Opinion
Pemuzik jalanan – semalam dan hari ini

AUG 11 — Baru-baru ini saya berkesempatan untuk berkenal, berlabun, bertukar pendapat dan pandangan dengan presiden MBC (Malaysian Busker’s Club ), saudara Wady Hamdan ( 38 tahun ). Banyak perkara dan topik yang kami bualkan terutama tentang isu-isu busking, permit busking dan sebagainya.

Sebenarnya sudah lama saya ingin bersembang dan berbual dengan beliau. Pertama kerana peranan pentingnya dalam memartabatkan para pemuzik jalanan kita sehingga sampai ke satu tahap yang boleh dibanggakan hari ini. Saya salut Wady kerana dalam usia yang dikira muda, beliau bekerja keras dan berdedikasi terhadap kerjanya walau banyak dugaan yang datang.

Saya puji inisiatif yang beliau tunjukkan dan cita-cita nya untuk menaikkan taraf pemuzik jalanan agar lebih maju dari masa ke semasa.


Bila ada usaha dari pihak Wady dan kawan-kawannya untuk melibatkan busker-busker dalam aktiviti dan program yang melibatkan pihak kerajaan dan NGO, tahap penilaian masyarakat juga dari pihak Kerajaan terhadap busker terus positif sehinggalah ke hari ini.

Sewaktu saya memulakan karier bermain muzik di jalanan atau busking pada tahun 2000 dulu ( aktiviti busking telah wujud sejak tahun 70an lagi di sekitar Wisma Yakin, selepas itu di Pasar Seni pada pertengahan tahun 80an ), situasi memang sukar dan kita waktu itu kurang mendapat sokongan baik dari pihak NGO mahu pun kerajaan. Kami spesis yang sering dipandang asing dan sinis di kalangan masyarakat juga penguasa.

Waktu itu kelompok busker pun tidaklah ramai seperti hari ini. Mungkin 10 atau 15 orang begitulah saya kira yang menjadikan busking sebagai kerjaya sepenuh masa. Lokasi tetap kami pula biasanya akan bermula di Pasar Seni sebelum memulakan langkah masing-masing apabila malam menjelang tiba ke lokasi-lokasi seperti Jalan Alor, Brickfield, Bangsar, Petaling Street antaranya.

Para busker ni pula punya pelbagai karakter dan ego masing-masing, itu tidak saya nafikan tapi bagi saya itu perkara kecil dan ia mungkin bersangkut paut dengan istilah atau kefahaman tentang busking itu sendiri. Bagi saya ciri-ciri rebel dan bebas itu perlu ada dalam jiwa kebanyakan busker dan itu biasanya telah tersemat dalam diri bilamana mereka menceburkan diri dalam dunia busking sebenarnya.

Saya hormat mereka-mereka yang menjadikan busking sebagai satu kerjaya untuk cari makan dan bagi saya mereka adalah orang yang hebat-hebat belaka.

Busking ni bagi saya adalah tentang jiwa yang kental, survival dan tanggungjawab. Kita menghiburkan khalayak mengikut versi yang kita dan mereka boleh memahaminya, itu yang terbaik. Di penghujungnya berapa hasil yang kita terima, itulah rezeki kita untuk hari itu. apa pun yang terbaik bila kita dan mereka sama-sama akan terhibur dengan persembahan kita.

Bila ada usaha dari pihak Wady dan kawan-kawannya untuk melibatkan busker-busker dalam aktiviti dan program yang melibatkan pihak kerajaan dan NGO, umpamanya program Malaysian Youth Busker’s Fest yang berlangsung di KLCC pada bulan disember 2012 dan Buskers Nite di Dataran Pavillion selepas itu, secara drastik tahap penilaian masyarakat juga dari pihak Kerajaan terhadap busker terus positif sehinggalah ke hari ini.

Untuk program Busker’s Nite yang berlangsung di Dataran Pavillion itu, saya turut terlibat sebagai peserta sebagai tanda sokongan. Ramai yang hadir termasuklah para menteri yang turut merai dan  memberikan sokongan.

Selepas itu ada usaha pula dari pihak DBKL yang melibatkan Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan)  agar diadakan sesi audition untuk busker diberi permit untuk busking di lokasi yang pihak DBKL tetapkan.

