Opinion
Kevin Coyne, muzik dan artis kita

SEPT 29 — Saya kadang-kadang nak tergelak pun ada bila membaca tentang gelagat para-para artis tanah air mahu pun luar negeri yang glamour dan terkenal dan saya hairan sebenarnya apa yang luar biasanya tentang mereka ini sebenarnya sampai cerita-cerita lawak seperti nak beli ikan puyu pun menjadi bahan berita?

Ada kenalan yang bertanya pendapat saya tentang artis-artis hebat tanah air, seperti Anuar Zain atau Jamal Abdillah?

Saya bukan peminat suara Anuar Zain atau suara-suara penyanyi klon zaman sekarang, suara mereka bagi saya tak sedap dan lagu-lagu yang dicipta untuk mereka juga bukan citarasa saya.

Tentang hal cerita personal kebanyakan mereka yang penuh dengan cerita-cerita remeh seperti pakai seluar mahal atau murah itu pun saya tak minat nak ambil tahu. Apa pun kawalan suara Anuar Zain sebagai seorang penyanyi agak baik, itu saja.

Jika saya mendengar suara nyanyian Anuar Zain kedengaran di radio milik saya, saya akan tutup. Tidak ada masalah sebenarnya, tapi suaranya terlalu teknikal dan tidak sesuai dengan jiwa saya.

Apa pun saya bukan nak bercerita tentang Jamal atau Anuar Zain tapi tentang seorang penghibur yang 'anti-star', yang unik dan sangat berbakat, Kevin Coyne seorang singer-songwriter, penerbit, pelukis, penulis dan pembikin filem.


Kevin Coyne

Kevin Coyne artis kelahiran dari Derby, UK, lahir pada 27hb Januari 1944 dan meninggal pada 2hb Disember 2004 dalam usia 60 tahun di Jerman.

Apa yang menarik dan buat saya ingin ambil tahu tentang Coyne kerana di awal kariernya terutama ketika album pertama beliau Case History ( 1972 ) dan Marjory Razorblade ( 1973 ) mendapat tempat di hati pendengar walau bukan dalam kelompok majoriti, beliau pernah mendapat lamaran dari wakil syarikat rakaman Elektra untuk menjadi penyanyi kumpulan muzik popular The Doors. Maknanya pengganti Jim Morrison lah.

Tapi yang buat benda ni jadi mahal sebab beliau enggan menerima tawaran tersebut. Jim Morrison mati pada tahun 1971. Morrison terkenal dengan imej dan ikon muzik rock Amerika sewaktu era kegemilangannya dari tahun 1967-1971 dulu. Dan jawapan sinis Coyne terhadap pelawaan mereka, beliau tidak suka celana kulit!

Bertambah lagi antara peminat Coyne adalah Sting dan penyanyi kumpulan Sex Pistol, John Lydon (Johny Rotten ). Maknanya beliau memang dikategorikan sebagai orang hebatlah bagi saya. Gitaris The Police yang saya salut Andy Summers juga pernah menjadi ahli band dan mengiringi persembahan beliau.

Coyne adalah penyanyi dan penghibur yang unik dan original. Lagu-lagunya ikut sedap tekak beliau saja dan penuh dengan emosi dalam mood-mood blues yang lari dari konsep blues yang biasa, yang mana lirik-liriknya penuh dengan masalah dan berserabut tapi menarik.

Beliau seorang penyajak yang bijak dan membawa aliran kata-kata yang lebih berkembang yang berbeza berbanding Dylan mahu pun Leonard Cohen. Kita boleh letakkan mereka seperti Nick Drake, Syd Barret dan Kevin Coyne dalam satu acuan dan citarasa haru-biru yang sama tapi berbeza.

Melihat persembahannya secara 'live' kita akan terhibur kerana feel beliau akan naik sehingga 120 peratus siap berguling-guling dan meraung di atas pentas. Kadang-kadang macam lawak pun ada, tapi lirik-liriknya bijak.

Dari segi suara dan feel, lebih kurang sama seperti penyanyi terkenal Joe Cocker cuma Joe itu konvensional dan biasa, itu saja. Joe Cocker itu biasa, dan Coyne itu tidak konvensional dan penuh dengan elemen punk. Itulah perbezaannya.

Banyak sangat album-album Coyne yang diterbitkan se awal kariernya dari tahun 1968 sehinggalah ke tahun 2004. Selain itu beliau juga seorang pelukis dan penulis yang berjaya.

Berbalik kepada cerita-cerita artis kita, yang paling hebat pun tentang cerita artis kita bila keluar seperti berita tentang artis terkenal kita kena tangkap sebab hisap dadah. Dari segi kualiti dan artistiknya tak ada langsung yang menyengat bagi saya.

M.Nasir dulu waktu bersama Kembara baguslah, tapi faktor usia dan kebendaan secara tidak langsung melenyapkan nilai-nilai idealismanya dalam berkarya.

Cuma yang saya lihat agak konsisten seperti penyanyi, pelakon dan pelukis Sani Sudin ahli kumpulan muzik Kopratasa. Tapi itulah masalahnya penerimaan dan sokongan dari pendengar pula tidak seberapa, jadi hanya segelintir saja yang memberikan sokongan, itu tidak memadai sebenarnya.

Kebanyakan penyanyi-penyanyi mainstream kita tak ada apa sangat cerita menarik dan ilmiah untuk diceritakan. Mereka kebanyakannya berjalan di jalan yang sama dengan cita-rasa yang sama. Musim berganti dan penyanyi akan bertukar dengan lagu yang seakan sama dan stereo-type. Yang menjadikan mereka menarik pada pendengar yang stereo-type hanyalah permainan dari pihak media yang bukannya faham tentang muzik sangat pun.

Jadi itulah biasanya kita akan dihidangkan cerita-cerita yang tak ada kena mengena dengan muzik dan kefahamannya pun. Cerita yang akan hangat adalah berita gossip artis tinggal di kondo mewah, artis pakai botox untuk jadi cantik dan lawa, walau bergelar penyanyi dan pelakon tetap menunaikan haji ke mekah, artis bercerai keluar masuk mahkamah dan macam-macam lagilah...Mana pengisiannya?

Saya pun tidak pasti sampai bila anak-anak muda kita nak disajikan dengan cerita-cerita bodoh tentang artis yang tak berfaedah yang keluar saban hari menghiasi ruang akhbar atau majalah. Bagi saya adalah sesuatu yang malang jika anak muda hari ini masih membelek ruangan hiburan yang ceritanya mungkin akan menjadikan kita jenis manusia yang suka berangan dan perasan.

Saya selalu mengharapkan anak-anak muda kita hari ini lebih berani dalam membuat pilihan dan genre muzik yang mereka suka. Sepatutnya kita sudah letih melayan program Akademi Fantasia mahu pun porgram realiti yang lainnya yang hanya menghasilkan kuantiti berbanding kualiti.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malay Mail Online.

Related Articles

 

You May Also Like