Penyebaran berita palsu: Mentaliti pengguna perlu berubah!

26 FEBRUARI — Dewasa ini, kemudahan Internet yang semakin baik di negara ini bukan sahaja telah memberikan kesenangan kepada pengguna untuk melakukan urusan seharian bahkan juga memudahkan komunikasi antara satu sama lain.

Jika satu ketika dahulu, urusan seharian seperti membayar bil air, elektrik mahupun bil telefon dilakukan di hadapan kaunter pejabat pos, kini, dengan hanya menekat punat pada komputer, segalanya beres pada hujung jari anda.

Secara logiknya, apabila segalanya dipermudahkan, sepatutnya pengguna berasa senang hati dan tidak mengeluh mengenai kemudahan yang dinikmatinya.

Namun demikian, ada juga segelintir pengguna yang nampaknya kerja mereka adalah melakukan perkara-perkara yang tidak memanfaatkan diri seperti menyebarkan mesej, SMS ataupun berita-berita yang palsu dan tidak sahih kepada orang lain.

Bagi pengguna sebegini, mereka gembira dapat menyebarkan berita-berita tersebut kerana pada fikirannya, misi untuk menyebarkan berita-berita yang dimaksudkan telah berjaya. Malangnya, mereka tidak berfikir secara semasak-masaknya impak yang mungkin dicetuskan apabila berita-berita disebarkan itu viral.

Apabila berita-berita itu viral, usaha untuk membendung dan “damage-control” mungkin sudah tidak berkesan lagi. Keadaan juga tidak dibantu apabila mentaliti pengguna kita yang nampaknya lebih cenderung untuk percaya sesuatu berita tanpa menyemaknya terlebih dahulu.

Dalam pada itu, pihak berkuasa pula telah melakukan pelbagai initiatif dalam usaha untuk mendidik pengguna agar tidak berkongsi sesuatu berita jika tidak pasti dengan kesahihannya. Antaranya, memperhebat tindakan penguatkuasaan, penganjuran kempen advokasi ke seluruh negara dan mewujudkan portal sebenarnya.my.

Tetapi di sebalik kesemua niat baik pihak kerajaan, apakah isu berita palsu ini akan menemui tanda noktahnya jika sikap pengguna masih di takuk lama? Barangkali dalam tempoh lima atau 10 tahun akan datang, kita masih akan berbicara perkara yang sama.

Kepada mereka yang bersalah dalam isu ini, jangan pula selepas ini menyalahkan pihak berkuasa kerana tindakan diambil ke atasnya. Anda telah diberi peringatan dan nasihat. 

Jika anda berani buat, beranilah menanggung akibatnya. Jangan disebabkan oleh perbuatan tidak bertanggungjawab oleh segelintir, kesannya terpaksa diterima oleh mereka yang tidak berdosa.

* Tulisan di atas hanyalah pandangan peribadi penulis.

Up Next

Loading...