Jangan berbalah secara terbuka

5 MAC — Semasa di bangku sekolah dahulu, minat untuk mendalami arena politik negara sudah pun tertanam dalam diri penulis.

Saban kali apabila ada berita-berita panas disajikan di dada akhbar, penulis menanti dengan penuh minat dan sabar analisis yang dicanangkan oleh wartawan.

Gaya penulisan, intipati dan lenggok bahasa yang diguna pakai dalam penulisan-penulisan berkenaan membuatkan penulis terpesona dengan arena politik yang penuh dengan pelbagai kerenah.

Antara persoalan yang sering berbangkit dalam benak fikiran penulis termasuklah, siapakah tokoh politik yang dimaksudkan itu?, mengapa pemimpin politik itu mengambil tindakan sedemikian rupa dalam isu yang cuba diselesaikannya dan adakah dia seorang pemimpin yang boleh dipercayai?

Rupa-rupanya selepas membuat análisis dan pemerhatian yang menyeluruh, arena politik bukanlah suatu medan indah yang dikhabarkan. Sebaliknya, ia lebih menjurus kepada permainan persepsi dan ada kalanya penuh dengan kepalsuan.

Sepanjang minggu lalu, persepsi tersebut diperkukuhkan lagi dengan gelagat pemimpin politik tertentu yang mengeluarkan kata-kata yang kurang elok terhadap seorang individu lain secara terbuka. Bahasa yang digunakan pula bukan sahaja tidak elok bahkan tidak mencerminkan keperibadian sebagai seorang wakil rakyat.

Sebagai seorang wakil rakyat dan pemimpin di peringkat pusat, seharusnya pemimpin sedemikian menunjukkan teladan yang baik dan bukannya bertikam lidah di khalayak. Apa yang cuba ditonjolkan di sebalik gelagat itu hanyalah sikap angkuh dan ini tidak memberikan gambaran yang baik kepada pengundi lebih-lebih lagi PRU-14 bakal menjelang tidak lama lagi.

Sebagai pengundi, kita sebagai rakyat mahukan satu perubahan dari segi sikap pemimpin ketika mereka menjalankan tugas hakiki mereka. Daripada bertikam lidah dan terlibat dengan perbalahan yang tidak produktif, ada baiknya jika mereka menumpukan tumpuan mereka dan memberikan khidmat terbaik kepada rakyat.

Usahlah menumpukan kepada perkara-perkara yang memberi ‘tenaga negatif’. Fokus kepada isu sebenar dan dalam hal ini, rakyat menagih kehadiran dan buah fikiran YB untuk memakmurkan kehidupan mereka.

Anda dipilih sebagai wakil rakyat untuk berkhidmat kepada rakyat dan bukannya untuk berbalah antara satu sama lain. Episod berkenaan wajar membuka mata kepada semua pemimpin politik untuk menjaga tingkah laku dan tutur kata di khalayak. 


 

Jika pemimpin-pemimpin boleh berbalah secara terbuka, bagaimanakah anda boleh mengharapkan rakyat untuk menghormati mereka?

* Tulisan di atas hanyalah pandangan peribadi penulis.

Up Next

Loading...