Jadilah netizen yang bertanggungjawab

16 APRIL — Beberapa hari yang lalu, kita dikejutkan dengan berita bahawa Tunku Mahkota Johor (TMJ) bermurah hati untuk menanggung segala perbelanjaan para pengunjung di sebuah pusat membeli-belah di Tebrau.

Bagi kebanyakan pengunjung yang berada di situ, mereka bagaikan tidak percaya mengenai tindakan TMJ itu. Niat TMJ adalah murni kerana beliau sayangkan rakyat Johor.

Belum reda dengan kunjungan TMJ ke pusat membeli-belah di Tebrau, entah dari mana dan bagaimana tersebarnya berita bahawa TMJ akan sekali lagi berbesar hati untuk menanggung perbelanjaan rakyat di sebuah pasar raya di Pontian.

Namun demikian, berita berkenaan adalah tidak benar dan merupakan berita palsu. Malangnya, meskipun telah diumumkan bahawa berita tersebut adalah palsu, para pengunjung enggan berganjak dan masih mengharapkan kehadiran TMJ.

Apa yang berlaku di pasar raya di Pontian jelas membuktikan bahana berita palsu. Bukan sahaja penyebaran berita palsu mencetuskan kekeliruan dalam kalangan pengunjung bahkan juga membangkitkan kemarahan mereka. Mujurlah tidak berlaku semarang kejadian yang tidak diingini.

Apapun, tindakan oleh individu atau pihak tertentu untuk menyebarkan berita palsu yang dimaksudkan amatlah dikesali dan sangat tidak bertanggungjawab.

Ini bukanlah perkara yang boleh diambil ringan. Cuba bayangkan jika keadaan di pasar raya menjadi tidak terkawal, siapakah yang akan bertanggungjawab jika berlakunya sebarang kejadian tidak diingini?

Justeru, apabila pihak polis mengumumkan bahawa kes ini akan disiasat di bawah Akta Antiberita Tidak Benar 2018, ia tidaklah mengejutkan dan tindakan yang tepat.

Apa motif di sebalik penyebaran berita palsu itu kini masih belum dapat dipastikan tetapi ia secara tidak langsung membuka pekung dan kehodohan sikap segelintir manusia yang tidak tahu malu dengan perbuatan mereka.

Biarpun kita diberi kebebasan untuk menggunakan internet, janganlah menafsirkan bahawa kebebasan itu adalah mutlak dan boleh digunakan untuk menyebar berita palsu secara sewenang-wenangnya. Sebagai seorang pengguna internet, anda haruslah bertanggungjawab dan memastikan ia digunakan dengan berhemah.

Kepada pihak yang gemar menyebarkan berita-berita palsu, anda mungkin tidak akan begitu bernasib baik selepas ini. Anda perlu bertanggungjawab atas perbuatan anda.

Berani buat beranilah tanggung.

Tulisan di atas hanyalah pandangan peribadi penulis.

Related Articles