Mengekalkan kesucian nama Allah

JUN 2 — Sewaktu membaca buku “Obligation to Preserve the Sanctity of the Name Allah” (2013), saya segera teringat akan hujah-hujah yang dikemukakan di mahkamah berhubung kes penggunaan kalimah Allah dalam akhbar mingguan The Herald.

Sesiapa yang mengikuti perkembangan kes berkenaan pasti akan lebih memahami perkara ini. Atau boleh sahaja mencari bahan arkib di pelbagai media dalam talian (online) untuk membasahkan ingatan.

Zulkifli Noordin dalam suatu tulisan di akhbar Utusan Malaysia (29 Oktober 2013) mengakui bahawa kalimah Allah bukan milik orang Islam, Umno, Pas, Perkasa mahu pun mahkamah. Maka, tentulah tidak wajar melihat isu kalimah Allah dari sudut pihak tertentu sahaja.

Bagaimanapun, makalah ini tidak bertujuan berhujah tentang siapakah pemilik kalimah Allah. Tambahan pula, Mahkamah Persekutuan dijangka menyampaikan keputusan kes melibatkan The Herald pada 23 Jun 2014.

Saya lebih tertarik untuk membicarakan kandungan buku “Obligation to Preserve the Sanctity of the Name Allah” terbitan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) yang diedarkan secara percuma kepada peserta Seminar Kalimah Allah dan Kristologi Nusantara di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam pada 6 Mei 2014.

Memandangkan buku itu menggunakan Bahasa Inggeris, maka saya akan menterjemahkan beberapa bahagian untuk manfaat pembaca; khususnya pembaca sasaran iaitu masyarakat Islam; seperti kata pengerusi Mais di bahagian prakata.

Buku yang mungkin sukar difahami khalayak sasaran. — Foto oleh Uthaya
Buku yang mungkin sukar difahami khalayak sasaran. — Foto oleh Uthaya

Bab 6 mengkhusus kepada topik kesan sekiranya kalimah Allah dibenarkan untuk digunakan oleh orang Tidak Islam (Bukan Islam). Menurut Mais, bab ini juga bertujuan membantu pembaca (orang Islam) berdakwah secara lebih intensif kepada golongan Tidak Islam.

Dijelaskan di halaman 65 bahawa penggunaan kalimah Allah oleh orang Tidak Islam boleh memberi kesan kepada orang Islam dan Tidak Islam. Jangkaan-jangkaan yang dikemukakan dalam buku ini khabarnya berdasarkan pelbagai insiden yang berlaku di seluruh dunia; walaupun tidak diberikan fakta dan rujukan.

Apabila orang Tidak Islam dibenarkan atau dibiarkan menggunakan kalimah Allah, maka ia akan memberi kesan terhadap kepercayaan dan pemikiran orang Islam di Malaysia. Demikian hujah Mais.

Seperti biasa, bagaikan orang ketakutan yang sentiasa gerun melihat bayang-bayang sendiri, tidak lupa juga dinyatakan bahawa keadaan itu akan mendedahkan Islam kepada gerakan propaganda yang mahu menjatuhkan Islam.

Manipulasi media, politik dan kristianisasi

Seperti yang dapat diduga, penggunaan kalimah Allah oleh orang Tidak Islam juga dikatakan bakal meningkatkan gerakan kristianisasi dan pertambahan kes murtad dalam kalangan orang Islam. Hal ini sama sahaja seperti apa yang diperkatakan sekumpulan “penceramah palsu” semasa seminar anti-Kristian di UiTM pada 6 Mei 2014.

Selain daripada itu, menurut Mais, keadaan tersebut juga akan menimbulkan manipulasi oleh pihak media yang cuba menyebarkan maklumat berupa penghinaan dan salah faham mengenai hal-hal berkaitan Islam dalam kalangan orang Islam sendiri.

Dari segi politik, sekiranya orang Tidak Islam dibenarkan menggunakan kalimah Allah, maka ia dikhuatiri akan membuka laluan kepada pelbagai tuntutan oleh gerakan Tidak Islam yang mahu melemahkan kekuatan Islam di Malaysia.

Kumpulan yang memperjuangkan hak kemanusiaan pula dikatakan akan cuba mengambil peluang. Dalam jangka panjang, pihak tertentu akan berjaya dalam usaha menggugat kedudukan Islam sebagai agama bagi persekutuan mengikut Perkara 3 (1).

