KUALA LUMPUR, 16 Dis — Umno Sungai Besar menarik balik sokongan terhadap presidennya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan mendesak supaya berundur daripada jawatan.
Ketua bahagian Datuk Seri Jamal Md Yunos berkata akar umbi sudah hilang kepercayaan terhadap Zahid kerana melihat pengerusi Barisan Nasional (BN) itu sangat lemah dan tidak mampu menangani krisis, lapor Watan Online.
"Saya tidak menyalahkan sesiapa tetapi Umno Sungai Besar sudah hilang kepercayaan kepada presiden parti iaitu Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
"Jadi Umno Sungai Besar mendesak supaya Datuk Seri Ahmad Zahid berundur atau berehat daripada memegang jawatan presiden parti untuk memberikan laluan kepada sistem yang ada dalam Umno itu sendiri,” katanya.
Ketua Baju Merah itu berkata kini pihaknya meletakkan kepercayaan terhadap kepimpinan timbalan presiden Datuk Seri Mohamad Hassan.
Beberapa suara mula mendesak wakil rakyat Bagan Datuk itu berundur selepas beberapa pemimpin dan wakil rakyat Umno keluar parti beramai-ramai sejak minggu lalu sehingga hampir melumpuhkan Umno negeri.
"Sepatutnya, presiden merangkap pengerusi Barisan Nasional perlu mengambil langkah proaktif untuk menghalang perkara ini daripada berlaku secara berterusan,” kata Jamal lagi.
You May Also Like