Opinion
Tan Twan Eng dan SEA Write Award

8 JULAI — Mungkin belum terlewat untuk merakamkan ucapan tahniah kepada pengarang Malaysia, Tan Twan Eng, atas kejayaan memenangi Walter Scott Prize menerusi novel fiksyen sejarah berjudul “The Garden of Evening Mists” (2012) beberapa minggu lalu.

Sebelum ini, Twan Eng meraih Man Asian Literary Prize menerusi novel yang sama. Beliau pengarang pertama dari Malaysia memenangi anugerah itu. Maka mulalah rata-rata penulis dan peminat fiksyen Bahasa Inggeris tetanya-tanya — dan bertanya — sama ada kerajaan Malaysia akan turut memberikan pengiktirafan kepada novelis berkenaan.

Saya ada berbincang dengan beberapa rakan penulis Bahasa Inggeris mengenai perkara ini. Sharon Bakar dan Bernice Chauly yang aktif mengendalikan pelbagai aktiviti sastera Bahasa Inggeris memaklumkan bahawa Twan Eng tidak mendambakan sebarang pengiktirafan. Apatah lagi menimbulkan kontroversi yang tidak diingini.

Bekas peguam itu yang lahir di Pulau Pinang pada 1972 dan membesar di beberapa tempat di Malaysia hanya mahu menulis kerana minat yang mendalam terhadap budaya dan seni warisan. Hal ini juga nyata dalam novel sulungnya, “The Gift of Rain” (2007) yang masuk dalam senarai pendek bagi Man Booker Prize.


Tan Twan Eng mula mendapat perhatian pada Mac 2013.

Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) sedang memikirkan untuk mengemukakan cadangan supaya Twan Eng diiktiraf menerusi Anugerah Penulis Asia Tenggara (SEA Write Award) yang diwujudkan dan disempurnakan oleh ahli keluarga Diraja Thailand sejak 1979.

Saya masih ingat kisah yang diluahkan oleh Dr Lim Swee Tin sewaktu saya membantu beliau dalam urusan permohonan bagi pembelian buku oleh Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) secara langsung daripada penulis beberapa tahun lalu.

Swee Tin adalah penerima SEA Write Award pada 2000. Beliau mengakui bahawa ramai yang kurang selesa apabila beliau menjadi “penulis Bukan Melayu” pertama menerima pengiktirafan itu. Malah, pengarang besar seperti Dr Anwar Ridhwan dan Rahman Shaari hanya menerima anugerah sama pada 2002 dan 2007.

Untuk rekod, penerima SEA Write Award terdiri daripada seorang penulis dari setiap negara Asean yang diiktiraf berdasarkan karyanya dan dinamakan oleh panel pemilih negara masing-masing. Maka, pemilihan Swee Tin pada 2000 dan Jong Chian Lai pada 2006 sepatutnya dilihat sebagai bukti sastera di Malaysia tidak dinilai berdasarkan kaum.

Malangnya, pengalaman Swee Tin sejak 2000 amat menyedihkan apabila dipulaukan, diketepikan dan diabaikan oleh pihak tertentu; seperti diceritakannya dahulu. Mujurlah beliau tetap bersemangat waja dalam meneruskan perjuangan dunia sastera.

Bagi membuktikan serta menegaskan bahawa bakat seseorang tidak boleh dinafikan dan didiskriminasi atas faktor kaum, Kavyan memutuskan untuk mencalonkan Swee Tin bagi Anugerah Sastera Negara (ASN) — yang membawa gelaran Sasterawan Negara — pada 2010.

Walaupun sehingga kini beliau belum ada rezeki untuk bergelar Sasterawan Negara, Kavyan sudah membuktikan bahawa pencalonan haruslah berdasarkan mutu karya serta sumbangan penulis; bukan berdasarkan faktor etnik, kaum dan agama.

Sesungguhnya ASN adalah pengiktirafan tertinggi daripada kerajaan Malaysia kepada sasterawan yang menghasilkan karya sastera bermutu dalam bahasa kebangsaan dan telah menyumbangkan fikiran serta kegiatan yang membawa kesan besar dalam perkembangan seni dan persuratan tanah air.

Panel penilai ASN terdiri daripada tokoh-tokoh dan ilmuan yang hebat serta dilantik oleh kerajaan; manakala urus setia terletak di bawah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Maka kredibiliti, kewibawaan, integriti dan keputusan mereka tidak perlu dipersoalkan atau dipertikaikan.