Kebanyakan hujah hampir sama seperti di mahkamah. — Foto oleh Uthaya
Kebanyakan hujah hampir sama seperti di mahkamah. — Foto oleh Uthaya

Menurut hujah-hujah dalam buku ini, penggunaan kalimah Allah oleh orang Tidak Islam akan turut memberi kesan kepada orang Tidak Islam itu sendiri. Misalnya, mempercepatkan agenda pluralisme agama.

Orang Tidak Islam juga mungkin akan mula menggunakan frasa seperti “insya-Allah” secara lazim sehingga akhirnya “maksud sebenar” frasa itu tidak dapat diterapkan dalam kalangan orang Islam.

Untuk makluman, mengikut Seksyen 9, Enekmen Agama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan di Kalangan Orang Islam) Selangor 1988, terdapat sejumlah istilah/frasa Bahasa Arab yang tidak boleh digunakan orang Tidak Islam di luar konteks agama Islam, secara lisan atau bertulis.

Antaranya adalah mubaligh, mufti, iman, Injil, ibadah, wahyu, nabi, haji, rasul, khalifah, masyaallah, subhanallah dan alhamdulillah (halaman 34). Jika sabit kesalahan, individu Tidak Islam itu boleh didenda tidak melebihi RM1,000.

Selain daripada itu, satu lagi kebimbangan yang diluahkan oleh Mais menerusi buku ini adalah kemungkinan sikap pemaaf dan keterbukaan orang Islam dipergunakan dan dimanipulasi pihak tertentu demi kepentingan politik.

Susulan daripada itu, golongan oportunis dan gerakan propaganda politik dibimbangi akan mendapat peluang mudah bagi mengukuhkan kuasa serta menghapuskan “Ketuanan Islam”.

Agak menarik juga untuk diperhatikan bahawa salah satu kesan yang dibimbangi oleh Mais adalah bahawa amalan “kebudayaan Islam” akan terhakis dan diganti pula dengan budaya negatif seperti “ultra kiasu” yang diamalkan oleh orang Tidak Islam.

Semua benda menyentuh sensitiviti

Dalam hal di atas, tidak dapat tidak, saya sudah membayangkan betapa Tokoh Ultra Kiasu, Ridhuan Tee rasa terhina. Makalah “Meneroka minda si ultra kiasu” (The Malaysian Insider, 26 Mei 2014) boleh sedikit membantu memahami kecelaruan identiti dan penyakit mental yang dialaminya.

Sudahlah lelaki Cina itu sedang dikritik hebat kerana menghina kaumnya sendiri menerusi tulisan di akhbar Sinar Harian (26 Mei 2014), orang Hindu (18 Februari 2013), orang Kristian (24 Februari 2014) dan orang Melayu (19 Mei 2014), kini Mais turut menyindirnya secara amat halus menerusi penggunaan frasa “ultra kiasu”.

Pada halaman 76, dipaparkan lirik lagu “Allah Peduli” oleh Agnes Monica. Tiada sebarang penjelasan diberikan, kecuali tajuk yang menyebut bahawa ia adalah contoh lagu yang menggunakan nama Allah. Saya tidak pasti berapa ramai orang Melayu-Islam yang pernah mendengar lagu itu.

Lirik lagu “Harapan Bangsa” nyanyian Jaclyn Victor dipaparkan pada halaman 77 dengan catatan bahawa ia adalah contoh lagu yang menyentuh sensitiviti Islam sebagai agama persekutuan.

Saya membaca keseluruhan lirik lagu itu berulang kali tetapi tidak menemui kalimah Allah. Mungkin juga semata-mata kerana lirik lagu gereja itu menggunakan Bahasa Malaysia serta dinyanyikan pula oleh Jaclyn, maka orang Melayu di Malaysia marah-marah.

Pada Oktober 2012, ada puak tertentu menggesa penyanyi popular tanah air itu diboikot walaupun dia memang beragama Kristian dan lagu “Harapan Bangsa” dirakam pada sekitar tahun 2007 khusus untuk khalayak beragama Kristian di Sabah dan Sarawak.

Sayang sekali hujah-hujah penting tidak disertakan huraian. —Foto oleh Uthaya
Sayang sekali hujah-hujah penting tidak disertakan huraian. —Foto oleh Uthaya

Anehnya, lagu itu disifatkan oleh Pertubuhan Pribumi Perkasa Negara (Perkasa) sebagai “suatu penghinaan kepada Islam” dan Jaclyn dikatakan cuba menyebarkan ajaran Kristian kepada khalayak Melayu. Memanglah Perkasa bodoh tidak bertempat.

