Langkah pertama ke arah perubahan memang sukar

8 JANUARI — Minggu lalu dalam artikel bertajuk “jangan gentar untuk berubah,” penulis ada membangkitkan mengenai perlunya perubahan takuk pemikiran dalam kalangan kita untuk mengharungi kedatangan Tahun Baharu dan cabaran mendatang.

Jika tidak, keadaan itu bukan sahaja membuktikan bahawa segala azam yang cuba dijanjikan hanyalah janji semata-mata bahkan memperlihatkan bahawa azam Tahun Baharu sebenarnya mustahil untuk dicapai. 

Hakikatnya, semua ini bergantung kepada disiplin dan kemahuan seseorang itu.

Persoalannya sekarang, adakah kita sudah berubah dalam semua segi yang dimaksudkan?

Yang dimaksudkan berubah itu adakah sudah ada perubahan daripada segi kita melihat sesuatu isu nasional dan tidak hanya membataskan kepada elemen perkauman serta agama semata-mata?

Selain itu, adakah pemimpin-pemimpin politik baik dari parti pemerintah mahupun pembangkang sudah bersedia untuk menggerakkan budaya berpolitik mereka ke aspek yang lebih terbuka, sihat dan telus?

Juga, sejauhmanakah kesediaan dan penerimaan masyarakat setempat dalam menerima perubahan-perubahan yang dimaksudkan? Ataupun mereka ini lebih suka untuk terus berada dalam zon selesa kerana perubahan tidak semestinya menjanjikan kesudahan yang manis? Mahukah mereka berubah sebenarnya?

Seandainya kesemua jawapan kepada persoalan-persoalan di atas adalah negatif, maka negara bakal berhadapan dengan cabaran untuk menggerakkan rakyatnya dalam memacu agenda pembangunannya. Apabila masyarakat berpecah dan dibelenggu dengan fahaman berpuak-puak, kepentingan nasional sering kali dikesampingkan. 

Lebih menyedihkan, masing-masing akan mempertahankan bahawa agendanya adalah lebih penting daripada yang lain. Putaran negatif ini jika dibiarkan berlarutan, akhirnya akan menjerumus negara ke kancah kehancuran.

Sebuah negara yang tidak bersatu akan membuka ruang dan peluang kepada pihak-pihak berkepentingan untuk menjahanamkan negara. Sejarah kejatuhan Kesultanan Melayu Melaka kepada kuasa Portugis pada 1511 wajar menjadi iktibar kepada semua.

Langkah pertama ke arah perubahan sememangnya sukar dan penuh dengan pelbagai onak dan ketidaktentuan. Akan tetapi, itulah cabaran dan langkah kanan yang harus dilalui jika negara ingin mara ke hadapan.

* Tulisan di atas hanyalah pandangan peribadi penulis.

Up Next

Loading...