Opinion
TITAS dan cauvinisme

29 JULAI — Jika anda seorang individu “Bukan Islam” (Tidak Islam) dan warganegara Malaysia, anda dinasihatkan supaya tidak menyatakan secara terbuka bahawa anda kagum pada sifat-sifat mulia dan ciri-ciri kepimpinan yang dimiliki oleh Nabi Muhammad.

Jika anda tetap berkeras dan mahu juga menyatakan kekaguman anda, maka anda akan “diseru” supaya memeluk agama Islam. Mujurlah jika anda memang ada niat “masuk Islam” tetapi bagaimana jika anda memilih untuk mengagumi Rasulullah tanpa perlu meninggalkan agama asal?

Pandangan dan nasihat di atas bukanlah datang daripada saya tetapi adalah berdasarkan hujah dan seruan yang dilakukan oleh Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), sebuah persatuan tidak popular yang tidak pernah saya dengar namanya sebelum ini.

Pada 19 Julai 2013, laman sesawang rasmi ISMA memetik wakil persatuan itu sebagai “menegaskan kepada penulis politik, Uthaya Sankar SB supaya memeluk Islam sekiranya beliau benar-benar kagum dengan Rasulullah seperti dalam kenyataannya yang diterbitkan oleh sebuah portal media online”.

Hujah itu sendiri sudah membuktikan betapa dangkal pemikiran ISMA. Nampaknya sudah ada pesaing bagi Pertubuhan Peribumi Perkasa (Perkasa). Lebih menarik apabila wakil persatuan itu tidak bercakap tentang topik sebenar yang terkandung dalam kenyataan media saya bertarikh 18 Julai 2013 yang turut disiarkan di The Malay Mail Online.


Contoh ‘dakwah negatif’ yang masih berleluasa.

Menerusi kenyataan itu, saya menegaskan bahawa sebagai seorang warganegara yang mencintai negara ini, saya merasakan bahawa tindakan pihak berkuasa dan pemerintah dalam menangani isu menghina agama adalah bersifat berat sebelah dan secara terang-terangan bertentangan dengan ajaran Islam.

Ternyata pihak berkuasa dan pemerintah yang cekap, pantas dan segera bertindak terhadap individu Bukan Melayu dan Bukan Islam tidak mampu bertindak terhadap individu Melayu dan Islam yang menghina kaum Bukan Melayu dan agama Bukan Islam.

Dalam kenyataan itu, saya secara khusus menyenaraikan Zulkifli Noordin yang terbukti sekurang-kurangnya dua kali membuat kenyataan menghina kaum India dan agama Hindu; dan Ibrahim Ali yang sudah diketahui umum sering melukakan hati orang Bukan Melayu dan Bukan Islam melalui mulut celuparnya.

Saya juga menyebut mengenai Ahmad Nawawi M Zain yang terlibat dalam insiden memijak kepala lembu dan menghina agama Hindu pada 28 Ogos 2009; dan Ridhuan Tee Abdullah yang menghina agama Hindu dan penganut agama Hindu menerusi sebuah rencana di akhbar Sinar Harian (18 Februari 2013).

ISMA tidak menyentuh apa-apa mengenai isu-isu yang dikemukakan itu. Sebaliknya, berlagak sebagai pendakwah yang terlalu terdesak untuk cuba menyeru orang meninggalkan agama asal.

“Beliau mengatakan satu-satunya pemimpin Islam yang paling dikagumi ialah Nabi Muhammad SAW, kenapa tidak sahaja memeluk Islam?” Demikian reaksi yang diberikan oleh wakil itu.

“Bukan bertujuan mengIslamkan orang”

Laporan Bernama (19 Julai 2013) memetik Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai mengesahkan bahawa subjek Tamadun Islam dan Tamadun Asia (TITAS) bukan bertujuan menarik orang Bukan Islam memeluk agama Islam.

Umum mengetahui bahawa TITAS akan dijadikan mata pelajaran wajib di Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) mulai September nanti. Hakikat yang boleh dipertikaikan tetapi tidak boleh dinafikan adalah bahawa tumpuan yang lebih pasti akan diberikan terhadap “Tamadun Islam” berbanding “Tamadun Asia”.

Akhbar Utusan Malaysia yang dikatakan sebagai lidah rasmi Umno melaporkan bahawa TITAS “bukan bertujuan mengIslamkan pelajar tetapi untuk menggalakkan persefahaman antara masyarakat pelbagai kaum di negara ini” (19 Julai 2013).

Sejak sekolah menengah, remaja pelbagai kaum sudah belajar Sejarah Islam secara amat mendalam. Segala fakta sudah dihafaz. Malah, sehingga ke tahap sudah muak — bukan terhadap agama Islam tetapi terhadap maklumat berorientasikan peperiksaan yang disumbat ke dalam otak pada setiap hari.

Generasi muda pelajar kaum Melayu dan beragama Islam di sekolah menengah pula amat rugi dan kurang bernasib baik kerana tidak berpeluang mempelajari tamadun-tamadun hebat di Asia seperti China dan India, serta ajaran dan agama yang terdapat di sana.

Mungkin itulah yang sebenarnya dimaksudkan oleh pensyarah Pusat Pengajian Kerajaan, Universiti Utara Malaysia (UUM), Datuk Dr Zainal Kling dengan kata-kata “disebabkan kurang pendidikan maka banyak kejadian tidak diingini berlaku kerana anak muda ‘kosong’ tentang ilmu pengetahuan tamadun lain di negara ini” (Utusan Malaysia, 23 Julai 2013).

Beliau juga menegaskan bahawa objektif TITAS adalah “meningkatkan kefahaman dan rasa hormat antara rakyat serta menguatkan perpaduan dan persefahaman antara anggota masyarakat”.