Mais pula tumpang sekaki dengan mengangkat lagu tersebut sebagai salah satu contoh lagu Kristian yang menyentuh sensitiviti Islam; sedangkan lagu “Harapan Bangsa” tidak pernah berkumandang di stesen radio kerajaan atau swasta.

Hujah itu sendiri – tanpa melihat sebarang hujah lain di mana-mana bab terdahulu – mungkin sudah cukup untuk membuatkan sebahagian besar pembaca Melayu-Islam sendiri mempersoalkan rasional dan motif sebenar penerbitan buku ini oleh Mais.

Bab 7 buku “Obligation to Preserve the Sanctity of the Name Allah” (Kewajipan untuk Mengekalkan Kesucian Nama Allah) membicarakan tentang pendirian yang perlu dimiliki oleh umat Islam di Selangor dan Malaysia dalam isu kalimah Allah.

Harus dinyatakan bahawa bab ini ada terlalu banyak persamaan kandungan dan reka letak dengan Bab 5 dalam buku  “Pendedahan Agenda Kristian” (2014) yang turut diedarkan secara percuma kepada orang Islam dan Kristian semasa seminar di UiTM pada 6 Mei 2014.

Pembaca dibiarkan terkapai-kapai

Bab terakhir dalam buku ini dilihat oleh Mais sebagai bahagian terpenting (most important chapter) dalam menyatukan umat Islam supaya berdiri teguh mendepani isu berkaitan penggunaan kalimah Allah oleh orang Tidak Islam.

Pembaca (Islam) diminta melakukan muhasabah diri menerusi lima perkara yang boleh diterjemahkan kepada Bahasa Malaysia seperti berikut:

Kesedaran – Sejauh mana tahap kesedaran dan sensitiviti kita (orang Islam) dalam menghadapi isu ini (kalimah Allah).

Minat – Setakat mana kesediaan kita untuk menjaga kesucian nama Allah.

Kehendak – Pada tahap manakah kesungguhan kita untuk mempertahankan kemuliaan kalimah Allah.

Tindakan – Apakah tindakan yang telah kita ambil untuk menyuburkan dakwah dan mencegah anasir yang cuba meruntuhkan (Islam).

Susulan – Adakah kita bersedia secara proaktif untuk melakukan tindakan susulan demi terus mempertahankan kesucian nama Allah.

Tanpa huraian lanjut terhadap bahagian “terpenting” di atas, Mais tergesa-gesa mengemukakan lima kategori tindakan yang boleh diambil selepas pembaca Islam melakukan muhasabah diri.

Lima kategori itu adalah pencegahan (penyakit hati dan cubaan anasir negatif luar), merawat (kelemahan dan ancaman), pemulihan (kekuatan dan peluang), memperkasa (sumber dan kemampuan) serta memantau (situasi, kewaspadaan dan jaringan).

Akhirnya, dipaparkan rajah berkaitan tindakan yang boleh diambil oleh orang Islam dalam menangani isu penggunaan kalimah Allah oleh orang Tidak Islam. Ditegaskan bahawa setiap pilihan itu mampu membawa kesan tersendiri dan perlu dinilai secara bijak.

Malangnya, tidak ada sebarang penjelasan atau panduan diberikan kepada pembaca (Islam) yang memerlukan tunjuk-ajar dalam hal ini. Sebaliknya, apa yang dipaparkan hanyalah lapan pilihan: membenarkan, reaktif, lawan, berdialog, mendidik, proaktif, berubah, dan berkompromi.

Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa buku “Obligation to Preserve the Sanctity of the Name Allah” kurang berjaya dalam usaha murni Mais memberikan maklumat tepat dan lengkap yang diperlukan oleh pembaca.

Penggunaan Bahasa Inggeris pula mungkin memburukkan lagi keadaan serta menghalang “niat” sebenar Mais mahu mendidik, membimbing dan memperkasa orang Melayu-Islam di peringkat akar-umbi mengenai topik penting yang diperkatakan.

Apa-apa pun, semoga ulasan dan terjemahan beberapa bahagian buku itu menerusi makalah ini sedikit-sebanyak membantu pemahaman khalayak sasaran, khususnya pelajar UiTM dan sekolah menengah yang dipaksa menghadiri seminar anti-Kristian pada 6 Mei 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malay Mail Online.

Related Articles