KUALA LUMPUR, 29 Julai — MRCB George Kent Sdn Bhd, rakan kongsi projek Transit Aliran Ringan (LRT3) berkata, ia sedang bekerjasama dengan Kementerian Kewangan untuk mengurangkan kos projek tersebut.
"Kami sentiasa menekankan integriti dalam urusan kami dengan semua pihak, termasuk pelanggan, rakan kongsi dan kontraktor serta mempunyai dasar toleransi sifar terhadap rasuah.
"Sehubungan itu, apabila projek itu dimulakan pada 2015, kami telah meminta dan meminjam pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai Penasihat Integriti,” kata syarikat itu dalam satu kenyataan.
Ia berkata, pegawai itu juga dilantik ke Lembaga Pengarah MRCB George Kent untuk memastikan pematuhan penuh, pada tahap kepimpinan tertinggi, tadbir urus yang baik dan integriti dalam pelaksanaan projek LRT3.
"Dengan pelaksanaan projek berkenaan, kami baru-baru ini juga meminta dan menerima seorang lagi pegawai SPRM ke dalam projek itu sebagai Ketua Pegawai Integriti,” katanya.
Menurutnya, pelantikan dan peminjaman ini tidak pernah berlaku sebelum ini dan menekankan komitmen syarikat terhadap prinsip integriti, ketelusan dan tadbir urus yang baik dalam melaksanakan projek awam berskala besar.
MRCB George Kent berkata, ia mengalu-alukan laporan media pada 27 Julai bahawa pihak berkuasa telah memulakan siasatan untuk menentukan sama ada terdapat unsur-unsur rasuah dan salah urus kewangan dalam projek LRT3.
"Kami menganggap laporan ini tepat pada masanya dan positif dalam menangani kebimbangan orang ramai bahawa wang pembayar cukai telah disalahgunakan dalam konsep dan pelaksanaan LRT3,” katanya. — Bernama
You May Also Like