Opinion
Tentang Jim Croce dan singer-songwriter kita

13 OKT — Saya tidak pasti di negara kita ini ramaikah pendengar dan pemuzik yang mendengar muzik dan lagu penyanyi folk singer-songwriter kelahiran Amerika, Jim Croce. Cuma satu yang saya pasti, ramai kawan-kawan saya merupakan peminat beliau.

Saya letakkan nama Jim Croce sebaris dengan singer-songwriter yang saya anggap hebat seperti Lennon, Harrison, Dylan, Nick Drake, Nick Cave, McCartney, Syd Barret, Waters antaranya.

Dan saya pun tidak ada jawapan yang kukuh mengapa saya lebih fokus untuk berkongsi cerita tentang muzik dan singer-songwriter yang saya suka dan respek kepada pembaca yang mana kebanyakan pendengar di sini lebih terdedah kepada muzik dan artis yang komersial dan glamour.

Ini sebahagian tanggungjawab dan kewajipan kita sebagai seorang penulis dan pengkarya. Saya puas jika pembaca mendapat cerita-cerita yang lain dari kebiasaannya, itu sudah memadai. Saya percaya apa yang saya tulis mengenai cerita muzik mahu pun kehidupan, jika sedikit-sebanyak dapat menambahkan pengetahuan kita, itu sudah memadai bagi saya.

Saya tidak mengharapkan semua pendengar akan lebih fokus dan serius menilai produk-produk yang penuh dengan nilai spiritual dan kehidupan, melainkan kita patut diberi berbagai pilihan dan kita perlu memilih cerita-cerita yang lebih bijak pengisiannya berbanding cerita-cerita yang kurang cerdik dan  bodoh yang selalu dihidangkan kepada kita.

Saya mula mendengar lagu-lagu Croce pada tahun 1980 sewaktu di tingkatan 1. Muzik beliau memberi pengaruh yang kuat dalam karya-karya awal dan penulisan lagu-lagu saya terutama dari segi permainan gitar akustik finger-picking yang menarik dan gandingan mantap beliau dengan seorang lagi pemain gitar, Maury Muehleisen.

Melihat cara permainan gitar Croce dan Maury, mereka merupakan pemuzik yang mementingkan kesempurnaan atau 'perfectionist'. Petikan gitar yang kemas dan tersusun, lagu yang digubah dalam mood-mood pop folk, blue grass dan rock n roll berserta lantunan suara Croce yang jelas dan jujur membuatkan lagu-lagunya bertaraf 'evergreen' dan diminati di seluruh dunia sehingga ke hari ini.

Croce atau nama sebenarnyanya James Joseph Croce lahir pada 10hb Januari 1943 dan meninggal dalam usia yang muda ( 30 tahun ) pada 20hb September 1973 dalam satu kemalangan kapalterbang sewaktu siri tour album Life and Times. Turut meninggal dunia pasangan gitarnya Maury.

Sepanjang kariernya Croce telah menghasilkan 5 album iaitu Facets ( 1966 ), Jim& Ingrid Croce ( 1969), You Don't Mess Around with Jim ( 1972 ), Life and Times ( 1973 ) dan I Got a Name ( 1973).

Album pertamanya Facets diterbitkan secara indipenden tanpa bernaung di bawah mana-mana syarikat rakaman dan di cetak sebanyak 500 unit yang mana kesemuanya habis dijual.

Lagu-lagu lirik Croce kebanyakannya berkisar tentang kehidupan dan persekitaran beliau yang digarap dengan penuh nilai kejujuran, sempurna dan menarik. Dengar saja lagu-lagu hit nya seperti Time in a Bottle, I Got a Name, Photograph and Memories, It Doesnt have to Be That Way, Lover's Cross, These Dreams dan New York's Not My Home antaranya dan kita akan mengakui lagu-lagunya memang berkualiti dan sedap didengar.