Sewaktu saya dijemput untuk membuat persembahan busking di Pavillion selama 10 hari sewaktu program Festival Kaki Seni 2013 yang berlangsung pada April lepas, ada juga diadakan program auditon bagi busker yang belum mendapatkan permit busking dan saya mengambil kesempatan itu untuk turut sama terlibat sebagai peserta.

Sewaktu sesi audition berlangsung, kita perlu menunjukkan bakat menyanyi dan bermain muzik dan diadili oleh sembilan juri professional. Selepas beberapa bulan kemudian keputusan pun diumumkan, saya pun lulus dan dapatlah permit Pemuzik Jalanan. Bentuknya sama seperti Kad Pengenalan dan ada tarikh tempohnya. Maknanya kalau habis tamat tempoh permit itu, kita perlu memperbaharuinya.

Saya tidaklah memerlukan sangat permit tersebut sebenarnya, cuma saya menyokong idea dan inisiatif untuk memberi permit itu kerana kita sebagai busker lebih tahu betapa perlunya pengiktirafan dari pihak penguasa terhadap kerjaya seorang busker di negara membangun seperti negara kita ini.

Sebelum ini ada yang kena cekup polis sewaktu busking, ada yang kena halau dari pihak DBKL, busker dianggap pengemis oleh JKM(Jabatan Kebajikan Masyarakat) dan berbagai persepsi yang kebanyakannya negatiflah yang kita terima, jadi bila ada permit secara tidak langsungnya apa yang kita lakukan ini sah dan halal disisi undang-undang dan masyarakat.

Sebelumnya tidak ada masalah pun dengan kerjaya sebagai seorang busker sebenarnya. Tapi biasalah, kita berpakaian mungkin rugged dan agak tidak terurus jadi secara automatiknya bila mata-mata yang melihat benda-benda yang tidak indah pada luarannya, maka kita pun akan dicop penagih dadah dan sebagainya.

Padahal siapa pun juga tak kiralah samada mereka itu pegawai, ahli sukan atau siapa juga, kalau mereka itu menghisap dadah, penagihlah mereka walaupun berpakaian kemas luar dalam.

Selepas itu ada pula usaha untuk mengenengahkan busker untuk membuat persembahan di luar negara seperti program World Art Games yang berlangsung di Croatia baru-baru ini. Jadi pada saya apa juga usaha yang dilakukan demi untuk memaju dan menaikkan taraf pemuzik jalanan ke tahap yang lebih baik, saya sokong!

Apa pun saya ada terbaca juga tentang masalah yang dihadapi mereka-mereka yang terlibat dalam program ke Croatia itu. Masalah akan ada di mana-mana terutama bila ia melibatkan persatuan, sokongan dan peruntukan. Itu kita tidak dapat elakkan kerana kita ini manusia yang berkepentingan. Cuma bagi saya itu masalah dalaman mereka yang terlibat dan apa pun juga, selesaikanlah dalam suasana yang harmoni.

Hari ini ramai busker yang sudah muncul di kaca TV dan turut terlibat dalam program-program yang melibatkan mereka, itu satu perkembangan yang baik sebenarnya.

Jika ada perkara yang saya kesalkan itulah apabila melihat pemandangan Pasar Seni hari ini. Di laluan pejalan kaki( Lorong Kasturi) itu dulu setiap petang ramai anak muda busking berdendang berlagu sehingga menjadi satu tarikan kepada para pengunjung mahu pun para pelancong.

Sudahnya hari ini tempat itu sudah dipenuhkan dengan gerai-gerai (kios) yang disewakan kepada para peniaga sehingga tidak ada lagi tempat untuk anak-anak muda berdendang. Apabila seni itu diniagakan maka jadilah seperti yang kita lihat Pasar Seni hari ini. Sepatutnya mereka sediakanlah tempat zon untuk budak-budak busking seperti yang kita lihat dulu. Tapi itulah, kebendaan itu lebih bermakna dari nilai seni yang asli itu sendiri.

Artikel ini juga saya dedikasikan kepada para busker-busker antara yang terawal bermuzik dan nyanyi di jalanan di tahun 70an, 80an dan awal 90an dulu seperti Wahid, Sidek (arwah) dan Adi Jagat.

Mereka ini adalah orang-orang hebat dan menjadi legenda untuk kita kenang sehingga zaman berzaman.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malay Mail Online.

Related Articles

 

You May Also Like