Johannian BBQ Homecoming Party dapat sambutan amat memberangsangkan

5 FEBRUARI — Setiap daripada kita pastinya pernah menghadiri majlis pertemuan semula atau reunion dengan rakan-rakan setingkatan, sekurang-kurangnya sekali dalam jangka hayat mereka.

Kehadiran ke majlis reunion sebegini diambil atas rasa untuk mengenang kembali detik-detik manis yang pernah dilalui semasa di bangku sekolah selain menghilangkan perasaan rindu terhadap sahabat-sahabat mereka.

Pada masa yang sama, penganjuran majlis sebegini juga mampu menyemai budaya sihat dalam kalangan bekas pelajar untuk berkenalan dengan generasi bekas pelajar bukan dari era mereka bagi merapatkan ukhuwah antara satu sama lain.

Mungkin tidak ramai yang sedar bahawa ukhuwah yang terjalin inilah menjadi kekuatan utama kepada kelancaran pengurusan sesebuah sekolah. Dalam konteks ini, ia cukup ketara dalam kalangan alumni-alumni sekolah ternama seperti St. John’s Alumni Association (SJAA), Victoria Institution Old Boys Association (VIOBA) dan The Malay College Old Boys Association (MCOBA). 

Dengan adanya hubungan akrab antara pihak sekolah dan bekas-bekas pelajar, segala agenda yang telah direncanakan sebelum ini dapat dilaksanakan dengan lancar. Sinergi yang terjalin juga menjadi aset penting kepada usaha mengembalikan kegemilangan sesebuah sekolah.

Bagi SJAA yakni persatuan utama yang memayungi bekas-bekas pelajar sekolah tersohor itu, fokus kini lebih menjurus kepada elemen Johannian Prihatin dalam aktiviti mereka. Antaranya, kunjungan ke hospital untuk menziarahi bekas pelajar yang sakit, turun padang untuk membantu mangsa-mangsa bencana alam serta mengadakan sesi menyantuni bekas guru-guru sekolah.

Dalam erti kata lain, aktiviti-aktiviti yang dijalankan kini lebih inklusif dan melibatkan penyertaan lebih ramai bekas-bekas pelajar sekaligus menjadikan persatuan berkenaan lebih mesra pelajar dan menjadi wadah kepada

Sabtu ini (10 Februari) bertempat di concourse sekolah, satu lagi majlis anjuran SJAA iaitu Johannian BBQ Homecoming Party bakal dianjurkan bagi memantapkan lagi usaha yang dimaksudkan itu. Bagaimanapun, ini bukanlah calang-calang BBQ Homecoming Party  yang biasa.

Sebaliknya, majlis tersebut akan turut diserikan dengan pelbagai aktiviti lain seperti majlis penyampaian sijil penghargaan kepada beberapa bekas pelajar SJI atas keberanian mereka dalam operasi menyelamat seorang Johannian yang ditimpa kecelakaan, pelancaran Buku Cadet Corp SJI sempena ulang tahun ke-100 penubuhannya serta penyerahan penajaan kepada pasukan-pasukan sukan sekolah. 

Bukti keutuhan itu juga terserlah apabila bilangan bekas pelajar yang telah mengesahkan kehadiran mereka ke BBQ Homecoming Party itu sudah pun mencecah 400 orang setakat ini. Bilangan tersebut amat signifikan kerana inilah kali pertama begitu ramai bekas pelajar akan hadir ke acara berkenaan sejak ia mula dianjurkan beberapa tahun yang lalu. Lebih menggembirakan, beberapa tokoh ternama tanah air dari pelbagai lapangan yang juga bekas pelajar SJI akan hadir sama untuk memeriahkan acara terbabit.

Dalam pada itu, penulis ada terbaca satu kenyataan oleh Presiden SJAA, Isham Ishak yang terbit dalam sebuah akhbar tempatan baru-baru ini. Dalam kenyataan tersebut, Isham mengajak semua bekas pelajar tanpa mengira latar belakang, kedudukan mahupun pangkat untuk tampil membantu sekolah mengikut cara serta kemampuan mereka tersendiri. 

Bagi penulis, saranan berkenaan amatlah tepat pada masanya. Kenyataan tersebut jelas mencerminkan bahawa kemajuan serta kejayaan sesebuah sekolah tidak mungkin dapat direalisasikan tanpa komitmen semua pihak. Hanya dengan adanya permuafakatan, kesepaduan dan matlamat yang sama, barulah boleh bergerak ke hadapan.

Mudah-mudahan penganjuran BBQ Homecoming Party pada Sabtu ini bukan sahaja akan mencapai objektif yang disasarkan bahkan juga membuka satu jendela peluang kepada bekas-bekas pelajar yang berminat, untuk menyumbang keringat mereka kepada sekolah tercinta itu.

Once a Johannian, always a Johannian!

* Tulisan di atas hanyalah pandangan peribadi penulis. Penulis juga bekas pelajar St. John’s Institution.

Related Articles

Up Next

Loading...