribu rm, biasanya bawah seribulah...
Dari sudut realistiknya memang begitulah. Penghibur mahu pun artis, mereka mampu menggamit dan menarik penonton dengan imej dan lawak mereka. Saya tidak ada pakej itu dalam diri saya. Saya hanyalah seorang ‘performer’, bukan ‘entertainer’.
Ramai kawan saya mereka berkerjaya sebagai pemuzik untuk cari makan. Mereka menghabiskan masa dan sisa karier di pub atau hotel sehingga pencen atau juga mereka akhirnya memilih kerjaya selain dari muzik untuk meneruskan hidup.
Salah seorang kawan baik saya yang juga bekas seorang pemuzik professional, pernah bermain di kelab malam dan pub di merata tempat sehingga hari ini jika kami berjumpa, masih lagi bercerita dengan muzik dan rencah beritanya.
Bukan mudah untuk dikenali sebagai pemuzik di negara kita ini. Dan semudahnya juga nama mereka akan hilang di persada seni dan hiburan tanahair terutama jika mereka hanyalah pemuzik sejati yang hanya punya seni, bukan hiburan. Di sini masyarakat dan media lebih mengutamakan hiburan berbanding seni.
Saya ingin menulis tentang Maestro kita Hamzah Dolmat, pemain biola lagenda yang pernah kita miliki. Saya cuba mencari info tentang beliau, hanya sedikit saja yang boleh di dapati. Di Wikipedia ada tapi hanya sebaris dua. Nyata kita kurang menghargai hero kita sendiri berbanding orang luar.
Hamzah Dolmat penggesek biola tersohor negara kita dilahirkan di Kalang Batin, Singapura pada tahun 1923. Bapanya Dolmat Haji Abdul Fatah juga seorang penggesek biola dan komposer untuk lagu-lagu yang berentak joget. Ibunya Fatimah Ali, bekas seorang penyanyi makyong dan beliau mula bermain biola seusia 12 tahun.
Berbanding Idris Sardi, yang juga seorang penggesek biola hebat kelahiran Indonesia. Beliau disanjung dan dimuliakan di negaranya, juga di negara kita. Beliau turut mengakui dan mengkagumi bakat yang dimiliki Hamzah Dolmat.
Malah dalam satu sessi temubual beliau dengan pihak media sewaktu kunjungannya ke sini untuk membuat persembahan di Istana Budaya pada tahun 2008 dulu beliau turut menyatakan rasa terkilannya kerana seniman sehebat Hamzah Dolmat tidak diangkat ke tempat yang selayaknya.
Mungkin dari sudut ilmiah Hamzah Dolmat diraikan sehingga mendapat ijazah kedoktoran dan sebagainya. Kehebatannya sebagai pemuzik jelas diakui dan diiktiraf sehingga ke peringkat kebangsaan atau mungkin juga antarabangsa, tapi itulah, ianya masih tidak menyeluruh apatah lagi untuk menyerap ke jiwa anak-anak muda hari ini.
Sayang sekali, Pak Hamzah yang sangat hebat dengan gesekan biolanya menyampaikan lagu yang penuh dengan keunikan dan elemen mistik seperti ‘Anak Raja Beradu’ atau ‘Bentan Telani’ untuk genre Kemelayuan, asli dan tradisional tapi itulah, mungkin beliau hanyalah seorang pemuzik, bukan artis penyanyi, pelakon atau Man Kidal yang lengkap pakej artisannya itu?
Info tentang Hamzah Dolmat susah untuk didapati, baik di internet mahu pun di media. Kita hanya dapat mendengar lagu-lagunya di YouTube, tapi untuk level beliau sebagai seniman hebat, masakan ceritanya dalam Wikipedia hanya sebaris dua saja?
Sekurang-kurangnya kumpulan Blues Gang punya inisiatif dengan menjemput beliau sebagai pemuzik undangan dalam lagu ‘Khatulistiwa’ dan ‘Tudung Periuk’ di dalam album mereka beberapa tahun yang lepas sewaktu arwah masih hidup. Itu satu bentuk penghormatan yang patut dipuji.
Di sini, bila kita sebut biola tidak ada orang lain yang paling layak lagi kecuali Hamzah Dolmat dan jika gambus pula Fadzil Ahmad. Kedua-duanya sudah arwah. Jika tidak ada usaha dari pihak yang berkenaan untuk terus menghidupkan legasi yang mereka tinggalkan mungkin mereka berdua ini hanya sekadar nama yang ditulis di pasir pantai yang akhirnya hilang lenyap ditelan ombak laut.
Anak Hamzah Dolmat, Rahim Hamzah juga seorang pemuzik yang hebat dan berbakat. Pun beliau juga sudah meninggal dunia beberapa tahun yang lalu.
Pemuzik sejati akan datang dan pergi. Ramai di kalangan mereka hebat-hebat belaka tapi terdapat di kalangan mereka yang sangat berbakat, genius seperti Hamzah Dolmat (biola), Paul Ponnudurai (gitar), Fadzil Ahmad (gambus) dan Therry Thaddeus (gitar) antaranya.
Hargailah pemuzik kerana walau mereka umpama lilin yang menerangi, tanpa mereka hidup kita akan sepi tentunya...
* This is the personal opinion of the columnist.
You May Also Like