Kehidupan seorang pengkarya jujur dan hebat seperti Croce tidaklah seindah cerita yang kita baca dalam komik. Walau album You Dont Mess Around with Jim mendapat review dan sambutan yang baik di Amerika, dari segi ringgit nyata tidak berbaloi buat beliau dan keluarganya.

Menghabiskan masa sepanjang tahun dengan 200 persembahan di merata tempat, beliau masih tidak mendapat royalti atau kalau ada pun habis disebabkan pengambilan wang pendahuluan dari syarikat rakaman tempat beliau bernaung, ABC Records waktu itu.

Segala-galanya tidak menjadi buat Croce. Album laku dan lagu masuk carta muzik, duit royalti tak dapat. Sehingga suatu ketika membuatkan beliau menyesal menjadi artis rakaman. Beliau pernah menjadi pemandu trak dan melakukan pelbagai kerja untuk meneruskan hidup. Beliau juga tahu adalah sukar untuk menjadi pemuzik di bar dengan pendapatan hanya sebanyak 25 dollar semalam.

Syarikat rakaman mengeluarkan kos untuk rakaman album dan promosi, yang hasilnya selepas kematian Croce barulah isterinya Ingrid dapat merasai nikmat kesenangan. Itu pun setelah menunggu beberapa tahun selepas kematian suaminya.

Saya telah menonton dokumentari tentang karier dan muzik Croce di youtube dan biasanya kehidupan artis-artis yang hebat dan sejati memang akan bergelut dengan kesengsaraan dan penderitaan dalam menuju tangga kejayaan. Pun kadang belum sampai ke puncak dah padam, seperti yang dilalui oleh Croce, itulah kenyataannya.

Anak Croce, A.J Croce juga merupakan seorang pemuzik dan singer-songwriter berbakat menyambung seni karier ayahnya sehingga ke hari ini. Tapi itulah malangnya jika kita ini anak seorang penyanyi yang bertaraf legenda. Siapa yang kenal A.J Croce?

Itu jugalah yang terjadi pada anak Lennon iaitu Jullian dan Sean. Mereka punya album, tapi terlalu jauh untuk sampai ke tahap bapa mereka. Anak Bob Marley, Ziggy Marley pun begitu. Anak Dylan, Jacob popular juga dengan band beliau, Wall Flower tapi setakat itu sajalah. Begitu juga dengan anak Harrison, Dhani langsung tak berbakat.

Kita bercerita tentang perkembangan seni muzik singer-songwriter di sini. Tolak dua tiga orang yang lepas, yang indipendennya seperti ramai kawan-kawan saya masih menjadikan muzik sebagai kerjaya sampingan. Maknanya memang susah untuk cari makan dengan buat album sendiri di Malaysia.

Saya sudah punya sejumlah album dan kalau saya mengharapkan hasil jualan album-album saya, alamat dapur tak berasaplah jawabnya. Saya masih perlu melakukan kerjaya seperti busking, penulisan dan menjadi tenaga pengajar gitar untuk terus hidup di kota yang tak punya perasaan ini.

Busking pun kita perlu menyanyikan lagu-lagu yang diminati ramai, bukan syok sendiri. Ini semua kerana pendengar dan majoriti masyarakat kita hanya menganggap muzik sebagai bahan santapan sampingan, bukan satu keperluan.

Jadi apa yang menghiburkan mereka itulah yang lebih menonjolnya tentang hal-hal yang tidak cerdik tentang artis. Misi artis pula, impian mereka sangat mudah. Kebanyakan mereka akan mencari orang kaya atau datuk-datuk untuk menyara kehidupan mewah mereka. Sebab untuk bergantung hidup dengan hasil seni sebenarnya yang lepas hanya beberapa orang saja.

Berbeza dengan artis luar negara terutamanya kita lihat artis perempuan mereka. Jika album meletup itu umpama kena loteri dan mereka tidak perlu mencari orang kaya kerana mereka sendiri sudah kaya-raya dengan menjadi penyanyi.

 

* This is the personal opinion of the columnist.

Related Articles

 

You May Also Like