8 SEPT — Saya mula mendengar muzik dan lagu-lagu kumpulan The Beatles pada hujung tahun 70an. Waktu itu lagu pertama yang saya dengar “Let it Be” yang berkumandang di radio siaran berbahasa Inggeris yang selalu saya dengar.
Sejak itu saya mula mendengar muzik The Beatles melalui album pertama kompilasi zaman rock n roll mereka. Kaset yang saya beli pun jenis cetak rompak berharga rm 3.50 sekeping saja, itu pun sewaktu sambutan hari raya bila saya dan kawan-kawan sebaya berhari-raya ke pekan Sitiawan dengan menaiki bas. Jarak tempat saya Bruas ke Sitiawan kira-kira 50 km.
Waktu itu mana ada kompleks beli belah seperti yang biasa kita lihat hari ini. Kalau di Sitiawan ada Emporium Dinding Supermarket dan Wisma Ganda. Di Ipoh yang popular Wisma Yik Foong dan Super Kinta dan di Taiping juga waktu itu terdapat mungkin satu atau dua kompleks beli belah. Saya jarang ke Taiping kerana jalannya yang bengkang-bengkok dan mudah pening bila duduk di dalam bas lama-lama.
Saya mula mendengar lagu The Beatles secara serius sewaktu hari John Lennon meninggal dunia kerana ditembak peminat fanatiknya Mark David Chapman pada bulan Disember 1980.
The Beatles ditubuhkan pada tahun 1960 dan berpecah pada tahun 1970 di mana semua line-up mereka waktu itu Lennon, McCartney, Harrison dan Ringo Starr membawa haluan masing-masing.
Saya membesar dengan muzik The Beatles sejak dari zaman rock n roll mereka sehinggalah ke zaman eksperimen dan revolusi muzik mereka yang berjaya mengubah dunia. Bagi saya The Beatles adalah kumpulan muzik yang teragung di dunia dan kombinasi Lennon-McCartney adalah singer-songwriter yang terbaik sepanjang abad.
Sewaktu mula bermain gitar pada tahun 1981 dulu, antara lagu terawal yang saya belajar adalah “Yesterday”, antara lagu yang terbaik pada abad ke-20. Saya cukup kagum dengan lagu-lagu ciptaan Paul McCartney, walau yang terbaik akhirnya saya memilih Lennon juga Harrison sebagai mentor dalam mencari identiti sebagai seorang singer-songwriter juga pengkarya.
Bagi saya lagu-lagu The Beatles dari semua album mereka terutamanya ciptaan Lennon-McCartney dan Harrison sangat bagus untuk menjadi bahan rujukan dan kajian bagi mereka-mereka yang nak belajar mencipta lagu dan konsep muzik.
Sehingga ke hari ini saya masih menyanyikan lagu-lagu Lennon, McCartney dan The Beatles sewaktu busking. Album yang terbaik bagi saya adalah Abbey Road (1969) selain Revolver (1966), Sgt Pepper’s Lonely Hearts Club Band (1967) dan album The Beatles (yang juga dikenal sebagai “The White album” — 1968).
Saya tertarik dengan muzik mereka terutama di era album Rubber Soul (1965) sehinggalah ke album Let it Be (1970) kerana kualiti dalam susunan lagu, penulisan lagu yang bermutu tinggi serta elemen surreal yang menjurus ke ruang kejiwaan.
Saya salut penerbit album mereka George Martin yang memainkan peranan yang sangat penting dalam setiap album The Beatles yang beliau terbitkan kecuali album Let it Be yang diterbitkan oleh Phil Spector, penerbit kelahiran Amerika Syarikat.
Pun secara realistiknya saya anggap McCartney masih yang terbaik dari segi penciptaan lagu, tidak kira samada bersama The Beatles, solo mahupun ketika bersama kumpulan muziknya sendiri, Wings. Cuma attitudenya yang poyo itu saya tidak berkenan sangat berbanding Lennon dan Harrison.
Saya melihat mereka sebagai — Lennon itu ikon yang real dari era konvensional kepada tidak konvensional, Harrison untuk elemen kejiwaan, Ringo Starr itu business man dan pak lawak seperti lagu-lagu ciptaannya yang kebanyakannya berentak folk dan country. Manakala McCartney itu businessman, tidak lebih dari itu.
Kesimpulannya Lennon mampu mengubah dunia dengan lagu “Imagine” nya, sedangkan McCartney hanya sekadar punya sayap dan terbang untuk sekadar bersiar-siar seperti kumpulan muziknya, Wings.
Saya bekerja di Bentley hanya setahun saja dari tahun 1995 hinggalah tahun 1996. Selepas itu berpindah ke Yamaha Music pula. Paul yang sewaktu itu sedang meletup dengan kumpulan muzik Mr Big telah dijemput datang untuk program guitar workshop bertempat di showroom Bentley, tempat saya bekerja itu. Ramailah anak-anak muda yang kita kata ‘guitar hero’ turun menyaksikan Paul bergitar.
Saya agak terkesan dengan sesi soal-jawab antara beliau dan penonton. Paul pula sebelum itu sudah cukup gah dengan kumpulan muzik Racer X di pertengahan tahun 80an dengan konsep neo-classical mereka yang menarik dan beliau juga adalah antara gitaris yang terbaik di dunia dalam genre rock dan heavy metal.
Bayangkan dalam umur 16 tahun beliau sudah hebat bergitar dan mula dikenali dalam dunia muzik rock dan metal.
Apabila seorang anak muda bertanya tentang bagaimana untuk kita menjadi yang terbaik dalam permainan gitar, Paul hanya menjawab, “anda hanya perlu mendengar muzik The Beatles”. Anak muda itu agak terkejut dan tersengih kerana pada anggapannya tentulah Paul akan menamakan gitaris hebat dunia sebagai rujukan dan itulah kenyataannya juga apabila kita bercakap soal ‘roots’ muzik kita sendiri, nyata kita kadang-kadang terkeliru juga tentang apa yang kita cari dan faham sebenarnya makna atau istilah muzik itu sendiri?
Selepas habis sesi guitar workshopnya beliau tidak keberatan apabila diajak bersembang dan minum teh tarik di warung mamak berdekatan. Orangnya cool dan humble. Selalunya mat rock atau pemuzik yang hebat-hebat memang begitulah attitude mereka.
Berbalik kepada irama muzik The Beatles, realistiknya lirik-lirik dan konsep muzik mereka sangat berkesan di jiwa saya terutama lagu-lagu yang terdapat dalam album-album Revolver, Abbey Road dan Sgt Pepper. Lirik itu kata-kata. Kata-kata itu umpama madah yang mampu membuat dan mengubah tahap pemikiran kita ke arah yang lebih mahu dan ke depan, itu yang terbaik.
Album-album selepas zaman remaja mereka penuh dengan elemen kejiwaan dan falsafah. Dengarkan lagu-lagu seperti “Strawberry Fields Forever”, “I’m Only Sleeping”, “Nothing Gonna Change My World”, “Come Together” mahupun lagu “All You Need is Love” antaranya, kita akan mendapat banyak cerita dan mesej tersirat yang terkandung di dalamnya jika kita ini seorang pencari sejati dan suka berfikir sesuatu yang boleh mematangkan akal fikir kita terhadap kehidupan dan sekeliling.
* This is the personal opinion of the columnist.
You May Also Like