Orang Bukan Islam juga berhak kagum dengan Nabi Muhammad.

Walau bagaimanapun, tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa selain daripada Ibrahim, Zulkifli dan Ridhuan Tee, Zainal sendiri perlu mengikuti kelas/kuliah TITAS kerana beliau ternyata memiliki semangat rasis yang amat ketara.

Hakikat ini amat nyata apabila beliau secara penuh emosional mengeluarkan kata-kata bahawa penentangan terhadap TITAS “melibatkan elemen cauvinisme Cina yang menentang apa sahaja melibatkan Islam, menolak [apa]bila adanya usaha integrasi melibatkan Melayu dan Islam” (Utusan Malaysia, 23 Julai 2013).

Perangai etnosentrik, fanatik, rasis dan ultra kiasu seperti ini memang perlu dihakis dan diatasi segera. Tentu sahaja subjek TITAS boleh membantu — dengan syarat bahawa “Tamadun Asia” dibincangkan di kuliah dan bukan hanya mengulangi topik-topik “Tamadun Islam” yang pasti membosankan bagi pelajar Melayu-Islam.

Sesungguhnya sistem pendidikan tidak formal yang memperkenalkan tamadun China dan India hampir-hampir tidak berlaku langsung dalam kalangan masyarakat Melayu-Islam. Golongan Bukan Melayu dan Bukan Islam pula mempunyai peluang yang amat luas menerusi pelbagai program Islam dalam bahasa Tamil, Mandarin dan Inggeris di stesen radio dan televisyen tempatan untuk mengenali Tamadun Islam (di Arab dan di Malaysia) secara amat mendalam.

Jati diri kebangsaan yang setara

Saya percaya bahawa atas alasan itulah juga felo penyelidik utama di Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Datuk Dr Teo Kok Seong melihat subjek TITAS sebagai “cara formal mendidik persamaan dan perbezaan antara rakyat Malaysia kerana secara tidak formal langsung tiada usaha ke arah itu” (Utusan Malaysia, 23 Julai 2013).

Beliau juga menegaskan bahawa matlamat akhir TITAS adalah “memupuk persefahaman, perpaduan lebih erat dan membentuk jati diri kebangsaan yang setara untuk semua”. Saya menyokong penuh kata-kata beliau.

Amat jelas bahawa golongan pelajar Melayu sangat memerlukan subjek TITAS, sama ada di IPTA atau IPTS. Contoh buruk yang ditunjukkan oleh beberapa individu yang sudah saya nyatakan dalam makalah ini membuktikan bahawa belum wujud persefahaman dan perpaduan yang diimpikan.

Sekiranya pelajar Melayu berpeluang mendalami “Tamadun Asia” dan “Tamadun Islam” secara menyeluruh, pasti “kefahaman dan rasa hormat antara rakyat” serta “perpaduan dan persefahaman antara anggota masyarakat” seperti dinyatakan oleh Zainal boleh tercapai dengan lebih mudah.


Subjek wajib di IPTS mulai September 2013.

Kalau hanya golongan Bukan Melayu dan Bukan Islam diminta, didesak dan dipaksa mempelajari “Tamadun Islam” supaya boleh memahami dan menghormati orang Melayu-Islam di Malaysia, tentulah hasrat murni pemerintah tidak akan tercapai. Seperti diingatkan oleh Kok Seong, apa yang diperlukan adalah “jati diri kebangsaan yang setara untuk semua”.

Masakan pemerintah tidak tahu bahawa “persefahaman, tolak-ansur, rasa hormat dan sebagainya” adalah bersifat dua hala; bukan sehala seperti sering diimpikan oleh puak etnosentrik, rasis, fanatik dan ultra kiasu. Usah meminta sesuatu pihak dihormati jika pihak itu tidak tahu menghormati orang lain.

Malangnya kedangkalan seumpama itu lahir dalam bentuk kenyataan kurang cerdik seperti dikeluarkan oleh wakil ISMA. Harap maklum bahawa majoriti golongan Bukan Melayu dan Bukan Islam sudah memahami dan menguasai “Tamadun Islam” sehingga mampu berhujah menggunakan ilmu “Tamadun Islam”.

Malangnya puak seperti ISMA masih beranggapan bahawa sesiapa yang tahu tentang “Tamadun Islam” serta kagum dengan kepimpinan Nabi Muhammad perlu (wajar? wajib? mesti?) memeluk agama Islam. ISMA memang hebat dalam melakukan “dakwah negatif”.

Puak seperti ini bukan sahaja tidak tahu menghormati “Tamadun Asia” tetapi juga mencemarkan nama baik “Tamadun Islam”. Di satu sisi, pemerintah cuba meyakinkan rakyat bahawa TITAS “bukan bertujuan mengislamkan pelajar tetapi untuk menggalakkan persefahaman antara masyarakat pelbagai kaum di negara ini”.

Akan tetapi, di sisi yang lain pula, puak-puak seperti ISMA semacam memberikan amaran bahawa masyarakat Bukan Melayu dan Bukan Islam yang mendalami “Tamadun Islam” akan segera diseru supaya memeluk agama Islam.

Malangnya, apabila ada pihak yang prihatin meluahkan rasa bimbang terhadap segala kemungkinan ini, segera digelar pula sebagai “elemen cauvinisme Cina”.

Selamat datang ke Malaysia, di mana nampaknya apabila anda tahu serta kagum dengan mana-mana elemen agama Islam maka anda akan segera “diseru” memeluk agama Islam; dan apabila anda melahirkan kebimbangan yang berasas maka anda nampaknya akan segera dilabel sebagai anti perpaduan dan anti kerajaan.

* Uthaya Sankar SB memblog di www.uthayasb.blogspot.com.

* This is the personal opinion of the columnist.

Related Articles

 

You May Also Like