MELAKA, 13 Mei — Ketua Menteri Melaka akan mengecilkan tahap kepenggunaan di Seri Bendahara untuk menjimatkan lebih 50 peratus tenaga elektrik.
Adly Zahari berkata bil elektrik di kediaman rasmi itu melambung kerana penghawa dingin dipasang di ruang yang tidak sepatutnya.
"Jadi saya akan minta JKR (Jabatan Kerja Raya) melihat keperluan ini dan mengecilkan tahap penggunaan,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro.
"Bukan sahaja kita dapat jimatkan separuh daripada bil, malah kalau kita gunakan dengan cara yang betul kita dapat kurangkan hingga 60 peratus daripada bil sebelum ini.”
Dilantik sebagai ketua menteri, Jumaat lalu, Adly juga tidak mahu perabot di Seri Bendahara ditukar.
Wakil rakyat Bukit Katil itu menegaskan selagi kaki sofa belum patah, ia tetap akan digunakan.
Pakatan Harapan (PH) memperoleh majoriti mudah di Melaka selepas menguasai 15 daripada 28 kerusi di sana.
Manakala BN hanya menang 13 kerusi sekaligus gagal mempertahankan Melaka.
You May Also Like