Elak politik kebencian, jangan jahanamkan Malaysia!

14 MAC — Adakah anda seorang pendendam?

Apakah anda tidak boleh melupakan tindak-tanduk jahat yang telah dilakukan oleh orang lain terhadap anda?

Sejauhmanakah anda bersedia untuk memaafkan orang lain yang telah mengkhianati mahupun menikam anda dari belakang?

Pastinya, tidak semua individu yang mampu untuk memaafkan apatah lagi melupakan sengketa lama yang menimpa dirinya gara-gara kerana sikap cemburu pihak satu lain terhadapnya.

Hakikatnya, ia memerlukan keberanian dan kesanggupan seseorang itu untuk mengetepikan ego serta melihat sesuatu isu itu daripada perspektif yang lebih luas.

Senario politik negara kita kian kalut dan kucar-kacir. Ini berdasarkan kepada politiking dan tindak-tanduk yang diambil oleh pemimpin-pemimpin politik negara sejak kebelakangan ini.

Jika dahulunya kedengaran gentleman politics, kini semuanya itu sudah tinggal dalam lipatan sejarah. Rata-ratanya, segala tindak-tanduk mahupun niat dan tutur-kata lebih menjurus kepada kepentingan peribadi serta untuk mematikan seteru politik. Paling menyedihkan apabila bentuk politiking yang dimainkan ialah kerana kebencian melampau terhadap sesesorang pemimpin.

Di satu pihak, pemimpin itu ingin menumbangkan kepimpinan sedia ada manakala di satu pihak lain pula terus mempertahankan legitimasi pemerintahan yang dipegangnya dan menyalahkan pihak satu lagi sebagai pakatan yang gilakan kuasa.

Kebencian melampau terhadap seseorang pemimpin bukanlah jalan penyelesaian kepada menyelesaikan kemelut politik negara. Sebaliknya, kebencian berterusan itu hanya akan mencetuskan lebih banyak polemik yang bukan sahaja akan menjahanamkan Malaysia bahkan kestabilan politik negara secara keseluruhannya.

Boleh jadi selepas ini, akan wujud satu budaya yang tidak sihat yakni pemimpin negara perlu dijatuhkan sekiranya satu atau dua individu tidak menyukai kepimpinan negara sedia ada. Keadaan berkenaan akan mewujudkan satu trend yang tidak baik dalam sistem politik negara.

Bukankah setiap agama mengajar penganutnya untuk saling maaf-memaafkan antara satu sama lain? Mengapakah prinsip tersebut tidak diguna pakai dalam situasi sedemikian?

Tindakan untuk menjatuh atau menaikkan seseorang pemimpin merupakan satu situasi lumrah dalam dunia politik. Jika anda memegang teraju kuasa, anda akan diangkat dan dijulang sebagai hero manakala apabila seorang sudah tidak berada di puncak kuasa, mereka seolah-olah dilupakan. Akan tetapi, jika pihak tertentu begitu beria-ia untuk menjatuhkan musuh politik mereka, bukankah lebih baik jika ia ditentukan pada pilihan raya umum nanti? Mengapakah rakyat perlu diheret ke dalam kemelut politik sebegini?

Rakyat tidak bersalah dalam kemelut ini. Sebaliknya, rakyat adalah penonton atau spectator kepada episod demi episod yang memualkan. Namun mahu tidak mahu, kemelut politik yang melanda pastinya memberi tempias kepada rakyat dalam aspek ekonomi. Ini kerana apabila politik negara kurang stabil, para pelabur tidak mungkin memilih untuk melabur di negara kita. Apabila kurangnya pelabur asing di negara kita, maka secara tidak langsungnya, ia akan memberi impak kepada ekonomi negara.

Kita tidak mahu melihat negara ini dijahanamkan gara-gara kerana perbuatan atau tindak-tanduk sesetengah pemimpin politik negara. Jika mereka masih mengambil berat terhadap kebajikan rakyat, maka ada baiknya jika mereka berhenti memporak-perandakan politik negara. Gunakan saluran yang betul untuk meluahkan perasaan tidak puas hati itu.

Masa depan negara ini bukan ditentukan oleh satu atau dua orang pemimpin politik negara tetapi 30 juta rakyat Malaysia. Adalah menjadi tanggungjawab pemimpin-pemimpin negara ini untuk berkhidmat kepada rakyat dengan sebaik mungkin kerana mereka telah diberikan mandat untuk berbuat demikian pada PRU 13 lalu. Pendek kata, jangan khianati mandat itu yang telah diberikan oleh rakyat.

* Tulisan di atas hanyalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pandangan Malay Mail Online.

Up Next

Loading...