Berikan pengiktirafan kepada yang berhak

Baru-baru ini, apabila Datuk Baharuddin Zainal (Baha Zain) diumumkan sebagai Sasterawan Negara, seorang lagi penerima ASN (1982), Datuk Shahnon Ahmad meluahkan rasa kurang setuju. Kenyataan beliau disiarkan di blog saya; lalu segera pula sekumpulan “puak kurang cerdik” menyebarkan fitnah bahawa saya yang menolak Baha Zain kerana Kavyan mahukan Swee Tin menang.

Berbalik kepada kisah Twan Eng, ada juga rakan-rakan yang menyarankan menerusi laman rangkaian sosial Facebook supaya kerajaan Malaysia mengiktirafnya menerusi ASN. Saya memahami semangat mereka tetapi saya tetap berpegang dan akur pada syarat yang sudah termaktub: pengarang yang dicalonkan wajib berkarya menggunakan bahasa kebangsaan.


Lim Swee Tin (kanan) berjaya mengharungi cabaran dan dugaan dalam dunia penulisan.

SEA Write Award pasti lebih sesuai bagi Twan Eng yang sudah pun mengharumkan nama Malaysia pada peringkat antarabangsa. Sesungguhnya panel pemilih tidak harus terus berpura-pura tidak tahu atau bertegas tidak mahu mengiktiraf seorang pengarang semata-mata kerana beliau berkarya menggunakan Bahasa Inggeris. Lebih parah jika faktor “kaum” menjadi alasan tersembunyi.

Topik ini juga sempat saya bincangkan bersama-sama Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said (Pak Samad) yang juga Penasihat Agung Kavyan dalam pertemuan kami di Bangsar Utama pada 2 Julai lalu. Kebetulan, Pak Samad ada membicarakan topik berkaitan dalam “The Cooler Lumpur Festival” pada 22 Jun lalu.

Dalam sesi dialog antarabangsa itu, Pak Samad — yang memilih untuk menggunakan Bahasa Malaysia dengan penuh rasa bangga — mengakui bahawa semangat bahasa dan bangsa (kaum) masih terus menghantui fikiran pelbagai pihak apabila melihat pada karya-karya sastera yang mewakili identiti negara.

Semasa perbualan kami, apabila saya menyatakan hajat Kavyan mengemukakan pencalonan Twan Eng bagi SEA Write Award, Pak Samad menyatakan sokongan penuh. Pada pendirian beliau, bahasa tidak sepatutnya mengikat seseorang daripada diberikan pengiktirafan yang wajar dan layak diterima.

Tentu sahaja akan ada “puak kurang cerdik” yang segera menggerakkan kempen besar-besaran membidas, mengutuk dan menolak cadangan Kavyan mahu mencalonkan Twan Eng bagi SEA Write Award. Saya melihat tindak balas itu sebagai cabaran positif.

Sama seperti dalam kes Swee Tin. Pada mulanya — sejak 2000 — beliau khabarnya dipinggirkan pelbagai pihak; seperti diakui sendiri oleh si empunya badan. Apabila Kavyan mencalonkan beliau bagi ASN, kecaman semakin hebat atas dasar “kaum”. Namun, akhirnya kelayakan Swee Tin diiktiraf dan sejak 2012, pelbagai pihak mengundang beliau memberikan ceramah di seluruh negara.

Persoalan bahawa Twan Eng tidak berkarya menggunakan Bahasa Malaysia bukan isu. Lihatlah dahulu berapa ramai menteri dan Ahli Parlimen yang tahu bercakap Bahasa Malaysia. Lihat dahulu berapa ramai “pejuang bahasa Melayu” yang bangga berkomunikasi menggunakan Bahasa Inggeris di rumah.

Persoalan bahawa pengarang itu kini tinggal di Cape Town, Afrika Selatan tidak harus dijadikan isu kerana karya beliau masih berlatarkan Malaysia. Lihat dahulu berapa ramai “pengarang bahasa Melayu” yang lebih suka bercerita tentang kisah-kisah yang berlaku di Amerika Syarikat, Eropah dan sebagainya.

Persoalan bahawa Twan Eng adalah “penulis Cina” juga tidak harus timbul sama sekali kerana beliau adalah warganegara Malaysia dan berhak menerima layanan yang adil tanpa prejudis dan diskriminasi kaum.

Kita tidak boleh mengharapkan semua orang meninggalkan jati diri dan menjadi seperti Ridhuan Tee Abdullah (sekadar contoh paling mudah) sebelum layak mendapat pengiktirafan yang sewajarnya daripada kerajaan Malaysia.

* Uthaya Sankar SB boleh dihubungi menerusi e-mel uthayasb@yahoo.com.my

* This is the personal opinion of the columnist.

Related Articles

 

You May Also Like